AYAM SERAMA merupakan sejenis ayam hiasan yang cantik dan menarik yang mempunyai nilai estetika tersendiri untuk dipelihara. Di negara kita ianya turut dikenali dengan nama Ayam Serama Malaysia .Ayam Serama ini diketahui berasal dari sejenis baka Ayam Katik dan telah ujud lebih kurang 50 tahun yang lampau. Bagaimana pun sejarah asal keujudan Ayam Serama ini tidaklah dapat diketahui dengan tepatnya .
Terdapat lagenda yang mengatakan ia merupakan keturunan dari pembiakan silang di antara burung merpati dan ayam. Cerita lainnya pula mengisahkan asalnya bermula dari pemberian hadiah Ayam Katik oleh Raja Siam kepada Sultan Kelantan pada zaman dahulu. Apa pun yang pastinya sejarah Ayam Serama ini di Malaysia adalah bermula dari Negeri Kelantan .
Baka Ayam Katik ini pertama kali dipamerkan pada tahun 1990. Seterusnya pada tahun 2000 , adalah merupakan kemuncak popularitinya Ayam Serama di Malaysia. Bagaimanapun baka Ayam Serama ini terjejas teruk semasa wabak selselema burung pada tahun 2004 apabila lebih dari 50,000 ekor ayam serama tersebut telah dihapuskan .
Baka moden Ayam Serama dipopularkan oleh Encik Wee Yean Een iaitu seorang aktivis ayam serama dari Kelantan. Dipercayai beliau telah memberi nama "Serama" bersempena dengan nama Raja Sri Rama iaitu satu watak utama di dalam Wayang Kulit yang terkenal di Thailand dan Kelantan .
Seperti mana yang telah dinyatakan tadi , Ayam Serama ini adalah berasal dari Negeri Kelantan dan amat terkenal di Negeri tersebut sebelum peminatnya berkembang keseluruh negara. Terdapat beberapa persatuan yang telah ditubuhkan oleh peminat Ayam Serama ini untuk menyelaraskan aktiviti aktiviti mereka disamping mengadakan pertandingan Ayam Serama tercantik dari masa kesemasa .
Walaupun hadiah yang ditawarkan dari pertandingan itu , tidak seberapa lumayan seperti pertandingan pertandingan yang lain , namun sambutan yang diberikan oleh peminat peminat Ayam Serama ini sentiasa amat menggalakkan . Hadiah bukan keutamaan mereka .Apa yang mereka harapkan ialah apabila Ayam Serama mereka telah dinobatkan sebagai juara pertandingan , secara tidak langsung nilai Ayam Serama juara ini akan naik berlipat kali ganda , sehingga harganya mampu mencecah keangka puluhan ribu ringgit sekiranya ada peminat lain yang berminat dan ingin membelinya .
Ayam Serama adalah unik kerana saiznya yang kecil , pandai menonjolkan diri dan memikat hati orang yang melihatnya. Ayam Serama menjadi haiwan peliharaan kerana jinak, manja dan berkemampuan untuk mengenali tuannya .
Ciri istimewa Ayam Serama adalah berekor lentik, berdada tegak dan kepak lurus ke bawah . Haiwan ini juga mempunyai gelagat yang menarik seperti mampu berjalan mengundur ke belakang serta seringkali mengepakkan kedua dua belah sayapnya . Dada ayam ini membusung ke depan dengan kepala yang tetap tegak ke belakang yang hampir menyentuh bagian ekornya.
Untuk memelihara dengan sempurna Ayam Serama ini bukanlah satu kerja yang mudah .
Ianya sedikit rumit dan agak meremehkan .
Ă€ntara perkara perkara yang perlu diberikan perhatian dan keutamaan adalah .
-pemakanan, kebersihan dan keselesaan , suhu dan cuaca , pencegahan penyakit , dan lain lain aktiviti tambahan seperti kerap memegang serta membelainya , mengurut , memandikan dan menjemurkannya sebentar bertujuan untuk menghapuskan hama hama dibadannya jika ada .
Pendek kata untuk memelihara Ayam Serama memerlukan tahap kesabaran dan kerajinan yang tinggi .
Selain di Malaysia , Ayam Serama ini cukup popular di Negara Indonesia .Ayam Serama diperkenalkan ke Indonesia pada tahun 2000.
Di Indonesia ianya juga dikenali dengan nama ayam sombong kerana dadanya yang membusung . Namun ada juga yang menyebutnya dengan Ayam Perajurit karena tubuhnya yang gagah dan tegap berdiri seakan siap melawan musuhnya.
Semasa saya bertugas di Kem Bukit Galing , Kuantan , satu pertandingan secara besar besaran Ayam Serama ini telah diadakan pada tahun 1999 bertempat di padang kawad Kem tersebut .Pertandingan ini dipelupori sendiri oleh Komander Briged Tenggara PGA pada masa itu YDH Tuan Fakrullah(kini Arwah).
Tuan Fakrullah yang berasal dari Kelantan adalah peminat tegar kepada Ayam Serama ini .Dirumahnya terdapat berpuluh puluh ekor Ayam Serama yang cantik cantik dan dijagai rapi .
Pertandingan tersebut telah menarik minat beratus ratus penyertaan dari seluruh pelusuk Tanah Air khususnya dari Negeri Pahang , Terengganu dan Kelantan .Pelbagai Hadiah menarik telah disediakan dimana hadiah utamanya adalah sebuah motorsikal Yamaha ,TV dan peti sejuk .
Saya yang pada ketika itu turut tidak mahu ketinggalan , telah mempertaruhkan seekor Ayam Serama yang saya beli di Kelantan .Bagaimana pun Ayam Serama saya ini telah gagal mendapat sebarang hadiah kerana agak pemalu dan sedikit pemalas agaknya .
Sewaktu para juri sedang membuat pemerhatian kepada Ayam Serama saya , ianya berlagak malu malu kucing dan cuba melarikan dirinya dengan cuba masuk semula kedalam sangkarnya.
Diantara kriteria utama yang dilihat bagi penyertaan ayam serama dalam sesuatu pertandingan adalah kriteria gaya, tubuh, ekor, lawi, kepala balung, kaki, warna, bulu, kepak serta gaya ketika memperagakan dirinya untuk dinilai oleh para juri .
Tidak sampai dua minit , para juri telah meninggalkan Ayam Serama saya dan beralih pula kepada Ayam Serama lainnya disebelah saya .
Itulah kali pertama dan terakhirnya saya membela seekor Ayam Serama .
Jika ada diantara para pembaca yang merupakan peminat tegar Ayam Serama ini dulu dulu atau sekarang , sila munculkan diri dan berkongsi pengalaman tuan / puan semua untuk makluman dan ilmu pengetahuan bagi generasi Y dan Z yang mungkin tidak pernah mengetahui peri ujud dan terkenalnya Ayam Serama aka Ayam Sombong pada suatu masa dahulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan