Khamis, 27 Mei 2021

Ramadhan & Syawal di LBK



Dengan hanya melihat sekeping gambar ini, membawa saya terus ke zaman awal remaja di LBK (Ladang Bukit Katho) dulu. Ia satu2nya gambar rasmi yang keluarga kecil kami ada. 

Maklumlah Abah&Emak hanya penoreh getah biasa. Manalah nak mampu ada kamera masa tu. Cukup makan dan minum pun dah bahagia.

Tidak silap saya, ia diambil pada tahun 1986. Di dalamnya ada Abah, Emak, Saya, Adik, Wie dan Akak. Ia diambil di studio semasa musim Raya pada tahun itu.

Bulan Puasa di LBK sama sahaja dengan suasana di kampung. Bersahur di awal pagi lengkap terhidang set nasi, lauk paling kurang dua jenis, sayur, sambal dan ikan masin kalau tak pun telur masin.

Gigihnya la Emak bangun awal masak semua tu dan kemudian gerak kami adik beradik dari tidur yang lena. Selepas makan, Emak&Abah tak tidur dah kerana perlu bersiap untuk ke kebun getah. 

Balik rumah jam 12.00 tgh memang Emak&Abah melepek kepenatan. Namun Emak tetaplah Emak juga, juadah untuk berbuka tetap dibuat sesempurna mungkin. Lauk pauk serba lengkap.

Ada pemanis mulutnya sekali. Kalau tak pengat ada bubur, kalau tak pun ada bengkang atau kuih2 manis seperti Kuih Cara, Apam Siam atau yang seumpamanya. Zaman tu macam takde lagi orang berjualan kuih muih semasa Ramadhan.

Emak kalau buat kuih tak pernahnya ngam2, mesti buat lebih. Kami adik beradik jadi tukang menghantar juadah ke jiran2. Balik pula  tidak pernahnya dengan tangan kosong. Mesti ada hantaran balasnya. Sudahnya, beratur juadah berbuka puasa kami.

Meriahnya berbuka zaman itu. 

Masuk pertengahan puasa, kedatangan Hari Raya sudah terasa sebab masa ni Emak dah mula menumbuk kacang hijau untuk buat putu. Gigih betul. Menumbuk, mengacu dan menjemur putu bukannya senang. Gigih tak hengat.

Abah rajin tolong Emak buat kuih Raya. Selain putu, bauhulu antara kuih wajib yang  Emak&Abah buat. Walau pun masa tu Emak dah ada oven hitam cap Butterfly, bauhulu Emak tetap juga dibakar dgn kayu api, arang dan sabut kelapa.

Abah yang buat sendiri ‘oven’ pembakar bauhulu daripada tin biskut yang dibelah dua. Diletak pasir sungai di dalamnya dan berpenutup dari bahan zink juga. 

Awal2 pagi Emak dah menghempuk telur dan gula dalam pasu. Terbayang figura Emak di depan pintu dapur menghempuk telur sambil memerhati Abah menyediakan port bakar bauhulu bawah pokok durian di belakang rumah kongsi kami.

Bukannya sekejap untuk mengembangkan telur tu. Berjam2, lagi lama lagi pekat lagi seksa nak menghempuknya. Huhuhu!!! Tak sanggup nak buat.

Dah lama betul tak jumpa bauhulu sedap macam yang Emak&Abah buat. Emak yang mengadun bancuhan telur&gula dgn tepung, Abah pula membakarnya. Abah guna kayu api je untuk mengangkat penutup oven yang berbara di atasnya itu. Berpanas berpeluh Emak&Abah kena diang dek bara.

Comel bauhulu cermai Emak&Abah sebab ianya bertopi. Sengaja Abah buat begitu agaknya supaya ada banyak bahagian yang garing.

Sumpah sedap bauhulu tu sehingga memaksa saya merayu agar dibenarkan berbuka puasa pada hari Emak&Abah membakarnya. Tak pernah cukup sebulan puasa saya semasa sekolah rendah asbab nak makan bauhulu 😅. Bauhulu panas2 lagi sedap wehhh!

Kadang2 Emak&Abah mendodol juga tapi hanya buat dalam kuantiti yg sedikit. Dikacau atas dapur masak Emak je, buat makan kami anak beranak.

Menjelang 27 likur, rumah2 kami di LBK adalah panjutnya masing2. Sama macam rumah2 di Kampong Poh juga. Kami adik beradik selalu menyibuk bila melihat Abah membuat panjut. Sebelum berbuka puasa memang kamilah yg akan menyalakan pelita. Tak sabar nak main bunga api Cap Kucing Hitam yang dicucuh pada panjut Abah pada malamnya.

Zaman tu bulan Puasa dan bulan Raya memang bulan untuk bersuka2 bagi budak2. Setiap kali Ramadhan akan ternganga mendengar cerita orang bertemu Lailatul Qadar 😅.

Berangan nak jumpa tapi takut pula dengan tanda2nya yang pelik. Hihihi!!!

Bila tiba Hari Melemang, celik2 mata Emak&Abah sudah sibuk di dapur. Abah akan sibuk menyediakan buluh lemang, bahan bakar, daun pisang dan yang paling penting kelapa. Semua tu tugas Abah, entahlah masa bila Abah buat, yang saya tau benda2 tu dah ada je.

Abah jugalah satu2nya ‘orang’ dalam rumah kami yang tahu menganyam ketupat. Saya ni... belajar pun tak nak. Teruk betul 🤦‍♀️. Ketupat Pulut Emak&Abah dibuat dari anyaman daun kelapa. Cukup lemak dan cukup masinnya.

Pagi2 Abah sudah menyembelih ayam, tugas kami hanya cabut bulu ayam. Selepas itu, Abah jugalah yang melayur ayam tu. Abah jugalah orangnya yang menolong Emak menyediakan bumbu2 untuk buat Rendang Pedas Ayam.

Harum semerbak serumah dengan bau bawang, halia, lengkuas, serai, pandan dll. Haishhh!!! Memang tak boleh lupa bau tu. Bau di pagi Hari Melemang.

Emak&Abah tidak diam2 kalau Hari Melemang. Dari pagi sehingga ke petang. Kami adik beradik mesti selalu kena dalam ‘mode standby’. Itu biasa, kami memang menanti untuk disuruh2. Yang paling selalunya adalah kena suruh ke kedai 😃.

Biasanya, menjelang petang semuanya akan siap. Selepas berbuka puasa pada hari terakhir, Emak dan kami akan mengemas rumah kongsi kami yang kecil tu. Tiada apa sangat pun, ruang tamu bersekali dgn ruang makan. Bilik tidur ada dua, tingkap pun ada berapa je. Sekejap... settle semua.

Keluarkan kuih2 dan biskut2 yang Emak buat dan letak dalam bekas kuih raya adalah tugas adik dan saya. Kuih Raya Emak tak pernah kurang dari 10 jenis. Hobi saya menjelang Malam Raya adalah kira berapa jenis kuih Emak buat. Hihihi!!! Entah berapa kali ulang kira.

Kena kira betul2 sebab esoknya masa Raya boleh ‘ekkk’ sikit dengan kawan2. Lawan siapa paling banyak kuih Raya.

Yang pasti Biskut Kacang Buncis, Biskut Mazola, Biskut Sarang Semut, Biskut Medan dan tentunya Biskut Peanut Butter mesti ada selain Bauhulu, Putu dan Kuih Bakar.

Arghh!!! Semuanya itu hanya tinggal dalam lipatan kenangan. 

Hari Raya zaman itu memang hari yang ditunggu2 kerana hanya pada Hari Raya kami akan dapat menyarung baju cantik. Kainnya Emak beli awal2 lagi. Kain untuk buat baju raya pun dibeli secara berhutang pada Makcik Kemboja yang berjualan di LBK. 

Sebulan dua sebelum Syawal, Emak akan bawa kami ke tukang jahit untuk menempah baju Raya. Berbunga2 hati nak tunggu baju baru siap. Tak sabar sungguh nak beraya masa zaman budak2 dulu ni.

Sewaktu nak Raya jugalah Emak akan belikan kami gaun. Gaun mesti sama dengan Adik, macam kembar kami berdua masa tu. Baju gaun tu akan dipakai semasa Hari Raya Kedua.

Semasa nak Raya jugalah Abah akan belikan kami adik beradik kasut Raya. Kalau Abah baik, kami akan dibawa sama untuk memilih kasut sendiri. Selalunya, Abah sukat kaki kami dengan tali rafia je, untuk beli kasut. Seronoknya tidak terhingga.... ia antara waktu2 yang sangat kami raikan zaman kecil2 dulu.

Rendang, lemang dan ketupat pun hanya dapat jumpa di Hari Raya. Mana tak tertunggu-tunggunya. Ramadhan dan Syawal zaman itu memang eksklusif sungguh.

Gambar Raya tahun 1986 ini suasananya sudah lain. Masa ini Emak sudah berniaga dan Abah pun sudah ada Nissan Sunny 130Y warna biru lembut.

Kain baju kurung moden Adik dan saya tu, saya yang pilih dan beli di Teluk Intan. Semasa ini saya bersekolah si SEMESTI dan Ruhil Hazana Ismail Nana pula di SMKJ, Tanjung Malim. Tudung yang kami pakai tu kainnya dibeli di Supermarket Sungei Perak. Ia kain georgette yang cantik, Emak jahitkan tudung tu untuk kami.

Masa ini, Ruhil Hafiza Ismail baru berumur 4@5 tahun. Ingat lagi saya baju dia warna merah ni, Emak beli kainnya di Pasar Lambak Khamis pekan Bidor. Murah sahaja kainnya dan Emak jahit sendiri. Lama2 pakai hujung baju dan kain jadi meleding.

Kemain lagi Abah dengan sepersalinan serba putih dan Emak dengan berkebaya sulam. Baju Emak tu beli hutang juga rasanya tapi mahal lah sedikit.

Seronoknya rupa adik saya si Hyat Ruh masa ni. Bukan selalu dapat pakai sepersalinan lengkap dengan kasut dan stokin.

Samar2 diingatan saya apa yang berlaku semasa hari ambil gambar ni. Yang saya ingat kami pergi selepas Maghrib. Itu aje.

35 tahun sudah berlalu, gambar nan sekeping ini sahajalah yang dapat mengingatkan saya tentang dunia kecil kami di rumah kongsi di LBK. Seronoknya dunia kanak2.

Emak dan Wie telah meninggalkan kami. Kini, hanya ada Abah, Adik, Akak dan saya. Itu pun jarak memisahkan kami, malas nak ikutkan hati sangat untuk mengenangkan waktu2 dulu kerana ia selalu mengundang sendu.

Semoga Allah SWT lapangkan tempat persemadian Emak & Wie dan dikurniakan syurga buat mereka.

Sumber:
Facebook Page Rasmi
Malaysiaku Dulu-Dulu Official

Tiada ulasan:

Catat Ulasan