Jumaat, 21 Mei 2021

Pagi tadi Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengadakan perbincangan bersama Tuan Yang Terutama Li Keqiang, Perdana Menteri Republik Rakyat China yang diadakan secara persidangan video



Kami berdua sepakat bahawa hubungan dua hala Malaysia-China terus berkembang positif dan erat meskipun berdepan cabaran getir kesan daripada penularan wabak COVID-19.  

Perbincangan kami juga tertumpu kepada usaha memperkukuh kerjasama dua hala antara kedua-dua negara, menerusi penerokaan bidang-bidang baharu untuk kepentingan bersama selain kerjasama sedia ada dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan. 

Kerjasama ini termasuklah dalam aspek penghasilan vaksin COVID-19 secara ‘fill and finish’ di Malaysia, kerjasama dalam bidang perdagangan elektronik, teknologi tinggi, ekonomi digital, pertanian dan agromakanan, pembangunan keselamatan makanan serta program pembasmian kemiskinan.

Kerajaan China telah memberikan respons yang amat positif supaya cadangan-cadangan kerjasama ini dibincangkan dengan lebih terperinci di peringkat kementerian-kementerian yang berkaitan.

Berhubung COVID-19, saya dan TYT Li Keqiang sepakat mengenai kepentingan jalinan kerjasama yang lebih erat dan proaktif antara kedua-dua negara bagi  mengatasi wabak tersebut dan seterusnya memacu proses pemulihan, antaranya dengan kolaborasi berterusan dalam bidang yang telah dipersetujui sebelum ini seperti pembekalan vaksin, keselamatan makanan serta rantaian bekalan yang terjamin.

Saya turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan China yang menjadi negara pertama menghulurkan bantuan kepada Malaysia di peringkat awal penularan pandemik COVID-19, bukti keakraban hubungan dua hala antara Malaysia dan China.

Dalam aspek ekonomi dan perdagangan pula, kami bersetuju bahawa komuniti perniagaan serta para pelabur di Malaysia dan China perlu terus meningkatkan lagi jalinan hubungan ekonomi dengan memanfaatkan peluang-peluang yang ditawarkan oleh kedua-dua negara yang terhasil daripada polisi mesra perniagaan serta persekitaran yang kondusif dan menguntungkan.

Pada perbincangan julung kali ini, kami turut menyentuh mengenai isu-isu antarabangsa melibatkan situasi di Palestin dan Myanmar. Kami berdua bersetuju bahawa situasi yang memberi kesan kepada rakyat kedua-dua buah negara tersebut dan rantau sekelilingnya memerlukan desakan segera daripada semua komuniti antarabangsa agar dihenti dan diselesaikan segera.

Dalam hal ini, saya turut memaklumkan langkah-langkah yang telah diambil oleh Malaysia dan negara lain di platform antarabangsa.

Sumber:
Facebook Page Rasmi
Tan Sri Muhyiddin Yassin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan