24 Mei

PM Malaysia Meminta Pihak berkuasa Agama di negeri-negeri perlu memainkan kesedaran kepada masyarakat berhubung kepentingan pengambilan vaksin COVID-19.

Pihak berkuasa agama di negeri-negeri perlu memainkan lebih peranan dengan memperbanyakkan program kesedaran kepada masyarakat berhubung kepentingan pengambilan vaksin COVID-19. 

Ini antara perkara yang saya tekankan pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Ke-68 pagi ini, antara lain bagi menyokong program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang sedang berlangsung. 

Mesyuarat yang diadakan secara persidangan video ini dihadiri oleh ketua-ketua kerajaan negeri serta ahli-ahli lantikan oleh DYMM Yang Di-Pertuan Agong. 

Saya tegaskan usaha mempromosikan galakan pengambilan imunisasi ini seharusnya tidak terhad kepada kerajaan Persekutuan dan negeri sahaja memandangkan masih ramai dalam kalangan masyarakat umum tidak mendapat maklumat tepat mengenai keperluan mengambil vaksin.

Saya berharap masyarakat mendapat penjelasan yang sejelas-jelasnya bahawa keputusan Kerajaan dalam isu vaksin adalah berpandukan keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke-10 yang bersidang pada 3 Disember 2020, bahawa hukum mengenai penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI ini juga telah disembah maklum dan mendapat perkenan dari Majlis Raja-Raja pada 4 Januari 2021. 

Dalam hal ini, saya berharap pihak berkuasa agama menggunakan semua platform yang ada menguar-uarkan berkenaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, selain pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dikeluarkan bagi memastikan kadar peningkatan kes harian pandemik ini menjadi semakin tidak terkawal sebagaimana di beberapa negara lain.

Sumber:
Facebook Page Rasmi
Tan Sri Muhyiddin Yaasin
Perdana Menteri Malaysia ke-8

23 Mei

NASI LEMAK 3 KUPANG


1989……Berbekalkan duit bekal 5 kupang yg ayah aku bagi, aku pun serbu kantin sekolah dgn rakan2 sekelas 2 Melur. Waktu rehat sesi pertama darjah 1, 2 & 3.

Dengan duit 5 kupang lepas la beli nasi lemak sambal ikan bilis. Sepinggan 3 kupang. Air sirap sekupang & baki lagi sekupang boleh beli gula2 Kiss Me, Hudson kaler kuning atau coklat liat yang ada batang balut plastik belang2. Dulu kecoh cakap ada lemak babi. Asal ada tulis ‘gluten’ je cakap lemak babi. Agenda Yahudi!!!! 😅

Aku pun sambar sepinggan nasi lemak. Pinggan saiz sederhana warna jingga. Duduk di kerusi panjang bersesak2 dgn budak2 lain. Sebelah aku senior darjah 3. Aku tak kenal sangat tapi memang kerap jumpa waktu rehat. Tersengeh sorang2 macam kerang. Tapi dia tak makan. Baju sekolah pun belemoih tak pasti mana entah dia berkubang.

Baru 2 sudu aku suap ke mulut, aku rasa lain macam. Nak kata basi, tak melekit pulak sambal bilis tu. Nasi pun tak berbau. Aku cuba lagi 1 sudu. Tau2 terus tangkap kepala. Pening macam nak pitam. Takkan makcik kantin nak santau aku. Aku bukannya artis mcm Andrian, penyanyi kanak2 yg paling top zaman tu.

Aku ni jenis kalau rasa pelik memang aku tak habiskan makanan. Hidup susah pun memilih. Aku toleh tepi, senior darjah 3 baju belengas tadi masih ada. Rasa kesian pula tengok dia tak makan. Mungkin duit tak cukup nak beli nasi. Simpan balik sekolah nak pi tikam kat kedai Pak Tua depan Nat Sabtu. Mungkin juga nak beli laksa hisap straw yg dijual mak Muzairy. 

Dengan hati suci murni & niat untuk sedekah, aku pun tanya

“Mau nasi ni? Aku dah kenyang.”

Tanpa segan silu pinggan jingga tu dia tarik. Bukan main pelahap dia makan. Aku pula hairan macam mana dia boleh habiskan nasi lemak yang rasanya lain macam. Habis waktu rehat aku pun balik ke kelas. Kepala makin pening & macam nak pitam. Meja sebelah aku ada Isa. Muka macam Mamak Penang. Pi sekolah pun pakai seluar pendek. Tak reti jaga aurat. Tak habis2 gigit pensil dari pagi. Dah tinggal separuh pensil 2B dia makan. Tengok Isa buat aku makin pening. Aku bagitau Cikgu Salina, dia suruh aku lena kat meja belakang.

Tapi rasa pening & loya masih tak hilang. Balik rumah perut pula dah mula meragam. Sehari cirit-birit. Badan makin panas. Esok tu aku terus demam. Mak bawa aku pi Pusat Kesihatan Beseri jumpa MA tersohor, Abg Sabri. Aku pun bagitau demam lepas makin nasi lemak kat kantin sekolah. Dia bagi ubat demam Cortal untuk kanak-kanak. Tapi demam aku berlarutan tak kebah2. Dari 2 hari sampai seminggu aku tak ke sekolah. Seingat aku tu la demam paling teruk aku pernah kena selain demam campak masa darjah 5.

Kes aku ni jadi perhatian sekolah. Kebetulan Cikgu Rokiah tinggal selang 3 rumah dari rumah aku. Anak perempuan dia sebaya & sekelas dengan aku. Comel juga orangnya. Cikgu Rokiah dapat tau pasal nasi lemak 3 kupang. Entah macam mana lepas tu Jabatan Kesihatan datang buat spot check kantin sekolah dan tak lama lepas tu kontrak pengusaha kantin tu ditamatkan. Aku tak pasti sebab apa. Mungkin kebersihan & penyediaan makanan kot. 

Secara tak langsung mungkin sebab aku, bisnes makcik kantin tu lingkup. Mungkin juga dah ada kes sebelum tu. Lepas seminggu lebih, aku pun masuk balik sekolah. Ada kawan yang perasan aku hilang lama. Ada yang tak tau apa-apa. Aku sendiri pun tak pasti aku keracunan makanan atau pun kena santau. 😅

Budak darjah 3 yang habiskan nasi lemak aku tu pula tak pernah lagi aku jumpa. Aku pun tak tau apa jadi kat dia. Nak tanya kawan2, tak tau nama. Cuma boleh bagi gambaran baju belengas saja. Sekolah tu bukan dia sorang je baju belengas. Pagi2 ramai yg main takraw & dok flip sebelum masuk kelas. 

Semenjak kejadian nasi lemak 3 kupang aku jadi trauma nak makan kat kantin. Tiap2 pagi aku tapau Nasi Lemak Telur Puyoh kat Man Maklang Bi. Nasi lemak paling viral zaman tu di Beseri. Penuh orang beratur pagi2. Sampaikan kedai mamak sebelah pun boleh lingkup. 

Nak cuba nasi lemak yang dijual makcik kantin baru tak berani sehinggalah RMT/ RMP mula diperkenalkan tahun 1992. Breakfast bihun & mee goreng pagi2. Berebut air kotak coklat dengan kawan2. Tapi kupon pulak selalu hilang lepas letak dalam bakul yg disediakan di kantin. 

RMT pun tak lama aku hadap…..lepas terkena sekotak air coklat yang dah expired. Takkan nak biarkan trauma Nasi Lemak 3 kupang berulang!!!

Bila naik sekolah menengah, nasi lemak dah 5 kupang. Tapi detik baru bermula. Aku mula mengenal Fanta Susu Mak Nen.

BUKIT KAMAL MENJERIT III

Dalam Part III ni saya akan menceritakan bagaimana kami berdepan dengan tekanan dari pelbagai sudut di peringkat awal yang baru saja sehari dua bergelar rekrut. Latar belakang kami yang berbeza dengan kehidupan rekrut yang sangat berbeza memberi tekanan yang bukan sedikit. Siang kami dilatih dengan latihan keras yang belum pernah kami alami sebelum ini, berpanas di tengah padang kawad dan melakukan arahan yang mesti kami turuti dari pelbagai sudut, disiplin berjalan, berlari, makan minum, bersukan malah bercampur dengan rakan-rakan. Malam pula, di saat kami perlukan rehat untuk tidur sebagai persediaan latihan esoknya, kami diuji pula dengan penunggu Bukit Kamal yang hanya beberapa meter dari blok penginapan kami.

Selepas maghrib, ramai yang membaca Yassin sebagai pendinding diri berdepan dengan gangguan. Walaupun kami yakin kami akan terus diganggu untuk malam ketiga dan berikutnya, ia tidak melunturkan semangat kami pun. Selepas inspection dari pegawai, kami menghamparkan tilam di atas lantai, bersedia untuk tidur berhimpit lagi. Pukul 10 kemudian, wisel dibunyikan dan semua lampu dormetri kami dipadamkan. Dan kami menunggu detik cemas bermula.

Belum pun kami sempat untuk merebahkan badan, terdengar jeritan keras dari dormetri di bawah tingkat kami. Jeritan itu membuatkan kami melompat bangun. Beberapa orang rakan kami berlari menuruni anak tangga ke tingkat bawah. Aku yang turut bergegas melihat seorang rakan kami yang kecil sahaja badannya sedang berguling-guling sambil menendang keras ke udara.

 ‘Lepaskan aku..lepaskan aku…!!’ dia menjerit kuat sambil terus menendang. Bunyi spring besi berlaga-laga.

 Kami melihat tiada siapa pun yang berada berhampiran memegang badannya.

 “lepaskan aku iblisssssss…!! Allahu akbarrrr….Allahu akbarrrr…” dia menjerit. Kakinya keras menendang udara.

 Kami tak tau dia menendang siapa. Kami juga tidak nampak siapa pun rakan-rakan kami yang menindih badannya untuk memulihkan dia yang sedang dirasuk.

Azan dilaungkan. Aku tak tahu siapa yang melaungkan azan. Tidak ada masa untuk ambik tahu. Hampir semua yang mengerumuni mengucap dan membaca apa-apa saja ayat suci yang terlintas di fikiran. Bunyi jeritan, bacaan ayat suci berbaur. Jurulatih dan pegawai bertugas menerpa masuk.

 “Kerumun dia!’ arah jurulatih. GI Ayub namanya.

 Aku dan beberapa orang rakan lain mendekati dan menerpa. Tendangannya tepat mengenai muka seorang dua rakan aku. Aku melihat mereka terpelanting ke belakang. Kuat tendangan itu. Mat Yus yang agak besar badannya  sempat menindih badan. Baru perasan, rakan yang sedang dirasuk itu namanya Junaidi, rakan kami dari Rantau Panjang, Kelantan. Kami segera membantu menekan kakinya yang sedang menendang dan selebihnya cuba mengunci pergerakannya.

 “Lepaskan!!! Lepaskan…!!” Junaidi terus menjerit dan menendang, kuat dan nyaring.

 Kami tidak sedikit pun melonggarkan tekanan. Ayat-ayat suci yang mudah dan yang kami hafal dibacakan dan semburkan ke muka Junaidi. Beberapa minit kemudian, kekuatan Junaidi mula mengendur. Ketika beberapa orang di antara kami mula berundur untuk memberi ruang udara kepada Junaidi, seoarg rakan kami yang turut membantu tadi tiba-tiba menjerit kuat. Tangannya menuding ke arah kipas yang sedang berpusing.

 “Budakkkk kecikkk!!! Budakkk kecikkkk!!!” pekiknya.

 Kami tidak tahu budak kecik mana yang dia maksudkan tetapi apabila kami menoleh ke arah kipas yang sedang berpusing, kelihatan sosok kecil seorang budak sedang menari-nari di atas bilah kipas yang ligat berpusing. Aku masih ingat dengan jelas, sosok tubuh budak lelaki itu tidak berpakaian, tingginya sekitar budak berumur 2 tahun, memandang liar ke arah kami sambil berjoget dan ketawanya mengekek.

 (Suara ngengekannya itu masih jelas dan terngiang-ngiang hingga sekarang).

 “Allahuakbar!!!!” Serentak kami menjerit dengan kuat, bergema dan bersahutan. Lembaga budak kecik yang menari itu tiba-tiba melompat ke lantai dan dengan tangkas dan berlari ke arah pintu keluar, sebelum melompat dan menghilang dalam kegelapan.

 Suara kami melaungkan Allahuakbar kuat kedengaran dan kami pasti ia didengari oleh rakan-rakan kami di blok bersebelahan. Lembaga budak kecik tadi hilang dari pandangan. Junaidi termengah-mengah kembali pulih dan suaranya juga garau seperti Baharti dan suara Nirwan. Kami menggerumuni Junaidi beberapa ketika, membacakan ayat-ayat alquran sehinga dia benar-benar tertidur.

 Malam itu seperti malam-malam sebelumnya, tidur kami juga tidak sempurna. Kami tidur berhimpitan kerana khuatir dirasuk.

 Pagi esoknya, satu lagi kejadian aneh berlaku. Pukul 7 pagi, ketika kami semua sedang beratur di hadapan blok penginapan sebelum memulakan kawad pagi dan jurulatih sedang memberi arahan kepada semua rekrut, seorang ‘sentri’ yang juga senior kami datang secara tergesa-gesa, masuk ke dalam pejabat jurulatih dan kemudian bergegas keluar bersama pegawai yang kami belum kenali itu menuju ke padang kawad berhampiran. Sejurus kemudian, terdengar jeritan supaya beberapa orang di antara kami diarahkan ke padang untuk mengambil sesuatu yang baru dijumpai.

 Sekitar beberapa minit kemudian, sebuah katil besi diangkat oleh empat orang rakan kami ke tepi bangunan. Di atasnya, terbaring salah seorang rakan kami dari dormetri yang berbeza, masih tidur dan berselimut dengan nyenyaknya.

 Kami tidak ada jawapan kepada persoalan ini. Semasa mengira jumlah kehadiran rekrut tadi, semua nama yang dipanggil menyahut dan tidak ada yang ketinggalan. Siapakah yang menyahut panggilan bila namanya dipanggil tadi menjadi persoalan. Kami pandang kiri kanan. Rakan-rakan kami juga terkedu.

Seperti Baharti dan Nirwan, Junaidi juga tidak sedar dan tahu apa yg berlaku padanya malam tadi. Ia meninggalkan persoalan yg sukar kami jawab.

 Sekian dulu utk kali ni. Kita jumpa next episode. Siri Bukit Kamal Menjerit ini akan dikekalkan dengan cerita yang berbeza. Semuanya berdasarkan pengalaman saya semasa menjadi anggota TLDM, termasuk di kapal-kapal dan semasa bertugas di mana-mana InsyaAllah.

Keterangan gambar:

Gambar sebahagian Intake 141 Class Charlie pada hari akhir tamat latihan 6 bulan rekrut pada bulan Februari 1981. Ada antara kami yang sudah dipanggil menghadap Ilahi, sementara yang lain berselerak di seluruh negara. Doakan kesihatan kami untuk mengharungi usia tua kami, InsyaAllah.

Gambar 2 ialah saya ketika rambut masih belum dipangkas, kira2 sehari sebelum bergelar rekrut.

Sedikit biodata ringkas penulis:

 Nama saya Safri Ali, menjadi anggota TLDM selama hanya 13 tahun bermula Ogos 1980 hingga 1993. Melanjurkan pelajaran ke peringkat ijazah komunikasi dan kemasyarakatan (USM) pada 1986 semasa masih berkhidmat di Kementerian Pertahanan (Perhubungan Awam) dan Ijazah Lanjutan (Postgraduate student) di Universiti Teknologi Mara (UITM) di Faculty Hotel and Tourism Management pada 2013. Selepas berhenti TLDM, bekerja sebagai wartawan di Berita Harian dan beberapa buah majalah lain dan menulis hampir semua genre termasuk, cerpen, puisi, esei, makalah dan jurnal.

 Sekarang saya menjadi pemilik kepada dua buah syarikat pengurusan pelancongan (Travel Agent) di Kuala Lumpur dan juga sedang mengusahakan sebuah syarikat mengeluarkan batu kuari di Phnom Penh, Kemboja.

 Cerita-cerita yang tersiar di sini semuanya berdasarkan pengalaman sebenar saya. Alhamdulillah saya diberi peluang untuk merasa sedikit pengalaman mistik di semua tempat, terutama ketika di kapal TLDM. Saya akan cuba ceritakan mengikut ruang masa yang diberikan. Terima kasih kerana menyokong tulisan saya.

22 Mei

Permit Memiliki Senjata di Malaysia

Selain dari MyKad & Surat Beranak, dokumen ini juga amat penting dan perlu disimpan sebaiknya bagi yang memiliki senjata api. Ayahanda saya memiliki senjata api semasa saya masih kanak-kanak. Apabila penglihatan bapa dah kabur setelah berusia lebih 60 tahun, bapa saya dah tak boleh menggunakan senjata api lagi. Terpaksa diserahkan kepada pihak polis. Saya hanya menyimpan dokumen salinan untuk urusan sub lesen senjata api beberapa tahun dulu. Walau bagaimanapun saya tidak meneruskan urusan tersebut kerana saya tidak tinggal berhampiran dengan bapa saya. Kini usia ayahanda saya 77 tahun.

Ramai yang cakap memiliki senjata api umpama sebelah kaki berada dalam penjara. Lagi saya takut dan saya tidak meneruskan urusan tukar hak milik. Untuk memohon lesen senjata api dan memilik senjata api bukan senang. Dulu² mesti kena ada tanah kebun untuk menjaga tanaman dusun buah-buahan. Kena terlibat dengan RELA dan kebetulan pula ayahanda saya ni ketua kampung. Memiliki senjata api bukan untuk berbangga diri namun untuk menjaga keselamatan. Sudah tentu tanggungjawab sangat berat.

Sekadar perkongsian MDDO.

Boi kembali bercerita Episod Pulau Besar, Melaka


Salam Perpaduan warga MDDO,

Cerita ni berlaku pada tahun 1997.

Masa ni Boi dah belajor di kolej kat Seremban dan balik ke Muo masa cuti.

Biasala kalau anak sulong balik bercuti, mak, ayah dan adik beradik macam raya sakan. Semua menu pilihan Boi yang dimasak. Satu famili datang menjemput kat bas sten Melaka di Muo.

Memandangkan cuti panjang, mak cadang kami pergi bercuti cuti. Zaman tu cuti cuti Malaysia saja. Berkelah kat air terjun atau pegi mandi laut. So kami cadang nak pegi Pulau Besar kat Melaka. Ni cadangan isteri Uncle Jiran iaitu rakan sekerja ayah.

Tiba hari Sabtu dan kami bersiap sedia pegi berkelah di Pulau Besar. Kalau dari Pagoh, agak agak sejam perjalanan ikut jalan Kesang/Umbai.

Seperti biasa, mak dah masak segala makanan berkelah. Dari sanwic Sardin, nasi lemak, telur rebus, ayam goreng, kari kambing, thosai, idly dan meehon goreng. Memang makanan berkelah yang paling best.

Boi tukang tolong menolong je masa ni.

Kami bertolak dalam dua buah kereta. Ayah bawak Nissan Sunny 130Y tahun 1984. Lampu reverse petak kecik. Uncle Jiran bawak kereta Datsun Tonggek 120Y warna merah.

Sampai kat jeti dan kami menyewa motobot ke Pulau Besar.

Dalam masa beratur menunggu bot, Boi perasan ada ramai lagi yang datang buat rombongan besor. Siap bawak kambing hidup lagi.. Terpikir pikir hajat diorang masa tu.  Tapi tak kisah la. Yang penting pegi mandi laut. Kena pegi sewa tiub getah kat sana dan mandi puas puas. Buat masa ni tu je la hajat kita.

Dah la makanan best dalam tangan ni. Uncle Jiran siap beli air gas dan jajan lain sekali. Sakan giler kompom.

Adik beradik dan anak jiran sekali. Lagi ramai lagi meriah la kan.

Pakcik Bot dah awal awal lagi pesan. Pegi sana kang jangan nak buat mende tak senonoh. Jangan nak raba sana raba sini. Romen sana romen sini. Tempat ni keras. Kita masa tu tak paham sepatah apa yang dia nak sampaikan.

Kami angguk je pada apa yang Pakcik tu cakap.

Bila dah sampai kat jeti Pulau Besar, kami tengok macam tak ramai orang. Tak ramai yang berkelah macam kami.

So kami meninjau keliling Pulau sementara mak dan auntie jiran menyiapkan makanan dan minuman.

Macam macam kami nampak, ada makam yang panjang, memang panjang sangat. Baca la segala papan tanda kat sini buat menambah pengetahuan. Lepas tu ada tempat sembahyang. Kat situ ada nampak orang beratur nak sembelih kambing. Kami tak lama kat sana. Tak nak kacau kepercayaan dan aktiviti mereka yang datang walaupun dipelawa makan sesama.

Jumpa pulak ada satu lubang batu yang semua orang masukkan duit syiling dan seluk tangan ke dalam. Konon akan dapat sesuatu yang berharga.

Cuba jugak la, tapi tak dapat apa apa. Dalam perjalanan pulang ke tempat berkelah, jumpa ramai lelaki misteri macam yang bertapa dan yang belajar ilmu. Kami perati je dan terus berjalan.

Dalam pada mak dan auntie dah settle uruskan makanan dan minuman.

Ayah dan Uncle meninjau kawasan Pulau dari arah yang bertentangan la pulak. Jumpa resort yang tunggal disana dan kata mereka air Coke serin dah RM6 pada masa tu. Mereka juga perasan yang takde bekalan air di Pulau Besar.

Kami pun terus menjamah jamuan yang mak sediakan dan mandi laut saban hari. Tak layan la apa yang orang dewasa buat kat tepi laut. Diorang duk bersembang je kot. Kami mandi sakan, asal lapor pegi pulun nasi lemak dan sambung mandi.

Pakcik Bot bagi masa sampai 5ptg. Lepas tu bahaya katanya. Ombak tinggi.

Tapi bila kami bersiap sedia nak balik dah boleh rasa angin kencang dan ombak tinggi.

Bot tiba dan kami pun bersedia balik. Pakcik Bot siap hulur life jeket. Cuaca tak selamat, pakai jeket ni katanya. Cuak jugak la. Bot kecik je pun. Bukanya reti berenang sangat pun.

Beralun alun perjalanan masa balik. Bot rasa macam terhempap kena paluan ombak. Ada sekali bot yang dinaiki keluarga jiran hampir terbalik.

Mak dah menjerit kat sini. Adik boi macam nak pitam dah. Tapi semua selamat sampai ke darat.

Lepas tu kami nak bergerak dah. Uncle jiran ramai kenalan di Melaka. Mereka nak singgah Melaka dulu.

Kami bertolak terus ke Pagoh.

Pada hari Isnin tu, auntie datang melawat mak kat rumah.

Panjang ceritanya, rantai perkahwinan auntie terputus sebelum mereka berlepas dari jeti. Rantai jatuh di sana. Dalam perjalanan ke Melaka baru sedor yang rantainya takde kat leher. Patah balik pegi mencari. Mujur la jumpa.
Mereka membatalkan rancangan ke Melaka dan balik ke Pagoh terus.

Dalam perjalanan kereta Datsun tonggek hampir terbabas kena eksiden masuk semak. Lori pasir potong jalan.  Tayar kereta pancit dan mereka sampai rumah selepas tengah malam.

Mak tenangkan auntie dan suruh balik. Jangan risau kata mak. Bersyukur semua ahli keluarga selamat kata mak.

Bila ayah balik makan tengahari, ayah pun bawak cerita. Uncle pun ada jumpa ayah kat kedai kopi. Cerita panjang lebor pasal apa yang terjadi pada malam Sabtu.

Rupanya Uncle ada bawak minuman keras masa berkelah. Ayah tak nak minum sebab Pakcik Bot banyak pesan suruh berbaik baik kat Pulau.
Dan uncle pulak ada buang air kat semak tepi laut tu. Ayah dah banyak pesan suruh rilek. Bila dah kena baru  insaf.

Ni la pengalaman Boi sekeluarga pegi ke Pulau Besar di Melaka.

Gambar dibawah dalam bot. Zaman ni zaman baju t Maui dan seluar jean G. A Blue Straight cut 20inci. Dan zaman jam tangan Gooberz. Ada lampu kat tepi. 

Topi ori Nike Air Jordan. 
Salam Ikhlas
Boi
#boikembalibercerita

Tun Mahathir masih tak puas hati kata Dato Seri Najib Razak


 
Dia tanya dana RM114 juta itu datang dari mana jika bukan dari 1MDB walaupun saya entah berapa kali sudah jelaskan.

Tun fikir polis tak tanya soalan itu ke semasa menyiasat?

Wang itu dipindah dari peti-peti besi amat besar di Pejabat Perdana Menteri pada malam kita kalah PRU14.

Tun bukan tak tahu. Sebab Tun yang bina peti-peti besi ini untuk tujuan yang sama.

Jadi, Tun. Kenapa kamu bina peti-peti besi itu? Untuk simpan apa, ya?

Wang itu adalah sumbangan untuk PRU14 parti BN.

Dan polis pun tanya siapakah penyumbang dana-dana tersebut dan saya juga telah menjawab ianya VVIP yang amat terkenal.

Senarai nama juga saya telah beri pada pihak polis dan mereka juga telah dipanggil untuk memberi keterangan.

Sebab itu, polis dan pendakwaraya tidak dapat buktikan ianya adalah sumber haram selepas 3 tahun menyiasat walaupun kerajaan PH dan kerajaan PN sudah cuba sedaya upaya untuk kaitkan dana itu dengan hasil jenayah.

Penjelasan lanjut ada di sini: https://www.facebook.com/najibrazak/posts/10157900404895952

Paling sedih ialah geng PPBM yang dulu tuduh dan buat laporan polis bahawa dana itu adalah hasil 1MDB sudah tukar cerita.

Sekarang, dorang keluarkan statement untuk suruh saya derma dana itu kepada Palestin atau peniaga kecil pula tanpa sebarang permohonan maaf walaupun pernah fitnah saya.
 
Pertama sekali, wang itu adalah sumbangan kepada parti. Ianya bukan wang Najib. 

Ianya sumbangan dana politik dan sebab itu, ianya tidak boleh dicukai dan tidak boleh dituntut kerajaan dan LHDN.

Kedua, kerajaan rampas duit amat laju dan simpan untuk 3 tahun - jauh lebih lama berbanding tempoh 1 tahun maksima diberi kepada kerajaan untuk simpan harta sekiranya tidak mendakwa harta itu adalah hasil jenayah.

Tapi kerajaan kenakan pula saman sivil ke atas saya supaya boleh elak kembalikan duit itu pada saya.

Sekarang kerajaan sudah kalah dalam mahkamah untuk saman sivil ini tapi masih belum kembalikannya.

Siapa yang nak bayar gantirugi? Faedah ke atas dana untuk 3 tahun itu sudah berapa?

Seperti dijelaskan dalam kes mahkamah, sekurang-kurangnya RM642 juta itu adalah sumbangan dari Arab Saudi termasuk dipindah dari akaun bank Kementerian Kewangan Arab Saudi.

Untuk saya guna sesuka hati termasuk untuk kegunaan saya jika saya mahu.

Namun dibuktikan dalam mahkamah bahawa 99.9% dana yang saya terima itu telah digunakan untuk kerja CSR, sedekah dan parti politik - bukan untuk kegunaan peribadi.

Selama ini, korang tuduh saya rompak RM42 bilion untuk simpan dalam rumah, beli cincin, beli handbeg dan sebagainya.

Tapi last-last saya pula dihukum penjara 12 tahun sebab ianya bukan hak untuk saya sedekah RM42 juta pula.

"9 Sep 2020: Duit RM42 juta bukan hak Najib untuk sedekah, kata hakim"
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/271571

Ya, "perompak" ini terima dana free dari sumber asing untuk diguna sesuka hati tapi digunakan untuk kerja kebajikan temasuk menderma kepada semua masjid dalam negara serta bantuan besar bagi banjir untuk 4 tahun berturut-turut.

Termasuk juga untuk menolong balu, menghantar umat Islam untuk menunaikan Haji, menyokong pendidikan kanak-kanak yang kurang nasib baik, berpuluh kereta van untuk kerja NGO, mengadakan majlis keagamaan dan perpaduan dan sebagainya.

Ini satu contohnya:
"Ingin kami jelaskan bahawa urusniaga terbabit adalah berdasarkan pesanan yang kami terima dari mantan Perdana Menteri dan juga dari pejabat mantan Perdana Menteri ("PMO") tersebut untuk Jakel membekalkan kain jubah bagi semua program-program amal yang dianjurkan oleh beliau dan PMO (untuk imam, tahfiz dan termasuk semua masjid-masjid di seluruh Malaysia sebanyak lebih 7 ribu masjid, dan juga bekalan kain untuk mangsa-mangsa banjir antara tahun 2011 dan 2014). Transaksi-transaksi tersebut berlaku sebelum sebarang isu berkaitan dengan 1MDB timbul dalam pengetahuan kami."

"12 Jun 2019: Kenyataan Jakel mengenai dakwaan terima wang 1MDB"
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kenyataan-jakel-mengenai-dakwaan-terima-wang-1mdb-210750

Ini satu lagi contoh:
"22 Jun 2019: 1MDB: Rayhar Travels terima bayaran untuk biayai umrah"
https://malaysiagazette.com/2019/06/22/1mdb-rayhar-travels-terima-bayaran-untuk-biayai-umrah/

Tapi apa yang saya dapat balik pula ialah kes jenayah dan kes denda cukai tambahan LHDN tidak logik.

Jadi, kenapa suruh saya derma RM114 juta itu sedangkan ianya wang parti dan bukan wang saya?

Wang yang saya terima pula, saya telah gunakan untuk kerja kebajikan.

Kenapa PPBM tak suruh bekas pengerusi mereka iaitu PM4/7 untuk guna kekayaan berbilion-bilion keluarga dia untuk derma kepada Palestin dan peniaga kerja?

Kenapa PPBM tak tuntut pengerusi baru parti mereka iaitu PM8 untuk guna kekayaan keluarga dia termasuk pemilikan majoriti anak dia dalam syarikat developer tersenarai yang nilainya RM100 juta untuk derma?

Najib dah derma dan bantu ratusan juta Ringgit kepada Rakyat walaupun ianya hak saya untuk gunakan wang itu untuk peribadi.

Berapa Ringgit yang PM4/7 dan PM8 telah derma secara peribadi untuk bantuan kepada semua masjid, banjir besar, hantar umat untuk menunaikan Haji, bantu balu, bantu murid yang kurang nasib baik dan sebagainya?

Sumber:

Facebook Page Rasmi
Dato Seri Najib bin Tun Abdul Razak
Mantan Perdana Menteri Malaysia

PEMIKIRAN 20 SEN P.RAMLEE


P.Ramlee mempunyai beberapa tabiat yang ramai tidak tahu. Beliau memiliki kepandaian berbual dan bercerita secara spontan. Ini membuatkan beliau menjadi seorang periwayat yang baik untuk filem-filem arahannya. 

Satu lagi tabiat P.Ramlee ketika beliau duduk sambil bercerita atau berbual, sebelah kakinya tidak berhenti terhenjut-henjut dengan cepat, ini menandakan yang otaknya sedang berfikir.

P.Ramlee suka duduk berbual bersama rakan-rakannya di kedai kopi Siput, berdepan dengan Studio Nombor 8, di Jalan Ampas. Kebiasaannya ketika beliau sedang rancak berbual atau bercerita mesti ada segelas kopi dan sebungkus rokok Lucky Strike di hadapannya. 

Antara pelakon pelakon yang selalu menemani dan menjadi pendengar setia kepada P.Ranmlee ialah S. Sudarmaji, Ahmad C, A.Rahim, Aziz Sattar dan S.Shamsudin. 

Apabila menonton filem Seniman Bujang Lapok kita semua telah disajikan dengan keadaan dan suasana sebenar di Studio Jalan Ampas. Jikalau tidak ada filem ini, maka kita semua tidak akan tahu bagaimanakah keadaan dan suasana yang sebenarnya di studio ini pada zaman kegemilangannya. 

Bangsa Melayu seluruh nusantara wajar berterima kasih kepada P.Ramlee dan juga kepada semua pemain watak dalam filem ini kerana telah memberi gambaran sebenar dan keadaan di studio jalan Ampas. Dari kerja-kerja pembikinan filem, krew belakang tabir sehingga kaedah promosi, P.Ramlee perlihatkan dalam filem tersebut. Seniman Bujang Lapok merupakan satu-satunya filem arahan P.Ramlee yang hampir keseluruhan babak memperlihatkan suasana di jalan Ampas. 

Pada era feudal, masyarakat Melayu menggunakan bahasa kiasan dalam pantun atau peribahasa. Bukan bermaksud mahu membelit-belitkan bahasa atau situasi, tetapi lebih pada memupuk perasaan saling menghormati. P.Ramlee tidak lupa untuk menerapkan nilai-nilai sinikal komidi dalam filem ini. 

Kebijaksaan P.Ramlee mengolah bahasa kiasan dalam filem ini sangat halus dan mendalam di samping beliau berjaya memparodikan dialog kiasan satira untuk menegur masyarakat, bangsanya dan kepimpinan negara sejak zamannya. Malah segala jenis teguran itu masih kekal relevan sehingga sekarang. 

Ketelitian P.Ramlee membina watak-watak tersebut memberi kesan yang besar kepada setiap penonton yang cakna bagaimana P.Ramlee membentuk aksara-aksara dalam setiap dialog yang dilontarkan. 

Betapa telitinya bahasa yang digunakan oleh P. Ramlee dalam pembikinan filemnya sehingga bahasa kiasan tersebut mampu membuka minda masyarakat tanpa rasa kecil hati atau dengki atau menyambutnya dengan kemarahan. P.Ramlee juga faham dan cakna bagaimana mendasari bahasa kebangsaan seperti yang dilafaskan oleh beliau sendiri dalam filem ini, BAHASA MENUNJUKKAN BANGSA TAU!

Teks : HAR + RGL

Sumber : 

Allahyarham Datuk Jamil Sulong
Allahyarham Datuk Aziz Sattar
Kacha Permata - Jamil Sulong
Majallah Filem