Sabtu, 23 Oktober 2021

Tan Sri Muhyiddin Yaasin Mendapatkan Dos Penggalak Covid-19

Pagi ini, saya dan isteri telah ke PPV Axiata Arena untuk menerima suntikan dos penggalak atau "booster dose" vaksin COVID-19.  

Pemberian dos secara sukarela dan percuma di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) ini telah bermula di Sarawak sejak 13 Oktober lepas.  

Bagi warga Lembah Klang, 'roll out' janji temu  telah dikeluarkan sejak semalam dan pemberian dos penggalak dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya pada 27 Oktober ini.

Objektif pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 ialah untuk memastikan tempoh perlindungan yang optima diperolehi oleh penerima vaksin COVID-19 di Malaysia.

Dos penggalak ini diberi kepada penerima vaksin "Cominarty" (Pfizer) yang telah lengkap menerima vaksin sekurang- kurangnya 6 bulan yang lalu dengan keutamaan kepada anggota barisan hadapan kesihatan dan keselamatan, warga emas berusia 60 tahun dan ke atas dan individu yang mempunyai komorbiditi. 

Sehingga 21 Oktober, seramai 66,672 individu telah menerima dos penggalak. 

Malaysia merupakan antara negara yang awal di dunia dalam melaksanakan suntikan dos penggalak vaksinasi COVID-19, dan ini selari dengan kejayaan Kerajaan yang sudah memberikan lebih 48 juta dos vaksinasi kepada populasi di Malaysia.

Setakat hari ini, 94.3 peratus populasi dewasa sudah lengkap divaksinasi, manakala 71.6 peratus daripada kesuluruhan populasi rakyat di negara kita juga telah menerima suntikan lengkap COVID-19. 

Kemampuan Malaysia memberi dos penggalak secara percuma kepada barisan hadapan dan golongan berisiko tinggi ini adalah hasil daripada perancangan Kerajaan yang efektif dalam menempah dan membeli dos suntikan vaksinasi daripada kombinasi pengeluar vaksin utama dunia sejak akhir tahun lepas. 

Ketika di PPV Axiata Arena, saya  berkesempatan menyantuni golongan remaja berusia di bawah 18 tahun yang turut menerima suntikan vaksin. Majoriti mereka ditemani ibu bapa masing-masing, satu situasi yang menggambarkan kesedaran dalam kalangan masyarakat kita mengenai kepentingan vaksinasi untuk melindungi diri, keluarga dan komuniti.  

Kepada mereka yang masih belum menerima suntikan vaksinasi, segeralah mendapatkan suntikan ini. Buat mereka yang sudah dan bakal menerima janji temu untuk menerima dos penggalak, saya doakan proses vaksinasi anda berjalan dengan lancar. 

Ayuh, bersama lindungi diri, lindungi semua!

Sumber
Facebook Page Rasmi
YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
MANTAN PERDANA MENTERI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan