Isnin, 14 Februari 2022

Pengalaman menghadiri Profession Assessment Centre (PAC) atau Ujian Bakat untuk jawatan Pegawai Kebudayaan (B41) dalam MOTAC selepas berjaya dalam ujian PSEE SPA


Assalamualaikum semua.
Saya ingin berkongsi pengalaman saya menghadiri Profession Assessment Centre (PAC) atau Ujian Bakat untuk jawatan Pegawai Kebudayaan (B41) dalam MOTAC selepas berjaya dalam ujian PSEE SPA. Memandangkan sebelum ini saya tak menemui banyak rujukan berkaitan PAC ini, jadi saya berharap agar penulisan ini mungkin sedikit sebanyak akan membantu mana mana calon yang terpilih ke PAC MOTAC. 

Sesi pendaftaran bermula seawal jam 7.30 pagi dan kami telah dibahagikan kepada 3 sesi. Saya mendapat sesi yang ketiga. Selepas itu, kami dikehendaki memakai nombor giliran sehingga tamat PAC. Seterusnya, kami terus dibawa ke auditorium untuk menjawab ujian bertulis. Terdapat 40 soalan objektif yang perlu dijawab dalam masa 40 minit. Tahap kesukaran ujian tersebut pada saya agak tinggi. Hal ini kerana, soalan soalan semuanya berkisar mengenai MOTAC, pentadbiran kebudayaan, Dasar Kebudayaan Negara, warisan kebudayaan Malaysia dan pengetahuan am. 

Untuk sesi pengucapan awam pula, tajuk ucapan adalah secara rawak dan urusetia akan menyuruh calon untuk membuat cabutan tajuk. Setiap calon akan mendapat tajuk yang berbeza. Masa persediaan pula cuma 10 minit dan 5 minit masa diberikan untuk berhujah di hadapan dua orang panel. 

Peringkat seterusnya adalah sesi perbincangan secara berkumpulan. Kami telah diberikan soalan dan dikehendaki untuk menghuraikan isi isi penting secara bergilir gilir. Soalan yang kumpulan saya dapat adalah berkenaan dengan langkah langkah atau strategi pemasaran untuk produksi filem. Keadaan amat riuh sekali ketika sesi ini berlangsung kerana masing masing saling bantu membantu antara ahli kumpulan yang lain. 

Akhir sekali, sesi yang paling ditunggu tunggu ialah bakat kesenimanan. Sesi bakat kesenimanan ini terbahagi kepada 5 bidang iaitu seni lukis, seni tari, seni sastera, seni lakon dan seni muzik. Biarpun saya mempunyai latar belakang muzik namun saya telah memilih seni sastera dan seni lakon, memandangkan saya tidak mempunyai alat muzik untuk dimainkan. Setiap calon perlu memilih dua seni bakat untuk dipersembahkan. Alat muzik perlulah dibawa sendiri oleh calon. Pemilihan bidang seni akan diberitahu lebih awal iaitu melalui emel, jadi calon tidak perlu risau dan boleh membuat persiapan sebelum datang ke PAC. 

Akhir kata daripada saya, selamat berjaya kepada semua calon. Jangan gementar dan buatlah persiapan secukupnya sebelum hadir ke PAC. Berusahalah sehabis baik kemudian baru tawakal. InshaAllah, semoga ada rezeki!😀

Sumber Facebook Sahiran Azizan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan