1. GEORGETOWN 4 Julai – PM Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini lebih bermakna kerana rakyat bukan saja meraikan pembebasan daripada penjajah, malah pembebasan daripada kerajaan kleptokrasi. Sambutan kemerdekaan pada kali ini adalah untuk meraikan kemenangan rakyat yang berkorban dan berani menyelamatkan negara daripada sebuah kerajaan kleptokrasi.
2. KUALA LUMPUR 4 Julai - Rakyat harus menghantar amaran kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerusi pilihan raya kecil supaya memenuhi janji dalam tempoh 100 hari seperti termeterai dalam manifesto. Bekas PM, Datuk Seri Najib Razak berkata, hanya tinggal dua minggu sebelum tempoh 100 hari selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan kerajaan sudah berjanji secara bertulis untuk memenuhi 10 janji.
3. KUALA LUMPUR 4 Julai – BN mendakwa, kemenangan PKR mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis dengan hanya majoriti 5,765 undi sebagai bukti kejayaan pembangkang mencetuskan protes rakyat secara berkesan. Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, mendakwa Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis juga melahirkan tunas kerjasama ke arah perpaduan ummah yang lebih padu di antara UMNO dan PAS.
4. KUALA LUMPUR 4 Julai - Kisah legenda puteri-puteri tempatan seperti Puteri Gunung Ledang, Tun Teja dan Hang Li Po dalam bentuk kartun dilancarkan di sebuah gedung beli-belah tempatan di sini hari ini. Majlis pelancaran koleksi buku hasil karya Maslina Md Nor disempurnakan oleh pelukis catan dan kartun negara, Jaafar Taib.
5. SHAH ALAM 4 Ogos - Calon PKR bagi PRK DUN Sungai Kandis, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni tiba di pusat pengundian di SK Jalan Kebun di sini kira-kira pukul 8.59 pagi. Bagaimanapun lawannya, calon BN, Datuk Lokman Noor Adam tidak mengundi kerana bukan pengundi berdaftar di Sungai Kandis manakala pergerakan calon Bebas, K. Murthy gagal dikesan.
6. SHAH ALAM 4 Ogos – SPR memaklumkan sebanyak 9.48 peratus pengundi telah keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis sehingga pukul 9 pagi ini. Kesemua pusat mengundi bagi DUN Sungai Kandis telah mula dibuka sejak 8 pagi tadi dan akan ditutup pada pukul 5.30 petang ini.
7. KUALA LUMPUR 4 OGOS - Jenazah personaliti tersohor negara, Datuk Mahadzir Lokman selamat dikebumikan sebentar tadi. Allahyarham Mahadzir yang menghembuskan nafas terakhir di Kota Kinabalu, Sabah awal pagi semalam disemadikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara. Jenazah Allahyarham Mahadzir sebelum itu ditempatkan di kediaman keluarganya di Seksyen 16, Petaling Jaya, Selangor sebaik tiba dari Kota Kinabalu awal pagi ini.
8. JOHOR BAHRU 4 Ogos - Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut, manakala empat yang lain cedera dalam kemalangan di Kilometer 14.5, Lebuhraya Utara-Selatan, dekat Kulai awal pagi tadi. KPD Kulai, Supt. Dzulkhairi Mukhtar berkata, mangsa, Terry Ong Teck Rui meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
9. KLANG 4 Ogos - Seramai 417 pengundi baharu direkodkan pada PRK DUN Sungai Kandis pada hari ini sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan 51,217 pengundi. Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata, bagi pengundian di DUN Sungai Kandis, pihaknya menjangkakan peratusan keluar mengundi sebanyak 80 peratus.
10. KOTA KINABALU 4 Ogos - Bumbung satu blok bangunan Sekolah Kebangsaan Pekan Kota Belud, kira-kira 73 kilometer dari sini, hampir keseluruhannya diterbangkan angin ribut dalam kejadian tengah hari semalam. Bagaimanapun, ketika kejadian pada kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, masa persekolahan telahpun tamat dan semua murid meninggalkan kelas masing-masing.
11. KUALA LUMPUR 4 Ogos - Ringgit dijangka melantun semula sedikit berbanding dolar US minggu depan berikutan data ekonomi domestik yang positif yang mungkin akan menyokong sentimen mata wang tempatan, kata Penganalisa Penyelidikan FXTM, Lukman Otunuga. Data ekonomi berkenaan termasuk jualan runcit bulanan, kadar pengangguran, pengeluaran pembinaan untuk suku kedua dan pengeluaran perindustrian pada Jun, yang mana akan dikeluarkan minggu depan.
12. JOHOR BAHRU 4 Ogos - Seorang nelayan dari Dungun, Terengganu yang ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana memasuki perairan negara itu sejak April tahun lalu dibebaskan semalam. Nelayan tersebut, Kamaruzaman Awi, 47, berkata, ketika ditahan, dia bersama-sama tiga kru kapal yang lain, namun tiga rakannya itu dibebaskan.
13. JOHOR BAHRU 4 Ogos - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi jaminan bekalan kambing dan lembu bagi sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini mencukupi walaupun bekalan import dari Australia dihentikan sementara. Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, memang sudah menjadi dasar kerajaan Australia untuk menghentikan eksport ke negara Islam menjelang sambutan berkenaan.
14. LANGKAWI 4 Ogos - Lebih banyak pusat tarikan akan diwujudkan di Langkawi dalam usaha memastikan pulau peranginan popular negara ini terus menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara. PM, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga MP Langkawi berkata, penganjuran sesuatu acara termasuk bertaraf antarabangsa seperti LIMA tidak memadai untuk dijadikan tarikan utama ke pulau ini kerana tempohnya yang singkat.
15. KUALA LUMPUR 4 Ogos - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan mewujudkan akta khusus bagi menangani isu gangguan seksual di tempat kerja. Presidennya, Dr. Mohamed Namazie Ibrahim berkata, langkah itu perlu berikutan semakin banyak kes gangguan seksual di tempat kerja berlaku walapun Kementerian Sumber Manusia telah memperkenalkan kod amalan berhubung perkara tersebut.
16. KUANTAN 4 Ogos - Umat Islam di negara ini disaran mencari pendekatan terbaik apabila terdapat segelintir pihak yang mempunyai fahaman bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, seharusnya umat Islam tidak bertelagah atau cepat membuat tuduhan kepada mereka yang cuba menyebarkan ajaran Syiah.
17. KUALA LUMPUR 4 Ogos - Sikap tidak menghormati undang-undang antarabangsa yang menjadi amalan tentera Israel terbukti apabila tentera zionis itu bertindak mencerobohi laluan air, Laut Mediterranean pada kedudukan 12 batu nautika lalu merampas kapal flotila Al-Awda yang membawa 116 kotak ubat-ubatan ke Gaza bersama 22 aktivis termasuk wakil tunggal negara, Prof. Madya Dr. Mohd. Afandi Salleh baru-baru ini.
18. PUTRAJAYA 4 Ogos - Sebanyak 840,000 PATI tampil menyerah diri secara sukarela dalam Program Serah Diri Sukarela (3+1) yang diperkenalkan sejak 2014 hingga hari ini. Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, jumlah itu membabitkan kutipan kompaun sebanyak RM400 juta sekali gus membuktikan program tersebut berjaya mengurangkan jumlah PATI di negara ini.
19. SHAH ALAM 4 Ogos - Seorang bayi perempuan dipercayai baru lahir ditemukan di sebuah hentian bas berhampiran Klinik Kesihatan di Seksyen 7, di sini awal pagi ini. Bayi yang masih bertali pusat dan dibalut dengan kain merah jambu dan difahamkan telah ditinggalkan di hentian berkenaan sebelum ditemui seorang pemandu lori kira-kira pukul 12.45 pagi.
20. PEKAN 4 Ogos - Permuafakatan merupakan asas penting yang perlu dilakukan bukan sahaja dalam konteks memelihara kepentingan Islam dan rakyat pelbagai kaum malah untuk kejayaan negara secara keseluruhannya. Bekas PM, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jika hendak menentukan individu yang sesuai memegang tampuk pentadbiran negara pun, asasnya mestilah permuafakatan.
21. PADANG BESAR 4 Ogos - Usaha pihak tertentu untuk mengangkat pengganas komunis sebagai pejuang baru-baru ini, merupakan perbuatan memutar-belit dan penyelewengan terhadap sejarah negara. MB, Datuk Seri Azlan Man berkata, sejarah sebaliknya membuktikan bahawa pengganas komunis telah banyak melakukan kekejaman dan keganasan kepada rakyat dan negara ini.
22. PULAU PINANG 4 Ogos – KPDNHEP akan memperluaskan program 'Mutiara Food Bank' iaitu projek pengumpulan serta pengagihan lebihan makanan yang dijalankan dengan kerjasama beberapa pasar raya terkemuka di negara ini mulai tahun depan. Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaksanaan rancangan tersebut bagaimanapun bergantung kepada kejayaan ‘pilot project’ berkaitan program itu yang akan dilaksanakan di beberapa negeri termasuk Kelantan dan Negeri Sembilan tidak lama lagi.
23. PULAU PINANG 4 Ogos - PKR mengalu-alukan ‘sikap terbuka’ UMNO dan Pas yang mengumumkan untuk menjalin kerjasama politik bagi menghadapi dua PRK DUN Sungai Kandis dan DUN Seri Setia. Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, sikap terbuka itu penting kerana rakyat ketika ini memerlukan suatu kejelasan berhubung status ‘hubungan’ antara kedua-dua parti itu.
24. SHAH ALAM 4 Ogos - Sehingga pukul 1 petang, hanya 31 peratus daripada 51,217 pengundi telah keluar mengundi pada PRK DUN Sungai Kandis. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehubungan itu menggesa orang ramai agar keluar menunaikan tanggungjawab mereka dengan segera sebelum semua pusat mengundi akan ditutup pada pukul 5.30 petang.
25. IPOH, 4 Ogos - Kerajaan dijangka memuktamadkan kadar kenaikan gaji minimum untuk peringkat awal pada mesyuarat kabinet Jumaat ini, kata Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran. Buat masa ini jumlahnya belum diputuskan namun kadarnya akan diseragamkan antara pekerja di Semenanjung, Sabah dan Sarawak "Moga ada berita baik nanti," katanya.
26. KUCHING 4 Ogos - Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menafikan dakwaan bahawa enam ahli Parlimen mereka keluar menyertai Parti Pribumi Sarawak (Pribumi) yang tersebar di media sosial semalam. Menurutnya, beliau langsung tidak mengetahui perkara tersebut dan melihat ia hanya berita tidak benar.
27. PADANG BESAR 4 Ogos - Pelaksanaan UEC disifatkan sebagai usaha pihak-pihak tertentu untuk berkompromi dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang termaktub dalam Perlembagaan. MB, Datuk Seri Azlan Man berkata, sehubungan itu pelaksanaannya perlu dikaji secara mendalam kerana tidak mahu dasar yang terbukti menyatupadukan rakyat selama ini terjejas.
28. TEL AVIV 4 Ogos - Tentera Laut Israel memintas sebuah bot dinaiki aktivis Palestin yang didakwa menceroboh sekatan oleh pihak rejim ke atas Gaza, insiden kedua dalam tempoh kurang seminggu. Tentera Israel dalam satu kenyataan berkata, kapal yang dinamakan Freedom for Gaza itu dipantau dan dipintas selaras dengan undang-undang antarabangsa. Sebanyak 12 orang aktivis yang berada di dalam bot itu kemudiannya dibawa ke pelabuhan Ashdod dekat Israel.
29. KUALA LUMPUR 4 Ogos - Persatuan Pembekal dan Pengurusan Tenaga Kerja Asing Malaysia (Tekam) menjelaskan ahli persatuan berkenaan mendapat hak eksklusif sebagai majikan untuk membekal dan menguruskan pekerja warga asing ke negara ini. Menurut Presiden Tekam, Datuk Megat Fairouz Junaidi Megat Junid, pihaknya menafikan bertanggungjawab terhadap kemelut isu lambakan pekerja asing di negara ini.
30. LANGKAWI 4 Ogos - Kadar pelepasan cukai belian untuk pelancong tempatan yang tinggal di Langkawi melebihi 48 jam dinaikkan daripada RM500 kepada RM1,000. Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika merasmikan Pusat Khidmat Parlimen Langkawi di Langkawi City di Kuah di sini hari ini.
31. KUALA LUMPUR 4 Ogos - Vokalis kumpulan Search, Amy menyifatkan pengacara terkenal, Allahyarham Datuk Mahadzir Lokman sebagai seorang yang pemurah, suka bergurau dan baik hati. Menurut Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 60, walaupun mereka berdua sudah lama berkawan dan berjaya dalam bidang kerjaya masing-masing, sikap Allahyarham tidak pernah berubah.
32. MELAKA 4 Ogos - Pihak berkuasa negeri ini menahan sebanyak 24 wanita warga asing dipercayai menjalankan aktiviti tidak bermoral iaitu khidmat pelacuran di sebuah bangunan lama di Jalan Tun Ali di sini awal pagi ini. Kesemua wanita terbabit merupakan warga Thailand dan Vietnam berusia antara 20 hingga 37 tahun diberkas dalam serbuan selama empat jam yang berakhir pukul 3 pagi.
33. KUALA LUMPUR 4 Ogos - Kerajaan menggalakkan para pengusaha dusun durian menjadikan raja buah itu sebagai produk agropelancongan bagi menarik lebih ramai pelancong datang ke negara ini. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, selain untuk dieksport ke negara-negara penggemar durian seperti China dan Singapura, durian mampu menjadi produk agropelancongan bagi membolehkan pelancong menikmati keenakan durian dalam suasana yang lebih semulajadi dan menarik.
34. PASIR PUTEH 4 Ogos - Kilang memproses kenaf berskala besar bernilai RM25 juta di Setiu, Terengganu telah siap dibina dan dijadual beroperasi secara rasmi mulai Disember tahun ini. Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, kilang berkenaan berupaya menghasilkan 2,000 tan fiber kenaf sebulan akan membantu membuka lebih banyak ruang pekerjaan dan pendapatan kepada petani.
35. KUALA LUMPUR 4 Ogos - Seorang lelaki maut selepas motosikal dinaikinya terbabas dalam kejadian di Jalan Lapangan Terbang Subang dari arah Sungai Buloh di sini pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, mangsa, Ismail Ibrahim, 23, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah dibahagian kepala.
36. KUANTAN 4 Ogos - Seorang peniaga maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi di Kilometer 121 Jalan Kuantan-Johor Bahru, dekat Rompin hari ini. Dalam kejadian pukul 10.40 pagi itu, Solihin Mohamad, 18, berasal dari Kampung Pandan Nenasi, Pekan maut di tempat kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk bedah siasat.
37. KUALA LUMPUR, 4 Ogos - Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Strategi) KWSP, Tunku Alizakri Alias dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KWSP yang baharu berkuat kuasa 20 Ogos ini. Pelantikan tersebut diumumkan lembaga KWSP selepas mendapat persetujuan daripada Kementerian Kewangan sekali gus menggantikan tempat Datuk Shahril Ridza Ridzuan yang bakal berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad.
38. KOTA TINGGI 4 Ogos - Lebih 320 pemilik kereta klasik Volkswagen Beetle dan Kombi berkumpul di pantai Jason Bay, Sedili di sini bagi menyertai Johor VW Swap Meet Camp 2018. Pengerusi penganjur, Rasman Ithnain yang juga ADUN Sedili berkata, program yang bermula semalam itu berjaya menarik lebih 2,000 pengunjung hingga hari ini.
39. KUCHING 4 Ogos - Seorang pelajar universiti swasta terkejut memenangi sebuah pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux pada Cabutan Tempatan BSN Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) di sini hari ini. Menurut penuntut di Heriot Watt University Malaysia, Alvin Poh Junren, 21, dia pada mulanya tidak menyangka mempunyai BSN SSP yang diberikan oleh pihak Yayasan Sarawak kepadanya sekitar empat bulan lalu.
40. KUALA LUMPUR 4 Ogos - Bekas Timbalan YDP Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee bakal dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Selasa ini. Mengesahkan perkara itu, Ronald yang juga MP Beluran berkata, beliau telah dimaklumkan mengenai tawaran pelantikan tersebut daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, minggu lalu.
41. MARANG 4 Ogos - Proses penyusunan dan pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri ini yang diberi penjenamaan semula sebagai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) telah selesai, melibatkan lebih 1,000 institusi seumpama itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim.
42. MELAKA 4 Ogos - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan terus mengadakan kerjasama dengan semua pemilik bangunan-bangunan warisan di negara ini yang mengubah suai premis untuk dijadikan tempat penginapan seperti hotel bajet supaya mematuhi peraturan dan langkah keselamatan ditetapkan, kata Ketua Pengarah JBPM, Mohammad Hamdan Wahid.
43. MACHANG 4 Ogos - Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin menafikan pemilihan parti kali ini menyebabkan ahli parti berpuak-puak sehinggal timbul perpecahan dalaman. Menurut beliau, persaingan berlaku kali ini disifatkan sebagai sihat namun terdapat usaha pihak tertentu yang berniat jahat mahu melaga-lagakan kepimpinan parti itu dengan cara menyebar fitnah dan provokasi.
44. KUALA LUMPUR 4 Ogos - Indonesia bersetuju untuk menyerahkan kapal layar mewah bernilai AS$250 juta (RM1 bilion) yang dikaitkan dengan skandal penyelewengan 1MDB kepada Malaysia selepas menahannya di Bali, pada awal tahun ini. Kapal Equanimity ditahan pada Februari atas permintaan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah bernilai berbilion dolar yang dilancarkan oleh Jabatan Kehakiman terhadap 1MDB.
45. KANGAR 4 Ogos - Dalam usaha menambah keahlian Bersatu di Perlis, parti itu bakal mengambil inisiatif mengadakan program Bersatu bersama rakyat di seluruh negeri ini. Setiausaha Bersatu negeri, Wan Saiful Wan Jan memberitahu, langkah tersebut adalah bagi memberi peluang rakyat di negeri ini menjadi ahli parti tersebut.
46. SIBU 4 Ogos - Polis mengesahkan punca kematian wanita yang ditemukan mati dipercayai dibunuh ekoran hentakan kuat menggunakan objek tumpul di sebuah rumah sewa di Jalan Tiong Hua di sini Khamis lalu. KPD, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, hentakan tersebut membuatkan penjawat awam berusia 26 tahun itu mengalami pendarahan pada otak.
47. KUALA LUMPUR 4 Ogos - Kerajaan negeri Selangor perlu menjelaskan rasional pengambilalihan SPLASH bernilai RM2.55 bilion yang dijangka menaikkan tarif air di Selangor, Lembah Klang dan Putrajaya. Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, nilai pengambilalihan itu teramat tinggi kalau dibandingkan dengan nilai pelaburan asal Splash yang berjumlah RM400 juta dan tawaran asal bekas MM Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang bernilai RM250 juta.
48. SHAH ALAM 4 Ogos - Suasana di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis mula dipenuhi petugas daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan agensi media. Setakat pukul 6.45 petang ini, kelihatan satu peti undi pertama telah dibawa masuk di dalam Dewan Besar Tanjung, di sini.
49. KOTA BHARU 4 Ogos - Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) menempelak bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu, Tan Sri Zainuddin Maidin sambil menyifatkan beliau seolah-olah lupa diri apabila menghina akhbar yang pernah menjadi 'payungnya' satu ketika dahulu. Presiden POKB, Datuk Sheikh Ahmad Dasuki Sheikh Mohamed berkata, Zainuddin tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan bertajuk 'Biarkan Utusan Mati Sendiri' di blognya yang dipetik sebuah portal berita jelas menghina seluruh warga akhbar berkenaan.
50. PULAU PINANG 4 Ogos - Ribuan orang memenuhi Padang Kota Lama, Georgetown di sini malam ini bagi bersama-sama menyertai majlis sambutan pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018. Rata-rata mereka sudah memenuhi lokasi utama penganjuran program itu sejak petang tadi bagi menyertai pelbagai aktiviti yang diadakan termasuk persembahan kebudayaan pelbagai kaum.
51. KANGAR 4 Ogos - Bekas ADUN Chuping, Mansor Jusoh, 65, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, Kuala Lumpur, petang tadi. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6 petang yang disebabkan pelbagai komplikasi penyakit yang dialaminya sebelum ini.
52. RIYADH 4 Ogos - Arab Saudi memaklumkan telah menyambung semula penghantaran minyak melalui Selat Bab al-Mandab, mengakhiri penggantungan selama 10 hari susulan serangan pemberontak di perairan Yemen. Menteri Tenaga, Khaled al-Falih seperti dipetik oleh Saudi Press Agency sebagai berkata, keputusan itu dibuat setelah tindakan oleh tentera pakatan diketuai Arab Saudi dilakukan bagi memastikan keselamatan di selat tersebut serta Laut Merah.
53. TUARAN, 4 Ogos - Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Junz Wong menasihatkan orang ramai di daerah Tuaran supaya tidak panik walaupun Kampung Kaulan di daerah tu telah diisytiharkan sebagai kawasan wabak selesema burung kerana keadaan terkawal. Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah setakat ini mengenal pasti dua ladang yang dikesan penularan penyakit itu yang akan menyaksikan 28,000 ayam dimusnahkan bermula esok.
54. SHAH ALAM, 4 Ogos - PKR berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu dengan majoriti 5,842 undi. Calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni memperoleh 15,427 undi manakala calon BN Datuk Lokman Noor Adam sebanyak 9,585 undi dan calon Bebas K. Murthy hanya mendapat 97 undi.
55. SINGAPURA, 4 Ogos - Korea Utara percaya bahawa satu-satunya cara praktikal untuk menggerakkan usaha ke arah denuklearisasi (pembubaran program nuklear) ialah dengan mengambil pendekatan baharu memberi keutamaan kepada usaha "membina keyakinan" dan melaksanakan semua perkara dalam kenyataan bersama secara seimbang dan melalui fasa. Pada Sidang Kemuncak Nuklear yang diadakan di Singapura pada Jun, pemimpin Korea Utara dan Amerika Syarikat (AS) telah mengeluarkan kenyataan bersama yang menggariskan empat persetujuan utama.
56. SHAH ALAM, 4 Ogos - Peratusan keluar mengundi bagi PRK DUN Sungai Kandis hari ini, secara tidak rasmi hanya 49.8 peratus, dipercayai kerana pengundi tiada 'mood' untuk keluar mengundi. Bahang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas yang masih dirasai turut menjadi penyebab terhadap penurunan peratusan tersebut.
57. BESUT, 4 Ogos - Seorang remaja lelaki bawah umur antara lapan ditahan polis ketika sedang leka berpesta di sebuah 'disko haram' di Pulau Perhentian awal pagi ini. Timbalan KPD Besut DSP Kamsani Hassan berkata remaja berusia 17 tahun itu ditahan bersama-sama enam lelaki berusia 20-an dan seorang wanita 19 tahun dalam Op Bersepadu Pulau Perhentian.
58. IPOH, 4 Ogos - Festival Kesenian Perak anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Perak akan dijadikan acara tahunan mulai tahun depan. Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian negeri, Tan Kar Hing berkata festival julung kali diadakan tahun ini, bertujuan menyatukan masyarakat pelbagai bangsa menerusi kebudayaan dan kesenian yang terdapat di Perak.
59. GEORGE TOWN, 4 Ogos - Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo hari ini menegaskan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan memastikan keterlibatan rakyat dan ketelusannya sebagai asas kepimpinan baharu demi menjadikan negara terus gemilang serta dihormati di persada antarabangsa.
60. SELANGAU, 3 Ogos - Menteri Kerja Raya Baru Bian berpuas hati dengan perkembangan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak yang berjalan lancar dan mendahului jadual. Beliau dimaklumkan setakat 25 Mei lalu, peratusan siap projek di bahagian Sarawak adalah sekitar 22 peratus, iaitu dua peratus melebihi sasaran yang ditetapkan berbanding di Sabah yang mengalami kelewatan satu hingga 36 peratus di sesetengah sektor.
BERITA SUKAN:
1. LONDON 4 Ogos - Alvaro Morata mengesahkan dirinya kekal bersama Chelsea apabila kelabnya itu memberi sokongan dengan baik kepadanya pada musim lalu. Penyerang bernilai 58 juta pound bakal beraksi menentang Manchester City dalam perlawanan Perisai Komuniti kini berjaya menyesuaikan diri dengan baik selepas setahun berada di England.
2. LONDON 4 Ogos - Barcelona mengesahkan mereka sudah menandatangani Arturo Vidal dari Bayern Munich selama tiga tahun bagaimanapun kontrak perjanjian masih belum dibuat kerana laporan perubatan akan dilakukan dalam masa terdekat. Skuad Catalan itu membayar 27 juta pound (RM143 juta) bagi mendapatkan khidmat Vidal yang memenangi Bundesliga tiga kali sepanjang bersama Bayern selama tiga musim.
3. LONDON 4 Ogos - Ejen Thibaut Courtois merayu kepada Chelsea agar melepaskan penjaga gol Belgium itu bagi membolehkannya menyertai Real Madrid memandangkan kontraknya hanya berbaki kurang daripada setahun. Courtois sebelum ini dipinjamkan kepada Atletico Madrid mahu kembali beraksi di Sepanyol berikutan dua anaknya tinggal di negara tersebut. Bagaimanapun, Chelsea enggan berunding dengan Real yang ingin mendapatkan Courtois apabila pemain itu dianggarkan bernilai 40 juta pound (RM 212 juta).
4. LONDON 4 Ogos - Arsenal bakal kehilangan khidmat Sead Kolasinac selama lapan hingga 10 minggu berikutan pertahanan The Gunners itu cedera di bahagian lutut. Pertahanan kiri berusia 25 tahun itu terpaksa dikeluarkan ketika menentang Chelsea dalam aksi pra musim di Dublin.
5. KUALA LUMPUR 4 Ogos - Meskipun dihimpit kecederaan, namun perseorangan profesional negara Liew Daren yang tetap memberikan tentangan sengit sebelum tumpas kepada Kento Momota dari Jepun dalam aksi separuh akhir Kejohanan Dunia di Nanjing, China hari ini. Daren yang bakal menjangkau usia 31 tahun itu pada Isnin ini tersingkir selepas dikalahkan pilihan keenam kejohanan tersebut dengan 21-16, 21-5 dalam tempoh 37 minit.
6. KUALA LUMPUR 2 Ogos - Malaysia tidak mungkin bergelar tuan rumah kepada sukan Formula 1 (F1), walaupun jika ada usaha untuk membawa kembali sukan lumba kereta termahal di dunia itu ke negara ini, tidak akan berlaku dalam tempoh terdekat, kata Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali.
7. KUALA LUMPUR 4 Ogos - Pelumba MotoGP negara Hafizh Syahrin Abdullah dari Monster Yamaha Tech3 menempah petak mula ke-16 untuk perlumbaan Grand Prix (GP) Republik Czech esok, dengan wakil Ducati Andrea Dovizioso menyambar slot paling hadapan. Hafizh menempah petak tersebut setelah mencatat masa 1 jam 56 minit 285 saat selepas menamatkan sesi kelayakan di Sirkit Brno hari ini, manakala Dovizioso unggul menerusi catatan terpantas 1:54.689s.
8. KUALA LUMPUR 4 Ogos - Bintang ski air Malaysia, Aaliyah Yoong Hanifah menempa nama di pentas dunia apabila mara ke final acara trick pada Kejohanan Ski Air Remaja Dunia 2018 di Madrid, Sepanyol hari ini. Atlet berusia 15 tahun itu menduduki tangga kelima dalam pusingan awal selepas mengumpul 6,020 mata daripada tiga percubaan.
9. KUALA LUMPUR 4 Ogos - Jaguh boling junior negara Shahrukh Amin Zulkifli, 18, menamatkan kempen Malaysia pada Kejohanan Boling Remaja Dunia 2018 dengan pingat perak apabila pertandingan yang berlangsung di Michigan, Amerika Syarikat itu melabuhkan tirainya pada Jumaat (awal Sabtu waktu Malaysia).
10. IPOH, 4 Ogos - Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) menegaskan penamatan kontrak Ahmad Shahrul Azhar Sofian sebagai pengurus skuad 'The Bos Gaurus' disokong sepenuhnya oleh jawatankuasa eksekutif badan induk berkenaan. Presidennya Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata perkara itu tidak dilakukan secara terburu-buru atau diputuskan secara bersendirian oleh beliau selaku pemimpin tertinggi Pafa.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
Senarai Nama2 TUKANG URUT Di (TERENGGANU) Terima kasih Dah Tahniah Sape Yg Buat Senarai Ni... 1) Encik Mad Ali Kampung Paya Res...
-
☑️ Amik telefon picit nombor 03-516 13228. Telefon kilang gardenia dan mintak lah nak cakap dengan Puan Farah. Jangan kedekut cr...
-
(Semua cerita aku ini berdasarkan kisah benar yang berlaku pada diri aku sendiri, atau kawan-kawan rapat terdekat. Ia berlaku se...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan