..Warga dikampung saya dan kampung kampung yang berdekatan dengan Kampung Lubuk Merbau pastinya mengenali susuk tubuh ini .Namanya Harun Alang Mat Aroff , atau lebih dikenali dengan panggilan sehariannya Harun Nanai . Beliau diketahui mempunyai sekeping hati yang baik tetapi agak bernasib malang diakhir akhir penghidupannya didunia fana' ini .
Saya mengenali Harun Nanai ini semasa masih dizaman remaja ..mungkin didalam tahun 1970 ketika saya berada didalam darjah enam Sekolah Kebangsaan Lubuk Merbau yang kini telah dikenali dengan nama Sekolah Kebangsaan Sheikh Mohamad Idris AlMarbawi.
Pada ketika itu Harun Nanai bekerja dikilang padi bapa saya di Kg Kubang Panjang , Lubuk Merbau .Rumahnya terletak tidak jauh dari kilang padi tersebut .Saya tidak mengenali kedua dua ibu bapanya , tetapi saya mengenali salah seorang dari adik perempuannya, kalau tidak silap saya bernama Suriani .
Pada ketika itu Harun Nanai bekerja bersama Man Kilang , dan Mail CK dikilang bapa saya tersebut .Kebiasaannya bapa saya akan menyuruh saya pergi kekilang padi itu pada waktu sebelah petang selepas habis waktu sekolah , jika bapa mempunyai urusan lain untuk diselesaikan .
Al Maklumlah , disamping menjadi Imam Masjid , bapa saya juga bertindak sebagai Naib Kadi bagi Mukim Lubuk Merbau yang sering menghadiri majlis majlis pernikahan anak buah di Mukimnya .
Apabila saya bertindak mewakili bapa saya menguruskan kilang tersebut ( sebenarnya cuma menguruskan wang masuk hasil kutipan upah mengilang dan hasil jualan dedak )sahaja , saya jarang sekali membantu ketiga tiga pekerja kilang tersebut untuk mengangkat padi atau memasukkan dedak kedalam guni atau lain lain pekerjaan .
Kelakuan saya yang selalunya berlagak sebagai anak tauke kilang , kerap mendatangkan kemarahan kepada Harun Nanai ini .Pernah disuatu ketika , saya telah dibaling oleh Harun Nanai dengan penyapu dari atas tempat tuangan padi tetapi saya telah berjaya mengelakkan diri dari balingan tersebut .
Apapun sebenarnya saya anggap Harun Nanai hanya bergurau dengan saya walaupun umur saya pada ketika itu didalam lengkungan dua belas tahun , masih tidak berapa faham akan erti gurauan tersebut .
Apabila saya meninggalkan kampung untuk memulakan alam kerjaya saya pada tahun 1977 , kilang padi tersebut masih lagi beroperasi , dan tugas wakil tauke kilang diserahkan pula kepada adik saya Hafiz Kamil .
Perkembangan selanjutnya mengenai kilang padi tersebut telah diluar dari pengetahuan saya tetapi jika tidak silap saya , oleh kerana faktor kurangnya orang kampung yang terus mengusahakan tanaman padi , kilang padi tersebut akhirnya terpaksa ditutup .
Setelah saya keluar merantau , sesekali saya akan balik bercuti dikampung .Pada ketika itu dipertengahan tahun 1980 an , Harun Nanai telah bekerja sebagai pembantu disebuah kedai makan dikampung saya .Harun Nanai juga dikhabarkan kerap membantu urusan masak memasak di Masjid kampung saya sekiranya sebarang majlis atau keraian diadakan .Dengan sifatnya yang rajin , beliau amat disukai oleh lain lain petugas masjid .
Bagaimanapun pada tahun 1990 , Harun Nanai diketahui telah mendapat demam panas yang agak serious .Setelah sekian lama bertahan , beliau akhirnya telah dikejarkan kehospital Kuala Kangsar untuk menerima rawatan selanjutnya .
Bermula dari serangan demam panas itulah perlakuan Harun Nanai telah mula berubah .Beliau dilihat seringkali termenung dan bercakap seorang diri dan mula tidak mengambil berat lagi makan minum apatah lagi tentang pakaiannya .
Bertahun tahun kemudiannya , sewaktu saya balik bercuti kekampung , saya telah bertemu semula dengan Harun Nanai di Pekan Lubuk Merbau.Tetapi kali ini saya lihat penampilannya telah banyak berubah .Keadaannya telah tidak lagi terurus , dengan pakaian yang lusuh , beserta misai serta jambang yang tidak dijagai rapi .
Saya telah menghampiri Harun Nanai yang sesetengah orang telah menganggapnya kini kurang siuman .
Saya telah bersembang sembang dengannya dan diakhir pertemuan saya telah menghulurkan sedikit wang untuk perbelanjaannya .
Dari perbualan saya dengan Harun Nanai tersebut , saya dapat menilai dan mengetahui bahawa Harun Nanai sebenarnya masih waras , jauh sekali dari menjadi kurang siuman .
Harun Nanai masih mampu mengingati nama saya walaupun sebenarnya telah berpuluh tahun saya tidak menemuinya .
Sejak dari itu setiap kali saya balik kekampung , saya akan mencari Harun Nanai dan mengajaknya bersembang sebelum saya menghulurkan sedikit wang poket untuk belanja sehariannya .Kebiasaannya pada ketika tersebut Harun Nanai akan mudah ditemui di kedai makan Chu Ndan sambil dia membelek belek surat khabar ..mungkin untuk melihat gambar gambar agaknya .
Walaupun dalam keadaan dirinya yang kurang sempurna , Harun Nanai amat mencintai kebersihan dikawasan persekitaran .Setiap hari beliau akan mengutip segala sampah sarap yang bertebaran di Pekan tersebut dan akan mengumpulkannya disatu tempat sebelum dibakar .
Dizaman sihatnya Harun Nanai juga dikenali sebagai seorang pembaling yang tepat .
Balingannya jarang tersasar dan kebiasaannya akan tepat mengenai sasaran .Kemahirannya itu amat ditakuti oleh budak budak nakal dikampung saya .
Kali terakhir saya melihat dan bersembang dengan Harun Nanai adalah pada tahun 2015 rasanya ..pada ketika itu saya melihat Harun Nanai telah kian uzur dan tidak lagi mahu berbicara banyak dengan saya .
Dan akhirnya tidak berapa lama kemudiannya saya mendapat berita bahawa Harun Nanai telah meninggal dunia didalam keadaan yang amat menyedihkan .
Harun Nanai diketahui tidak pernah berkahwin sepanjang hayat hidupnya .
Sama sama kita sedekahkan Al Fatihah kepada Arwah Harun Nanai , salah seorang lagenda di Kampung Lubuk Merbau .
Semoga Ruh Arwah dihimpunkan bersama sama orang orang yang soleh dan beriman
Aamiin Aamiin Ya Rabbal Aalamiin .
Sumber:
Facebook Page Rasmi
Malaysiaku Dulu-Dulu Official
Tiada ulasan:
Catat Ulasan