Sabtu, 5 Februari 2022

Pengalaman Proses Pemilihan Penolong Penguasa Bomba Gred KB29.

SIRI 1
Proses Pemilihan Penolong Penguasa Bomba Gred KB29.

Saya ingin membuat sedikit perkongsian berkenaan jawatan Penolong Penguasa Bomba KB29. Sepanjang kajian saya berkenaan jawatan ini, tidak banyak maklumat yang terperinci mengenai proses bagi menjawat jawatan ini di Internet. Oleh itu, saya merasa terpanggil untuk berkongsi pengalaman saya sendiri dalam melalui proses yang ditetapkan SPA bagi menjawat jawatan ini.
 
Saya ingin tegaskan, sebelum anda membaca perkongsian ini, semua yang saya tulis adalah pengalaman peribadi saya dan hasil kajian yang saya lakukan bagi menyediakan diri saya menghadapi setiap peringkat pemilihan dan temu duga untuk jawatan ini. Pengalaman dan pengetahuan calon lain dalam proses pemilihan jawatan ini mungkin berbeza dari saya.

Untuk pengetahuan, saya telah mula memohon jawatan Penolong Penguasa Bomba KB29 sejak dari 2018. Dari tahun 2014 saya telah mula memohon jawatan perkhidmatan awam melalui SPA9, menjawab 8 Peperiksaan Online Memasuki Perkhidmatan Awam (PSSE), dan menghadiri 4 kali sesi temu duga untuk pelbagai jawatan. Akhirnya saya berjaya mendapat lantikan tetap sebagai Penolong Penguasa Bomba KB29 pada Februari 2022. Jawatan ini juga adalah jawatan yang paling saya minati, dan boleh dikatakan antara yang paling lama tempoh menunggu keputusan, bermula dari tarikh PSSE pada November 2020.

Apa itu Penolong Penguasa Bomba KB29?

Sedikit maklumat mengenai jawatan Penolong Penguasa Bomba KB29. Jawatan ini adalah salah satu dari 3 jawatan yang boleh dimohon dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). Bagi KB29, kelulusan minimum yang membolehkan anda memohon ialah sekurang-kurangnya diploma dalam bidang yang diiktiraf oleh kerajaan. Anda juga boleh memohon jawatan ini sekiranya anda memiliki ijazah sarjana muda. Terdapat 4 peringkat yang telah saya tempuhi sebelum saya mendapat lantikan tetap KB29. Peringkat pertama ialah PSSE, peringkat kedua ialah Ujian Pemeriksaan Fizikal, Pancaindera dan Kecergasan, peringkat ketiga ialah Ujian Psikometrik, dan yang terakhir ialah proses temu duga.
Sekiranya anda berjaya melepasi kesemua 4 peringkat ini, maka anda akan ditawarkan untuk menjawat jawatan Penolong Penguasa Bomba KB29. Sebelum anda dihantar untuk bertugas ke mana-mana tempat yang diarahkan oleh jabatan, anda diwajibkan menghabiskan satu kursus asas. Kursus mandatori ini dikenali sebagai Program Diploma Lanjutan Sains Kebombaan (PDLSK). Dalam program yang dijalankan selama 6 bulan ini, para pegawai gred KB29 akan dilatih dengan pelbagai ilmu kebombaan agar semua pegawai dapat menjadi Penolong Penguasa Bomba KB29 yang terlatih dan kompeten dalam menjalankan tugas-tugas kebombaan yang semakin mencabar. Setiap peringkat pemilihan yang dijalankan bertujuan untuk memilih individu yang dirasakan terbaik untuk menjadi seorang pegawai bomba. Oleh itu, anda harus faham bahawa jawatan ini memerlukan kekuatan fizikal dan ketahanan mental yang tinggi.

PSSE, susah atau senang?

Saya mula memohon jawatan Penolong Penguasa Bomba KB29 pada sekitar 2018. Terdapat beberapa lagi jawatan lain yang turut saya mohon dan mendapat panggilan PSSE, tetapi panggilan untuk PSSE jawatan KB29 hanya saya peroleh pada bulan November 2020. Sebelum PSSE gred KB29, saya pernah menjawab 4 lagi PSSE bagi jawatan lain. Secara asasnya, saya sudah mempunyai pengalaman dalam menjawab PSSE. Tidak banyak yang saya ingat mengenai soalan yang ditanya ketika PSSE KB29. Tetapi secara am, terdapat 3 seksyen iaitu pengetahuan am, daya menyelesaikan masalah dan kefahaman bahasa Inggeris. Bagi seksyen pengetahuan am, kebanyakan soalan adalah mengenai perkara asas bidang kebombaan. Bagi seksyen kedua pula, semuanya soalan matematik. Saya dapati soalan yang ditanya berada dalam lingkungan silibus matematik tingkatan 4 dan 5. Jadi anda harus ulangkaji semula silibus matematik tingkatan 4 dan 5 untuk menyediakan diri menjawab seksyen ini. Bagi seksyen ketiga pula, semestinya kefahaman bahasa Inggeris harus di tahap terbaik. Anda boleh mengulang kaji aspek grammar dan comprehension yang saya percaya adalah elemen penting bagi seksyen kefahaman bahasa Inggeris PSSE gred KB29.

Terdapat banyak perbincangan yang anda boleh dapati di media sosial mengenai berapakah markah yang diperlukan untuk lulus PSSE. Untuk persoalan ini, tugas sebagai calon ialah cuba sedaya upaya bagi menjawab SEMUA soalan dengan betul. Jika anda dapat markah 100%, sudah tentu anda ada peluang untuk dipanggil ke peringkat seterusnya. Anda harus ingat, dalam masa yang sama anda menjawab soalan, terdapat ribuan lagi calon yang sedang bersaing dengan anda. Yang paling penting, buat persediaan yang rapi sebelum menjawab PSSE. 

Saranan saya, ulang kaji secara am mengenai JBPM, membuat latih tubi soalan matematik dan tingkatkan skill dan kefahaman asas bahasa Inggeris anda. Lazimnya, kegagalan memahami soalan ialah punca ramai yang kandas PSSE. Selain persediaan aspek akademik, anda harus menyediakan diri anda dengan keadaan yang selesa pada hari PSSE dijalankan. Berikan komitmen 100% pada hari tersebut. Pastikan talian internet dalam keadaan baik dan laptop atau telefon bimbit anda mempunyai bateri yang mencukupi. Persediaan fizikal rapi akan memberikan anda 'peace of mind' ketika menjawab PSSE. Anda juga dapat memberikan sepenuh tumpuan ketika menjawab soalan. 

Kurangkan merungut soalan susah, tidak logik, orang lain guna kabel, dan sebagainya. Sebaiknya banyakkan berdoa kepada Allah agar dipermudahkan urusan kita. Sekiranya anda lemah dalam sesuatu aspek, cari jalan untuk atasi kelemahan anda. Carilah mentor yang boleh membantu kita untuk mengatasi kelemahan yang kita kenal pasti. Jika kita betul-betul berminat untuk menjadi penjawat awam, sudah tentu kita akan terus berusaha gigih untuk lulus dalam ujian ini. 

Dalam siri yang akan datang, saya akan cuba menghuraikan pengalaman saya hadir Ujian Pemeriksaan Fizikal, Pancaindera dan Kecergasan bagi jawatan Penolong Penguasa Bomba KB29.

Sumber Group FB Rujukan Peperiksaan Online Perkhidmatan Awam - Mohamad Fakhrurazi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan