30 Mei

Tok Bomoh Arwah Pak Cik Man Sudin


Orang kita dulu dulu banyak menggunakan khidmat bomoh bomoh. Tulisan saya ini berdasarkan sekadar yang saya bersama, lihat dan tahu di sebelah utara, khasnya P.Pinang.

Biasanya kalau barang hilang, mereka akan pergi menengok, jumpa Tok Bomoh, kena bawa bekas sirih, dalam bekas sirih, kena ada sirih pinang, tembakau, kemenyan, sintok, buah limau purut dan beberapa lagi, pengerasnya pula mesti ada duit dan duit tu mesti ada dua kupang lima det atau suku, sekitar pertengahan 1980, pengerasnya lima belas ringgit dua kupang lima det atau lima belas ringgit suku. Biasanya Tok Bomoh akan menengok didalam mangkok air yang dibaca mentera, dan memang ada ketikanya Tok Bomoh yang hebat, sampai boleh bagitahu barang hilang tu ada dimana, cumanya kalau dah terlepas laut, tak dapat lah dikesan.

Begitu juga apabila kerasukan atau masuk hantu,  Tok Bomoh akan dipanggil kerumah, orang yang masuk hantu tu biasanya menjadi ganas, tetapi apabila Tok Bomoh melangkah masuk sambil kumat kamit membaca mentera, orang yang kerasukan itu akan mula menjadi lemah. Ketika itulah Tok Bomoh akan mula memasang asap kemenyan, membuka bekas sirih, menyediakan sirih pinang, dan dikunyahnya,  dan mula meminta hantu yang menumpang itu keluar dari badan orang yang kerasukan itu, dengan menggunakan lada hitam yang ditekan di ibu jari, orang itu akan menjadi ganas dan meronta ronta sehingga terpaksa beberapa orang memegangnya. Ada ketikanya kalau terlalu ganas, memaki hamun dan meronta, Tok Bomoh akan  menyembur muka orang kerasukan itu dengan sirih yang dikunyahnya.

Akan berlaku dialog antara Tok Bomoh dan orang yang kerasukan itu, Tok Bomoh akan dengan lembutnya menyuruh hantu itu keluar, dan pastinya dia melawan, dia mulanya memadang rendah dan mempermainkan Tok Bomoh, namun apabila Tok Bomoh mula bertegas dan memicit ibu jari orang itu dengan lada hitam, orang itu akan mula menjerit, dan bercakap dengan bahasa bahasa yang pelik tak pernah didengari, sehinggalah akhirnya hantu itu keluar dan orang yang kerasukan itu akan terpinga pinga melihat orang ramai disekelilingnya.
Saya pernah beberapa kali mengikuti seorang Tok Bomoh yang hebat dikampung saya, Sungai Rusa, Balik Pulau, mengubati orang kerasukan atau masuk hantu ni, biasanya malam pukul 9-00 keatas dalam kes rawatan ulangan, kalau tiba tiba masuk hantu, tak kira lah pukul 3-00 pagi pun, Pak Cik Man Sudin tak pernah menghampakan harapan orang yang menjemputnya, dan saya biasanya menawarkan diri untuk mengikuti Pak Cik Man Sudin berubat orang masuk hantu.

Memang betul, berlaku didepan mata apa yang saya ceritakan ini.

Namun begitu ada juga kisah seorang orang kampung saya yang pergi berubat disatu negeri lain, katanya Tok Pawang tu sangat hebat, sebelum pergi ke Tok Pawang berkenaan,dia dah jumpa Pak Cik Man, dah Pak Cik Man dah menengok dan dia didapati sihat, tapi dia macam tak yakin, lalu pergilah berjumpa Tok Pawang yang dikatakan hebat sangat tu. 

Biasa lah sampai saja, Tok Pawang pun menurun berdentum dentam, menepuk lantai, terus kata ada hantu, Tok Pawang pun mula tekan ibu jari orang tu, baru sentuh dah sakit, Tok Pawang kata hantu ni kuat sungguh, dia pun tekan lagi kuat, dok suruh hantu tu keluar, yang orang tu dok kata sakit, sakit, Tok Pawang kata, kalau sakit baik hang keluar cepat, Tok Pawang pun tekan lagi kuat ibu jari orang tu sambil kata cepat keluar, orang tu pun tiba tiba terketar ketar dia tendang Tok Pawang sambil kata, keluar kepala bapak apanya, kaki aku ni makan cekam.

Apa pun, Pak Cik Man Sudin, sangat banyak.jasanya terhadap orang kampung saya sehingga ke seluruh Balik Pulau mengenalinya, beliau mampu mengubati penyakit kayap, menurunkan panas badan dengan menjampi air penawar dan berbagai lagi. Pak Ci Man Sudin bukan bomoh yang menurun, bercakap siam dan sebagainya.

Saya rasa jarang sangat dah dijumpai Tok Bomoh dan cara perubatan seperti ini, tambahan pula penyediaan bekas sirih dan segalanya, silap silap sintok pun ada yang tak tahu, ada ke tak lagi sintok pun tak tahu lah.

Pak Cik Man Sudin telah lama  meninggal dunia, semoga ALLAH merahmatinya.

Sumber:
Facebook Page Malaysiaku Dulu-Dulu Official

BUKIT KAMAL MENJERIT VII


(Semua cerita aku ini berdasarkan kisah benar yang berlaku pada diri aku sendiri, atau kawan-kawan rapat terdekat. Ia berlaku sekitar 1980 hingga 1993. Latar kejadian berbeza, di darat dan di laut, semasa bertugas sebagai anggota LLP di TLDM. Olahan, plot, penceritaan aku susun sebaiknya supaya menimbulkan suasana. Mohon sokongan)

Malam itu, selepas Isyak, selepas kami baca Yassin beramai-ramai, aku disoal bertalu-talu oleh rakan-rakan di dormetri. Mat Yus interrogate aku macam pegawai penyiasat. Aku dipersalahkan kerana meninggalkan mereka berlima di blok bujang itu dan menghilang tanpa khabar berita. Hairan juga, kerana seingat aku, mereka berlima tahu dengan siapa aku keluar untuk bermalam pada malam kejadian.

“Mana ada, aku nampak kau sorang diri jer tinggalkan kami, tak nampak Shaari pun’” getus Zaman (arwah).
“Dia kan datang ajak aku. Kau semua ada kat sini masa dia datang,” aku pertahankan tindakan.
“Kau pikul beg pakaian, tinggalkan kami masa maghrib. Kau tak inform kami pun,” kata Yoyo.

Aku ceritakan semua yang berlaku, dari mula tinggalkan rakan-rakan yang pada sangkaanku mereka tahu ke mana aku hendak pergi, kemudian tidur di rumah Shaari, seorang pakcik yang tiba-tiba muncul bersila di sebelah aku meminta aku menyimpan tulangnya yang ketika itu masih dalam beg pakaian dan akhirnya balik semula ke dormetri.
“Mana Shaari?” Tanya Dagu.
“Dia balik blok dia.”
“Kau tidur bersama kami di sini malam tadi. Tapi kau kata kau tidur rumah Shaari. Blok kita dah jadi sarang hantu dah,” Kata Yoyo.

Sekitar pukul 10, sebelum lampu blok dipadamkan, kami berjalan ke dormetri Shaari di sebelah. Shaari ada, bersiap sedia untuk tidur. Ternyata dia memang duty sentry pada malam kejadian. “Aku duty pintu 3 katanya,”, menunjukkan buku log awasan yang ditandatangani semasa memulakan dan menamatkan tugas pagi tadi. Sah sekarang, Shaari bertugas dan tidak ke mana-mana malam semalam. Soalnya aku pergi ke rumah yang dikatakan rumah Shaari tu dengan siapa, tidur pula di rumah siapa. Tulang yang masih tersimpan dalam beg pakaian di blok aku sekarang itu siapa pula yang memberinya. Siapakah empunya tulang itu. Siapa pula orang tua yang berbual dengan aku seketika di ‘rumah’ Shaari itu. Siapa yang menggantikan aku semasa ketiadaan aku ke rumah Shaari malam tadi dan berbual dengan rakan-rakanku di blok penginapan. ‘Shaari’ mana pula yang menemani aku ke ‘rumah’nya malam semalam dan Shaari mana lagi yang menemani aku pulang ke blok penginapan.

Aduhhh, semua persoalan itu mengganggu. Seorang pun kawan-kawan tidak dapat memberikan jawapan. Dua tiga kali Mat Yus dan kawan-kawan mempersendakan aku sambil berkata mereka sedang berjalan dan bercakap dengan hantu, dan bukan aku sendiri. Gurauan itu memang jenaka, tetapi ia serius dan ia tidak membuatkan kami ketawa pun.

Malamnya, aku yang paling sukar hendak melelapkan mata. Mat Yus, Raja, Haizi, Yoyo, Dagu, Zaman hanyut sebaik tengah malam. Dua tida orang lain masih ada yang meniarap menulis surat bertemankan lilin terpasang di sebelah. Kami tidak bercakap pun.

Terdengar tapak kaki menghampiri. Hah, Nirwan!
Aku bingkas duduk. Nirwan duduk di sebelah.
“Kau ke rumah Shaari semalam?” tanyanya.
Aku angguk. “Siapa bagitahu?”
“Shaari, tadi. Dia kata kau pergi dengan hantu..” katanya senyum meleret, dalam kegelapan lampu yang sudah dipadamkan.
“Kata kau bawak balik tulang orang?” tanya Nirwan, pandang tepat ke muka aku.
Aku tahu Shaari yang beritahu dia tentang perkara ini. Selain rakan-rakan rapatku, Shaari saja yang tahu perkara tulang ni.
“Tu ada dalam beg.” Kata aku tunjuk ke arah beg dalam locker.
“Simpan elok-elok bang. Banyak benda misteri terjadi sekarang. Kau pun akan berdepan dengan macam-macam perkara nanti,” kata Nirwan bingkas bangun dan mula berjalan ke arah pintu.

Sebaik Nirwan melepasi seorang dua rakan-rakan yang sedang tidur, tiba-tiba rakan yang sedang tidur di katil bersebelahan melompat dan menjerit kuat. Kami semua terkejut.  Rakan itu menjerit, membuka langkah silat  dan mula menendang. Nirwan terhenti dan kami semua menerpa ke arah rakan yang menendang keras.

“Allahuakbar….allahuakbar!!!” jeritnya kuat sambil menendang angin. Satu dua tendangannya mengena besi katil.
Kawan-kawan sudah mula menerpa untuk menindih. Baharti lagi. Baharti masih dalam langkah bersilat, menyepak sesiapa saja yang mendekati.
“Hantu! Hantu…Allahuakbar…allahuakbar!!!” Jerit Baharti.
Aku juga bersama Mat Yus dan Zaman bergelut cuba merebahkan Baharti. Beberapa orang datang membantu.

Ayat-ayat suci dibacakan dan dihembus ke muka Baharti. Dagu melaungkan azan. Jurulatih menjengukkan muka bersama sentry yang bertugas dan bergegas membantu kami. Aku pandang belakang. Nirwan sudah hilang dan tidak ada kelibat dia di situ. Mungkin sudah balik ke dormetrinya di sebelah.

Baharti kembali pulih sejam kemudian. Kami berterusan membaca alquran untuk malam itu, sekurang-kurangnya sehingga pukul 3 atau 4 pagi. Sebelum subuh, seorang rakan datang memberitahu Nirwan tidak ada di tempat tidurnya.

Sehingga pagi, Nirwan tidak dijumpai. Rakan-rakan di dormetri lain juga cuba mencari tapi tidak bertemu. Pukul 8.30, selepas breakfast, aku, Mat Yus, Yoyo dan Shaari mula melangkah keluar dari pangkalan menuju Batu 9, Lekir untuk menyelesaikan kemelut yang semakin kusut.

Sebaik kami melepasi pintu 3 ke pekan Lumut, aku berhenti kira-kira 100 meter dari situ. Hutan kecil di kanan jalan, di kaki bukit di sebelahnya. Seperti ada jalan kecil di seberang parit kecil. Di situ ‘Shaari’ mengambil bungkusan yang mengandungi tulang sebelum diserahkan pada aku pada malam kejadian.

Shaari melompat parit kecil dan meninjau sekeliling. Tidak ada sesuatu pun yang kami jumpai di situ. Dia melompat parit semula dan menuju ke arah kami sebelum kami meneruskan perjalanan ke pekan Lumut.
“Mana tulang tu?” Tanya Shaari padaku.
Baru aku sedar, aku seharusnya membawa bungkusan yang mengandungi tulang itu bersama-sama ke rumah Shaari hari ini. Kami rancang untuk ‘kebumikan’ tulang itu di kubur nanti.
“Jom jalan. Kita bawak tulang tu semula. Sekarang kita gi kubur ayah kau Shaari.” Arah Mat Yus.

Matahari masih belum tingi ketika bas yang kami naiki sampai di Batu 9 Lekir. Shaari picit loceng bas dan kami berhenti betul-betul di tepi bangsal di depan rumah ‘Shaari’.

Tidak ada sebarang rumah di situ.  Di kiri kami ialah kawasan perkuburan . Pokok kelapa melambai di kanan jalan. Tidak ada kereta yang lalu lalang di situ semasa kami melangkah ke arah kubur yang terhampar di hadapan. Shaari mendahului.

Pagar dawai yang mengelilingi kubur sudah banyak yang berkarat dan usang. Kubur lama, kata aku dalam hati. Mat Yus memberi salam, agak kuat. Kami juga turut mengucapkan salam walaupun tidak sekuat Mat Yus.

Shaari menuju ke kubur ayahnya yang terletak di hujung sebelah kiri. Kami menuruti dari belakang. Aku berjalan paling belakang. Di kejauhan, kelihatan seseorang sedang membersihkan kubur, membongkok mencabut rumput-rumput. Apabila melewatinya, seorang tua dalam lingkungan lewat 70an menegur aku. Aku memperlahankan langkah.
“Hendak ke kubur siapa nak?” tanyanya.
“Kubur hujung, ayah kawan saya yang di depan tu,” tunjuk aku ke arah Shaari yang sedang berjalan. Mat Yus, Yoyo mengikutinya.
“Hati-hati ye nak. Tulang tu jaga elok-elok. Ada orang yang akan jumpa anak nanti minta tulang dia semula.” Katanya perlahan.

Kali ini langkah aku benar-benar terhenti. Bulu roma meremang serta merta. Allahuakbar, kata aku dalam hati. Aku pandang mukanya dengan  kehairanan. Di tangannya orang tua itu ada tanah-tanah yang melekat.

Aku mendengar namaku dipanggil. Yoyo datang tarik tangan. Aku belum sempat bertanya apa-apa kerana orang tua itu sudah tiada di situ. Memang kami berempat sahaja, dan tidak ada orang lain di perkuburan itu tengah hari itu.

Aku banyak berdiam ketika kami membaca surah Yassin di depan kubur ayah Shaari. Shaari mencabut rumput-rumput, membersihkan sekeliling batu nisan ayahnya. Selepas memberi salam, setengah jam kemudian kami meninggalkan kawasan perkuburan.

Tidak ada siapa pun yang sedar aku telah bertemu dengan orang tua di perkuburan tadi. Aku mengunci mulut dari rakan-rakanku.
Di blok penginapan lewat petang itu, kami cari Nirwan di dormetrinya. Nirwan masih belum ada dan masih belum dijumpai sejak peristiwa malam tadi.

Bersambung…

 Keterangan gambar:

Perbarisan Hari Tamat Latihan Intake 141 pada bulan Februari 1981 di padang kawad KD Pelandok, Lumut. Gambar dua, aku, Mat Yus dan Zul Lipis. Tempat tak ingat dah kat mana, tapi sekitar

Sumber:
Facebook Page Rasmi
Malaysiaku Dulu-Dulu Official

29 Mei

Lori hantu...


Lori yang tidak ada pintu, tidak ada plate number dan pergerakkannya terhad di tapak pembinaan sahaja. 

Kenangan suami saya sewaktu beliau bersekolah dalam Tingkatan 1 - 2.
Tanah kebun getah bersebelahan dengan kuarters Hospital  Daerah Jelebu dimajukan untuk pembinaan sekolah menengah sekitar tahun lewat 70 an...

Lori- lori hantu digunakan untuk kerja-kerja mengangkut tanah dari bukit yg ditarah (cut n filling). 
Di situ juga lah merupakan “taman permainan” untuk suami saya dan kawan-kawan sepermainannya (tanpa pengetahuan parents masing-masing). 

Pengalaman yang sangat2 menyeronokkan yang mana apek2 yg memandu lori itu melayan saja permintaan mereka untuk ikut serta menaiki lori-lori hantu semasa mereka menjalankan kerja mengangkut tanah. 

“Apo tak ea, lori hantu tu ado banyak, mako ea masing-masing dapek naik sorang satu lori! Siap buleh pilih laie!
Wiiiiiyaaaaiiiii... hosah riang ea hati masing2 memang tak dapek nak citor... teraso laaaa macam tokey lori tu jam tekaaawww...” kata suami saya.

Tu lah lebihkurang kegembiraan yang digambarkan oleh suami saya sewaktu dorang naik lori hantu tu 😬

Tapi kegembiraan tu hanyalah sementara bagi sorang berdua dari kawan-kawannya apabila disedari oleh  mak ayah mereka... habuannya memang kono sosah amo rotan pakej sekali dongan kono leter “Tompek tu bahayo, lori hantu mano ado pintuuu... kok torguling, torlungkop... sapo yg susahhh?” Sesekali terdonga bunyi “Piiiaaappp...piiaaappp...piiiaappp!!!”. Borbirat lah betis masing2. 

Pembinaan sekolah itu telah berjaya disiapkan dan sekolah itu masih beroperasi lagi hingga sekarang...
Sekolah Menengah Undang Jelebu...

Mungkin ada di antara warga MDDO ini yg pernah naik lori hantu tersebut semasa pembinaan sekolah ini😬

Setiap kali balik kampung bila lalu di tepi sekolah tersebut, suami saya akan berkata kepada anak2nya, “Ni projek ayah dulu nihhhh” disambut dengan seribu kerutan di dahi anak2, “Bilo plak nih?”

Ok tu yo citor pasal lori hantu ni.
Gambar yg ado tu dari google sekadar  hiasan kisah  ni haaa... tak yah lah korang cari plak lori2 tu yoooo.. memang tak jumpo...

BUKIT KAMAL MENJERIT VI


(Cerita ini berdasarkan kisah yang benar-benar berlaku pada diri aku sendiri atau kawan-kawan terdekat. Bagaimanapun olahan dilakukan pada dialog supaya ia menimbulkan suasana, tanpa merosakkan objek besar iaitu kisah benar).

Satu pagi Jumaat yang indah dan nyaman, setelah genap 3 bulan kami dilanyak pagi petang siang malam tanpa rehat yang sempurna, semasa kami sedang beratur hendak memasuki kelas di Sekolah Teknikal, pegawai kami memberitahu bahawa bermula petang nanti, semua rekrut dibenarkan untuk bercuti ‘long weekend’ selama 2 hari setengah, dan semua pelatih dibenarkan untuk keluar dari kawasan latihan dan bermalam di luar, atau mengunjungi saudara mara berdekatan, atau berehat sahaja di dormetri jika tidak berhasrat untuk keluar mengurat atau cari awek di pekan Sitiawan. Kami semua sambut berita itu dengan gembira dan berbunga. Semua melompat gembira. Di muka masing-masing terpancar kegembiraan yang bukan kepalang, setelah 3 bulan penuh dikunci di sekolah latihan tanpa sejengkal pun diberi kebenaran keluar dari pangkalan untuk melihat dunia luar.

Berita baik itu sebenarnya tidak menggembirakan aku pun. Aku bukannya ada saudara mara di Lumut, atau Sitiawan, atau sekitarnya,. Paling dekat saudara terdekatku ialah di Kelantan, yang jaraknya lebih 400 kilometer dari situ. Jadinya berita gembira itu jadi hambar dan bukan berita menyeronokkan lagi bagi setengah dari kami. Maka aku dan beberapa orang lagi rakan mengambil keputusan untuk sembam muka di bantal atau menulis surat kepada kekasih di kampung.

Sekitar lepas maghrib, Shaari, seorang rakan dari dormetri sebelah datang ke katil. Aku bingkas bangun. Mukanya terlindung di balik lampu kalimantang.

“Jom ikut aku balik kampung,” ajaknya. Aku terdiam sejenak. Rasa seronok tiba-tiba melonjak dalam hati.
“Lekir?” tanya aku.
“Ye, Batu 9. Aku rindu arwah ayah aku. Esok kita gi kubur dia”.
“Besok bertolak?” tanya aku lagi.
“Kita bertolak sekarang!”

Aku melompat bangun, masukkan baju dalam beg kecil dan dalam masa hanya beberapa minit selepas itu kami sudah bersedia berjalan kaki ke Lumut, sebelum menaiki bas ke Sitiawan.

Kami berborak sahaja sepanjang perjalanan dari pangkalan ke pekan Lumut. Shaari ini agak pendiam orangnya, tak banyak cakap. Dia hanya bersuara apabila perlu. Jadinya hanya aku yang banyak bercerita, terutama mengenai kisah hantu yang sering mengganggu kami pada malam-malam sebelum itu.

Sampai di satu simpang selepas pintu utama pangkalan di Lumut, Shaari minta aku tunggu tepi jalan kerana hendak mengambil sesuatu di situ. Hairan juga kerana di kanan jalan itu ialah hutan dan tidak nampak sebarang rumah orang di sekitar. Tanpa sempat aku bertanya, Shaari berkata, “aku tinggal barang kat sini tadi. Sekarang nak ambik.”

Aku terdiam. Tangkas Shaari menyelinap ke dalam belukar meninggalkan aku keseorangan di tepi jalan. Yang masih aku ingat, tidak ada seorang pun yang lalu di situ ketika aku berdiri di situ.

Shaari muncul semula beberapa minit kemudian, menggenggam sesuatu yang berbungkus dengan kertas suratkhabar di tangan.

“Tolong pegang,” katanya tanpa sempat aku bertanya apa kandungan di tangannya itu.
“Itu tulang ayah aku,” katanya lagi perlahan. Muka Shaari berbalam.
Aku terkejut bukan kepalang. Memang terasa benda keras kira-kira sekaki atau lebih panjangnya.
“Tulang ayah kau?” Aku bertanya kehairanan. Memang patut aku hairan kerana bari tadi Shaari beritahu bahawa ayahnya sudah meninggal dunia dan mengajak aku untuk menziarahi kubur keesokan harinya.
“Aku cerita esok. Malam ni kalau aku cerita kau takut”.

Aku mengangguk saja sementara kami melangkah menuju stesen bas Lumut.

Banyak persoalan bermain dalam kepala aku. Aku sekarang sedang memegang bungkusan tulang ayah Shaari, yang berbalut dengan kertas suratkhabar lama. Kami tak banyak bercakap. Shaari melangkah dengan cepat dan beberapa ketika kemudian kami sudah berada di dalam bas menuju Sitiawan.

Dari pekan Sitiawan, kami naik bas pula ke Batu 9, Lekir dan bas berhenti di tepi sebuah bangsal usang tepi jalan. Masa itu sudah hampir tengah malam. Shaari mendahului aku ke sebuah rumah yang nampak berbalam di hadapan.

Benar, rumah itu sudah agak usang dan mungkin sudah berusia puluhan tahun.  Tangga simennya seperti bentuk tangga rumah Minangkabau atau rumah lama di Melaka, atau Negeri Sembilan. Ada daun pintu bercermin berwarna gelap di tingkap yang terbuka. Kenapa tingkap terbuka di waktu tengah malam begini? Soalan itu menerjah kepala. Shaari menoleh, “Rumah aku pintu terbuka siang malam’..

Kami naik. Dia menyelinap ke ruang tengah dan muncul semula seketika kemudian.

“Mak aku dah tidur. Kita tidur sini. Esok kita sambung.” Katanya perlahan sambil merebahkan badan. Entah kenapa, malam itu terasa benar sejuknya. Mungkin juga kerana rumah itu adalah rumah kampung yang tidak terdedah kepada pembangunan. Selepas meletakkan bantal di ruang tamu berhampiran tingkap kayu, dalam kegelapan itu aku melihat Shaari sudah hanyut tertidur.

Dalam cahaya pelita minyak tanah yang meliuk ditiup angin, aku melihat rumah usang yang agak besar itu kosong dan tidak banyak perabot. Ada sebuah kerusi di sudut dinding, sebuah meja yang juga usang di tepinya. Tikar mengkuang terhampar. Ada sebuah bilik yang pintunya tidak terbuka sejak tadi. Mungkin bilik mak Shaari, kata hati aku. Sekilas aku teringatkan bungkusan suratkhabar yang Shaari kata mengandungi tulang bapanya. Bungkusan itu aku letak dalam beg pakaian.

Rasa ngeri muncul tiba-tiba. Aku dicengkam rasa takut. Takut sehingga rasa hendak membalikkan badan pun terasa seperti diperhati seseorang. Terasa seperti ada orang lain di sebelah. Bulu roma meremang. Aku tidak berani menoleh dan membuka mata.

“Anak…” tiba-tiba terdengar suara seperti berbisik. Suara itu persis angin lalu di tepi telinga.
“Anak…bangun..” bunyi suara itu lagi, lebih jelas tapi masih berbisik.

Aku masih berdiam. Bulu roma berdiri. Terasa seram sejuk seluruh badan. Tiba-tiba terasa sesuatu memegang bahu. Dalam ketakutan yang amat sangat, tanpa sedar aku telah membalikkan badan.

Dalam kegelapan, aku melihat di depanku seorang lelaki tua berambut hitam, tidak berbaju, bersila mengadap aku yang sedang menggigil ketakutan.

“Pakcik nak pesan, tolong jaga tulang pakcik yang dalam beg tu…” katanya perlahan.

Aku masih tergamam dan tidak ada ayat yang mampu keluar dari mulut aku ketika itu. Aku pun tidak tahu bagaimana selepas itu aku bangun dan turut bersila di depannya.

Malam hanya diterangi oleh pelita yang cahayanya meliuk lintuk. Sejuk membungkam. Angin lembut meniup muka dan telinga. Samar-samar muka orang tua ini di depan. Kami hampir berlaga lutut apabila Shaari tiba-tiba menoleh. Aku pandang Shaari yang memandang aku dengan pandangan aneh.

“Kenapa kau bangun?” Dia bertanya kehairanan.
“Pakcik ni kejut,” kata aku sambil pandang semula ke arah orang tua di depan. Tidak ada sesiapa di depan aku. Kosong. Tidak nampak sebarang kelibat manusia.
“Tidurlah, kau mimpi..” kata Shaari ketawa kecil, membalikkan semula badannya mengadap dinding.

Shaari kemudian tidur semula.

Aku terkebil-kebil di sebelahnya. Kehadiran orang tua tadi dan kata-katanya masih terngiang. Aku tak tahu berapa lama aku termanggu sendirian dalam kebingungan sehingga tertidur.

Esoknya, setelah mandi, aku ajak Shaari balik semula ke pangkalan di Lumut. Shaari tahu apa alasan aku untuk tidak berlama-lama di rumahnya. Pagi itu baru aku berjumpa emak Shaari, yang kelihatan sudah tua dan bertongkat bila berjalan sebelum bergobek di dapur.

“Tulang ayah kau ni bagaimana?” aku tanya Shaari ketika dalam bas.
Shaari pandang aku, pegang tangan aku. “Apa ayah aku cakap?”
Aku terkedu. Shaari tahu apa yan berlaku malam tadi.
“Dia suruh jaga”.
Aku lihat muka Shaari tersenyum dan dia menarik nafas dalam-dalam.
Setelah memasuki pangkalan dan naik semula ke dormetri di tingkat 3, Yoyo yang kebetulan hendak ke bilik air menyapa. “Ehh, kau pergi mana dengan beg ni..?” Yoyo pandang aku dengan kehairanan.
“Tidur rumah Shaari kat Lekir,” jawab aku jujur.
Kali ini Yoyo terhenti dan tenung bulat ke muka aku.
“Apa kau cakap? Tidur rumah Shaari?” tanya Yoyo lagi.
Aku angguk.
“Habis yang bercakap dengan aku malam tadi tu siapa?”
Aku gumam, tak terkata apa-apa.
Yoyo jerit panggil Mat Yus. Mat Yus menoleh.
“Yus, ni Safri, dia kata malam tadi dia tidur rumah Shaari di Lekir. Yang dok bercakap dengan kita malam tadi tu siapa?”

Mat Yus kehairanan. Haizi, Raja, Dagu, Haizi juga kehairanan. Aku terduduk di birai katil.

Malam itu kami semua sembahyang maghrib bersama. Dagu azan kuat-kuat. Mat Yus jadi imam. Kami semua baca Yassin selepas itu.

Hairannya, Shaari tak pernah mengakui bahawa dia pernah membawa aku tidur di rumahnya pada malam kejadian. Malah, katanya, pada malam itu dia ditugaskan sebagai duty sentry di pejabat KD Malaya.

Tulang itu aku simpan berpuluh tahun, sehinga aku melepaskannya kepada seorang guru agama di Lekir 4 tahun lepas. Aku minta tulang itu dikebumikan di situ.

Keterangan gambar:

Ini Shaari, ketika kami bersama-sama ditugaskan di atas kapal KD Ganyang. Kami tidak pernah bersua sejak 1984. Gambar kedua, itulah tulang yang orang tua tu suruh aku simpan.

Sumber:
Facebook Page Rasmi
Malaysiaku Dulu-Dulu Official

Bas Mini Pink

"CM, CM. Rapat! Masuk lagi." laung kolek bas. Arahan dan marah intonasinya sama sj. CRM tk popular zaman ni. Penumpang akur, bertolak ansur memberi ruang. 1997-1999 saya meneruskan kembara ilmu di Matrikulasi UIA, Lembah Pantai dan bas mini pink ni la yg menjadi kenderaan rasmi. Tkda ehailing zaman tu. Taxi rasa mahal. Tambang 5 kupang, tp bas mini ni sgt "berbisa".

Boleh sumbat selagi muat tanpa had, lab tang kona langsung tak gayat, aircond mudah laras, tutup tingkap tolak atas, angin menderu membawa segala jenis bau yang ada.

 Rempitan padu, kakak-kakak siap siaga. Perlu break sendiri guna kekuatan tangan serta kaki elak jadi "rezeki" abg-abg kanan kiri. Pakai perfume tkda makna. Turun nnt bau semua dah sama.  Pink Lady in memory sebelum tibanya era Intrakota dan LRT😍.

CRM: Customer relationship management
CM: Central Market
Kolek: Konduktor bas

Sumber:
Facebook Page Rasmi
Malaysiaku Dulu-Dulu Official

Selamat Menyambut Pesta Kaamatan & Hari Gawai 2021.



Esok, masyarakat Kadazandusun di Sabah akan menyambut Pesta Kaamatan sebelum disusuli dengan sambutan Hari Gawai oleh komuniti Dayak di Sarawak, dua hari selepas itu. 

Kedua-dua perayaan ini disambut sebagai 
tanda kesyukuran di atas kurniaan rezeki selepas berakhirnya musim menuai. 

Sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai tahun ini tentunya diraikan dalam suasana berbeza berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan yang sedang berkuatkuasa dalam usaha kita membendung peningkatan kes jangkitan COVID-19.

Saya memahami perasaan sedih anda semua kerana tidak dapat meraikan perayaan ini dengan meriah sebagaimana tahun-tahun terdahulu. Yang pasti, semua tindakan dan larangan ditetapkan Kerajaan seperti tidak membenarkan aktiviti kunjung-mengunjungi semasa sambutan adalah semata-mata untuk menjauhkan rakyat daripada terus dijangkiti wabak ini. 

Nasihat saya, raikanlah perayaan ini dalam norma baharu bersama ahli keluarga di rumah dengan suasana yang ceria. Elakkan daripada meninggalkan rumah kecuali atas urusan-urusan yang penting. 

Semoga perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai pada tahun ini menguatkan lagi iltizam kita semua untuk mengharungi segala cabaran dan dugaan demi kemakmuran bersama dan masa depan negara yang lebih cerah. 

Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan.
Gayu Guru Gerai Nyamai.

#LockdownKendiri
#SelfLockdown

Sumber:
Facebook Page Rasmi
Tan Sri Muhyiddin Yassin
Perdana Menteri Malaysia ke-8

28 Mei

HARUN NANAI .

..Warga dikampung saya dan kampung kampung yang berdekatan dengan Kampung Lubuk Merbau pastinya mengenali susuk tubuh ini .Namanya Harun Alang Mat Aroff , atau lebih dikenali dengan panggilan sehariannya Harun Nanai . Beliau diketahui mempunyai  sekeping hati yang baik tetapi agak bernasib malang diakhir akhir penghidupannya didunia fana' ini .

Saya mengenali Harun Nanai ini semasa masih dizaman remaja ..mungkin didalam tahun 1970 ketika saya berada didalam darjah enam Sekolah Kebangsaan Lubuk Merbau yang kini telah dikenali dengan nama Sekolah Kebangsaan Sheikh Mohamad Idris AlMarbawi.

Pada ketika itu Harun Nanai bekerja dikilang padi bapa saya di Kg Kubang Panjang , Lubuk Merbau .Rumahnya terletak tidak jauh dari kilang padi tersebut .Saya tidak mengenali kedua dua ibu bapanya , tetapi saya mengenali salah seorang dari adik perempuannya, kalau tidak silap saya bernama Suriani .

Pada ketika itu Harun Nanai bekerja bersama Man Kilang , dan Mail CK dikilang bapa saya tersebut .Kebiasaannya bapa saya akan menyuruh saya pergi kekilang padi itu pada waktu sebelah petang  selepas habis waktu sekolah , jika bapa mempunyai urusan lain untuk diselesaikan .

Al Maklumlah , disamping menjadi Imam Masjid , bapa saya juga bertindak sebagai Naib Kadi bagi Mukim Lubuk Merbau yang sering menghadiri majlis majlis pernikahan anak buah di Mukimnya .

Apabila saya bertindak mewakili bapa saya menguruskan kilang tersebut ( sebenarnya cuma menguruskan wang masuk hasil kutipan upah mengilang dan hasil jualan dedak )sahaja , saya jarang sekali membantu ketiga tiga pekerja kilang tersebut untuk  mengangkat padi  atau memasukkan dedak kedalam guni atau lain lain pekerjaan .

Kelakuan saya yang selalunya berlagak sebagai anak tauke kilang , kerap mendatangkan kemarahan kepada Harun Nanai ini .Pernah disuatu ketika , saya telah dibaling oleh Harun Nanai dengan penyapu dari atas tempat tuangan padi tetapi saya telah berjaya mengelakkan diri dari balingan tersebut .

Apapun sebenarnya saya anggap Harun Nanai hanya  bergurau dengan saya walaupun umur saya pada ketika itu didalam lengkungan dua belas tahun , masih tidak berapa faham akan erti gurauan tersebut .

Apabila saya meninggalkan kampung untuk memulakan alam kerjaya saya pada tahun 1977 , kilang padi tersebut masih lagi beroperasi , dan tugas wakil tauke kilang diserahkan pula kepada adik saya Hafiz Kamil .

Perkembangan selanjutnya mengenai kilang padi tersebut telah diluar dari pengetahuan saya tetapi jika tidak silap saya , oleh kerana faktor kurangnya orang kampung yang terus mengusahakan tanaman padi , kilang padi tersebut akhirnya terpaksa ditutup .

Setelah saya keluar merantau , sesekali saya akan balik bercuti dikampung .Pada ketika itu dipertengahan tahun 1980 an , Harun Nanai telah bekerja sebagai pembantu disebuah kedai makan dikampung saya .Harun Nanai juga dikhabarkan kerap membantu urusan masak memasak di Masjid kampung saya sekiranya sebarang majlis atau keraian diadakan .Dengan sifatnya yang rajin , beliau amat disukai oleh lain lain petugas masjid .

Bagaimanapun pada tahun 1990 , Harun Nanai diketahui telah mendapat demam panas yang agak serious .Setelah sekian lama bertahan , beliau akhirnya telah dikejarkan kehospital Kuala Kangsar untuk menerima rawatan selanjutnya .

Bermula dari serangan demam panas itulah perlakuan Harun Nanai telah mula berubah .Beliau dilihat seringkali termenung dan bercakap seorang diri dan mula tidak mengambil berat lagi makan minum apatah lagi tentang pakaiannya .

Bertahun tahun kemudiannya , sewaktu saya balik bercuti kekampung , saya telah bertemu semula dengan Harun Nanai di Pekan Lubuk Merbau.Tetapi kali ini saya lihat penampilannya telah banyak berubah .Keadaannya telah tidak lagi terurus , dengan pakaian yang lusuh , beserta misai serta jambang yang tidak dijagai rapi .

Saya telah menghampiri Harun Nanai yang sesetengah orang telah menganggapnya kini kurang siuman .

Saya telah bersembang sembang dengannya dan diakhir pertemuan saya telah menghulurkan sedikit wang untuk perbelanjaannya .

Dari perbualan saya dengan Harun Nanai tersebut , saya dapat menilai dan mengetahui bahawa Harun Nanai sebenarnya masih waras , jauh sekali dari menjadi kurang siuman .

Harun Nanai masih mampu mengingati nama saya walaupun sebenarnya telah berpuluh tahun saya tidak menemuinya .

Sejak dari itu setiap kali saya balik kekampung , saya akan mencari Harun Nanai dan mengajaknya bersembang sebelum saya menghulurkan sedikit wang poket untuk belanja sehariannya .Kebiasaannya pada ketika tersebut Harun Nanai akan mudah ditemui di kedai makan Chu Ndan sambil dia membelek belek surat khabar ..mungkin untuk melihat gambar gambar agaknya .

Walaupun dalam keadaan dirinya yang kurang sempurna , Harun Nanai amat mencintai kebersihan dikawasan persekitaran .Setiap hari beliau akan mengutip segala sampah sarap yang bertebaran di Pekan tersebut dan akan mengumpulkannya disatu tempat sebelum dibakar .

Dizaman sihatnya Harun Nanai juga dikenali sebagai seorang pembaling yang tepat .
Balingannya jarang tersasar dan kebiasaannya akan tepat mengenai sasaran .Kemahirannya itu amat ditakuti oleh budak budak nakal dikampung saya .

Kali terakhir saya melihat dan bersembang dengan Harun Nanai adalah pada tahun 2015 rasanya ..pada ketika itu saya melihat Harun Nanai telah kian uzur dan tidak lagi mahu berbicara banyak dengan saya .

Dan akhirnya tidak berapa lama kemudiannya saya mendapat berita bahawa Harun Nanai telah meninggal dunia didalam keadaan yang amat menyedihkan .

Harun Nanai diketahui tidak pernah berkahwin sepanjang hayat hidupnya .

Sama sama kita sedekahkan Al Fatihah kepada Arwah Harun Nanai , salah seorang lagenda di Kampung Lubuk Merbau .

Semoga Ruh Arwah dihimpunkan bersama sama orang orang yang soleh dan beriman 
Aamiin Aamiin Ya Rabbal Aalamiin .

Sumber:
Facebook Page Rasmi
Malaysiaku Dulu-Dulu Official