TANJUNG GELANG DAN POK TUYU,
Mengabang Telipot..
Tanjung Gelang Mg Telipot, sebenarnya memperolehi nama melalui sejarah yang hebat dan ada kaitan dengan Kesultanan Johor zaman dahulu, yakni sejarah besar Terengganu.
2. Di Pantai ini (disebut Tanjung Gegelang) Mengabang Telipot tempat dibunuhnya 'gegelang' yakni kumpulan anak anak perahu bekas Laksmana dari Johor itu, seorang pahlawan hebat, bergelar Paduka Raja atau nama sebenarnya Wan Abdul Rahman.
3. Wan Abdul Rahman (Paduka Raja) adalah di masa pemerintahan Bendahara Padang Saujana yang kemudian menjadi sultan dengan gelaran Sultan Abdul Jalil IV, Johor.
4. Siapakah Sultan Abdul Jalil 1V ini- Baginda adalah bersaudara dengan Tun Zainal Abidin Paduka Raja iaitu Sultan Zainal Abidin I Terengganu.
Menurut sejarah itu, Sultan Abdul.Jalil IV datang berada di Terengganu sekitar 1719-1729M bersama adiknya itu, Tun Zainal Abidin dan meninggalkan adiknya di Terengganu untuk menjaga negeri ini.
5. Berlaku fitnah ke atas Laksamana Paduka Raja kononnya bermukah dengan gundik Sultan Abdul Jalil IV Johor itu, lalu Paduka Raja itu lari ke beberapa tempat di Pahang hinggalah akhirnya ke Terengganu.
6. Belum sempat masuk ke Kuala sungai Terengganu, Paduka Raja terus dikepong lagi oleh orang orang Sultan Abdul Jalil IV lalu Paduka Raja terus belayar ke arah Barat, hingga akhirnya tersadai di Pantai Bari Setiu (perahu ditarik lalu di nama tempat itu sebagai Penarik).
7. Paduka Raja itu lari berjalan kaki hingga hampir 10 batu ke suatu kawasan lapang, akhirnya tempat itu dinamakan Permaisuri. Lalu orang orang Sultan Abdul Jalil mengambil perahu dan peralatan puak puak Paduka Raja di bawanya balik ke Seberang Takir.
8. Seorang pembesar Terengganu waktu itu bernama Tun Lahat menyebelahi Sultan Abdul Jalil mengarahkan mencari Paduka Raja di Setiu dan dibawa bersama para pengikut Paduka Raja iaitu Batin (nakhoda perahu) dan para gegelangnya ( anak perahu atau kumpulannya).
9. Dalam usaha orang orang Sultan Abdul Jalil IV Johor itu dengan kerjasama Tun Lahat membawa Paduka Raja dan pengikutnya, sampai di suatu tanjung lalu dibunuhnya kesemua Gegelang (anak anak perahu) Paduka Raja yang terkena fitnah itu. Lalu dinamakan tempat itu hingga sekarang sebagai Tanjung Gelang (Gegelang).
10. Manakala Batin (nakhoda perahu) Paduka Raja juga dibunuh akhirnya dekat sebuah telahan di kawasan lapangan terbang sekarang hingga dikenali sampai Telaga Batin.
11. Adapun Paduka Raja yang tersohor di Johor itu juga dibunuh oleh orang orang Sultan Abdul Jalil di kawasan pantai Kampung Seberang Takir (kuburnya ada di belakang Pejabat Pos Seberang Takir).Telah dipagar bewarna putih.
12. Kubur itu suatu ketika dahulu sering dilawati kerana Paduka Raja ini dianggap sebagai seorang pahlawan yang tidak berdosa tetapi dibunuh kerana fitnah.
13. Bermakna nama Tanjung Gelang itu sejarahnya bukan sembarangan diperolehi tetapi ada kaitan dengan kepahlawanan dan kesultanan, khususnya dari.Johor. Apakah mungkin darah kepahlawnan itu juga meresapi penduduk tempatan dan ada kemungkinan gegelang yang terselamat seorang dua menetap di kawasan itu kira kira 300 tahun yang lalu?
14. Sementara itu Lanbayu juga mendapat tahu sungai atau Mengabang Tanjung Gelang itu amat luas, boleh dimasuki ikan ikan besar dari laut melalui kualanya. Suatu hari dikatakan ikan besar masuk hingga jauh ke mengabang atau paya (kawasan UMT sekarang). Lalu seorang anak bertanya kepada ayahnya...Pok tu apa..sambil menunjukkan Yu dalam mengabang itu..Jawap.ayahnya, 'tu Yu,'..lalu lahirnya Kampung Pak TuYu. Wallahualam.
15. Tanjung Gelang adalah salah satu dari beberapa kampung di Mengabang Telipot. Ia suatu ketika amat terkenal kerana pesta Main Pantai- petani dari Bukit Chempaka datang membina bangsal bangsal dari daun kelapa dan berehat, memasak serta bersantai santai. Kisahnya akan Lanbayu coretkan dalam coretan akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan