PERBAHASAN PARLIMEN
YB DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA KE-6
DI DEWAN RAKYAT, PARLIMEN
PADA 29 JULAI 2021
Kebanyakan masa yang digunakan dalam sidang khas parlimen kali ini ialah bagi satu pihak menuduh kerajaan sudah gagal dan pihak lain pula mempertahankan kenapa kerajaan tidak gagal.
Pada pendapat saya, kita tak perlu lagi buang masa untuk ini sebab memang kita perlu mengaku.
Apabila, negara jatuh ke antara negara paling tinggi kadar kes baharu dan kes kematian berbanding saiz penduduk pada ketika ini dalam dunia - iaitu 10 kali ganda lebih tinggi daripada kadar purata dunia dan Asia.
Malah dua kali ganda lebih tinggi kadarnya berbanding pada paras paling teruk yang dialami oleh negara India.
Apabila, pelaburan asing Malaysia menjadi paling corot dalam ASEAN, prestasi Bursa Malaysia menjadi keempat paling teruk dalam dunia - dikalahkan oleh Venezuela, Peru dan Colombia dan paling teruk di Asia Pasifik bagi tahun 2021.
Apabila kerajaan perlu sekali lagi turunkan hampir separuh unjuran pertumbuhan ekonomi yang diberi dalam bajet 2021 dan menaikkan sasaran defisit buat tahun kedua berturut-turut.
Apabila kapasiti hospital-hospital sudah melebihi kapasiti maksimum - sehingga hospital kerajaan perlu minta pihak swasta untuk sumbang kontena tambahan untuk simpan mayat.
Apabila berpuluh ribu Rakyat Malaysia yang sudah positif Covid perlu beratur sehingga 10 jam di bawah matahari dan hujan sampai ke jalan raya untuk mendapat perhatian di pusat CAC.
Kita menjadi satu-satunya negara dalam dunia yang mengisytiharkan darurat untuk gantung perlembagaan dan parlimen dengan alasan melawan Covid tapi keadaan Covid menjadi 10 kali ganda lebih teruk pula.
Yang paling peliknya ialah negara lain buat lockdown, kes mereka turun tapi di Malaysia pula, kita buat satu demi satu lockdown dan PKP, tetapi yang peliknya lagi lama kita dikurung, makin tinggi kes Covid.
Sejak 1 Januari sehingga kini iaitu sepanjang 210 hari sebanyak 63% kita berada dalam PKP iaitu 52 hari bawah PKP 2.0 dan 79 hari sejak PKP 3.0 yang bermula pada 12 Mei. Bakinya, kita bawah PKPB dan PKPD.
Memang benar bahawa pandemik Covid mencabar semua negara-negara dunia tetapi kenapa pula Malaysia paling corot dari kesihatan dan ekonomi?
Kita tak menjadi paling corot dalam dunia tanpa sebab.
Ramai mendakwa kerajaan hari ini gagal tetapi apa yang menyebabkan kegagalan ini?
Ia bermula pada bulan Jun 2020 lalu. Langkah tidak lagi memerlukan pelawat asing kuarantin di pusat kerajaan tetapi kuarantin kendiri di rumah. Lepas itu, kerajaan u-turn satu bulan kemudian tetapi sudah terlambat sebab varian baharu berjaya masuk dan mencetuskan kluster Sivagangga pada bulan Julai dan Covid mengganas di negeri-negeri utara.
Inilah sebenarnya punca gelombang ini - bukan sekadar PRN Sabah yang berlangsung dua bulan kemudian.
Pada Oktober, kerajaan menetapkan mereka yang pulang dari PRN Sabah perlu menjalani kuarantin selama 3 hari sahaja. Tetapi, kemudiannya u-turn semula kepada 14 hari.
Kita tentu masih ingat permintaan melaksanakan darurat kali pertama ketika kes lebih kurang 500 kes. Namun, ketika kes sudah mencecah 1,600 kerajaan tiba-tiba membenarkan aktiviti pelancongan dan rentas negeri pada Disember 2020.
Langkah kerajaan tiba-tiba mengurangkan tempoh kuarantin bagi pelawat asing daripada 14 hari ke 7 hingga 10 hari pada Disember lalu pada ketika seluruh dunia sedang ketatkan lagi proses kuarantin mereka sebab varian baharu sedang mengganas.
Lebih malang, langkah ini hanya u-turn 5 bulan kemudian pada bulan April. Masa itu sudah terlambat sebab varian-varian UK, Afrika Selatan dan India ataupun dikenali sebagai varian Delta sekarang sudah merebak luas dalam negara. Malah sebut apa varian pun, kita sudah ada di Malaysia.
Langkah kerajaan melaksanakan PKP 2.0 secara separuh masak di mana kilang dan tapak pembinaan dibenarkan beroperasi, merupakan penyumbang terbesar Covid ketika itu, sedangkan semua sektor lain disekat.
Ini seumpama tangan kanan patah tetapi dibalutnya seluruh badan. Lain sektor yang menjadi penyebab, lain sektor yang kena tutup.
Dan pendekatan separuh masak ini terus diulangi lagi dan lagi, bagi PKP 3.0, total lockdown, PKPD dan PPN.
Langkah pertama untuk menyelesaikan sebarang masalah ialah dengan mengakui sememangnya kita ada masalah.
Dengan izin, ‘the first step to solve a problem is to admit we have a problem’.
Jadi, tak perlulah kita buang masa lagi untuk debat sekiranya kerajaan gagal atau tidak.
Sebab memang nyata gagal. Tak gagal, kita tak jadi paling corot dalam dunia.
Pada pendapat saya, kerajaan PN terlalu taksub dengan PPN mereka dan terlalu bergantung penuh pada vaksinasi sahaja.
Ya, vaksin itu penting tapi kita perlu juga melihat kepada keadaan semasa dan kita perlu ada plan B sekiranya vaksin lambat berkesan seperti berlakunya pada negara-negara lain seperti Chile di mana keadaan Covid masih tinggi biarpun negara tersebut telah lama mencapai kadar 50% penduduknya divaksin penuh.
Kerajaan tidak boleh lurus bendul sangat, ikut pelan sahaja, ikut buku sahaja tanpa melihat keadaan semasa.
Ketua Pengarah Kesihatan membayangkan bahawa angka Covid akan mencanak kepada 24,000 kes sehari dalam bulan September akan datang dan pada bulan oktober berikutnya akan merudum ke paras 1,000 kes. Ramai orang menyatakan kesangsian mereka sejauhmana penurunan ketara ini dalam masa sebulan akan menjadi kenyataan.
Persoalannya, apakah keadaan hospital kita dan jumlah kematian sehari ketika kita mencatat kes 24,000 kes baharu. Adakah 200, 300 mahupun 400 kematian setiap hari boleh diterima? Bayangkan jika angka kematian ini berterusan pada setiap hari selama tempoh 2 bulan 3 hari sehingga Oktober. Ini bersamaan 15,000 hingga 20,000 kematian baharu. Adakah ini boleh diterima kita semua?
Pada pendapat saya, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan sayang kepada rakyat tidak boleh membiarkan sahaja kes aktif meningkat tanpa batas dan kes baharu naik ke 24,000 kes sehari tanpa membuat sesuatu.
Pada masa yang sama, rakyat sudah tidak mempunyai duit setelah dikurung berbulan-bulan lamanya. Dan kita tidak boleh mengetatkan lockdown tanpa memberi duit kepada rakyat untuk menghadapinya.
Tiap-tiap hari ada berita rakan sekerja, kawan, kenalan atau saudara yang dijangkiti atau telah hilang nyawa akibat Covid.
Rakyat biasa semakin takut untuk keluar rumah tetapi semakin tidak berduit setelah berkurung 77 hari sejak PKP 3.0 bermula.
Justeru, pada pendapat saya, ada perlunya kerajaan melaksanakan lockdown yang paling ketat sekali di peringkat negeri yang mempunyai kes yang masih tinggi bagi tempoh yang sangat singkat iaitu 7 hari, 10 hari, mahupun 14 hari sementara menunggu keberkesanan vaksinasi. Jangan dibuat seperti sebelum ini. Total betul-betul total, full betul-betul full. F-U-L-L bukan F-O-O-L.
Mengambilkira kenyataan dari kerajaan bahawa kita tidak ada banyak duit lagi untuk membantu rakyat, saya cadang skim i-Survive iaitu skim pinjaman mudah dengan caj perkhidmatan sebenar paling rendah sebanyak RM3,000 – RM5,000 setiap pemohon. Sesiapa dari golongan B40, M40 boleh memohon kepada bank dan akan diluluskan secara automatik untuk dibayar terus ke dalam akaun pemohon 2 – 3 hari kemudian. Pinjaman ini disediakan oleh pihak bank tetapi dengan jaminan penuh kerajaan. Caj perkhidmatan sebenar paling maksimum adalah 3% ataupun bersamaan dengan RM90.00 setahun bagi pinjaman RM3,000.00 dengan tempoh bayaran balik selama 3 tahun.
Kaedah ini tidak memberi impak kepada hutang langsung negara kerana ia merupakan jaminan kerajaan pada bank.
Jangan bimbang bank tidak mempunyai cukup dana untuk memberi pinjaman i-Survive jika 10 juta rakyat yang memohon RM5,000.00 seorang, jumlahnya RM50 billion. Tak sampai 10% daripada jumlah pinjaman bank yang dibuat bank hari ini. Bank-bank Malaysia mencatat keuntungan tertinggi biarpun dalam keadaan pandemik hari ini.
Sebagai contoh, CIMB Bank telah mencatat keuntungan bersih berganda iaitu 500%. Sebagai perbandingan:
Suku pertama, 2020 – RM507.93 juta
Suku pertama, 2021 – RM2.46 billion!
Kerajaan negeri dan pusat akan membantu pembayaran balik setiap tahun dengan geran atau potongan dari BRIM/ BPN sehingga dijelaskan penuh.
Dengan kata lain, kerajaan negeri dan kerajaan pusat akan bayar balik bukannya pemohon. Kerajaan negeri dan pusat bagi memperolehi sumber dana ini kerajaan negeri dan pusat boleh mengenakan cukai pemulihan covid-19 seperti cukai durian runtuh, cukai pembangunan kondo mewah, cukai duti stamp transaksi pertukaran harta, cukai kepada golongan berpendapatan paling tinggi untuk tempoh 2 hingga 3 tahun atau apabila dana mencukupi.
Tempoh lockdown 7 hari, 10 hari, mahupun 14 hari ini, jika tidak boleh memutuskan sepenuhnya rantaian Covid-19, sekurang-kurangnya ia mampu mengurangkan tekanan ke atas sistem kesihatan dan mengelakkan lebih banyak nyawa terkorban.
Dalam tempoh ini, kerajaan juga perlu memenuhi 10 Tuntutan Rakyat yang sudah diserahkan oleh PEMUDA UMNO kepada Menteri Kewangan.
Saya harap kerajaan akan melaksanakan cadangan saya secepat mungkin dengan memberi dana kepada rakyat sambil mengurangkan keadaan Covid-19 mencapai 24,000 kes sehari dan mengelak lebih nyawa terkorban.
- TAMAT -
-----
10 TUNTUTAN RAKYAT PEMUDA UMNO.
10 PERMINTAAN RAKYAT UNTUK TAMBAH BAIK BANTUAN RAKYAT
1. SEGERAKAN Bantuan Khas Covic (BKC), jangan tunggu bulan Ogos. Itupun belum ada tarikh bulan Ogos bagi tujuan pembayaran. Rakyat amat terdesak sekarang. (Nota: Nilai BKC adalah RM250 untuk M40, RM800 untuk B40; RM1,300 untuk Miskin Tegar; RM100 untuk Bujang)
2. Jangan BERKIRA sangat, luluskan sahaja kedua-dua kategori penerima BPR/BKC dan penerima GKP-Geran Khas Prihatin (M40: BKC (RM250) + GKH (500) = RM750 sahaja; B40: RM300 + GKH:RM500 = RM800 sahaja). Ramai mengadu dinafikan BPR/BKC kerana GKP sedangkan GKP untuk bantu perniagaan terjejas sedangkan BPR/BKC lebih kepada keperluan menampung kehidupan diri dan keluarga.
3. Permudahkan proses rayuan tanpa perlu banyak dokumen pembuktian pengurangan pendapatan. Karenah birokrasi akan menyusahkan rakyat terutamanya M40 yang hanya menerima RM250 (takut-takut kos nak merayu akhirnya yang tinggal berbaki jika berjaya sekalipun sudah tidak berbaloi).
4. LHDN wajar ambil kira data terkini. Ramai di kalangan rakyat terutamanya M40 yang jatuh ke kategori B40 sejak awal tahun ini ketika PKP 2.0 dan makin parah apabila PKP 3.0. Data pembayaran cukai 2020 tidak menggambarkan realiti sebenar keadaan majoriti rakyat!
5. Kerajaan wajar menambah suntikan fiskal dengan meningkatkan jumlah BKC terutamanya untuk M40. Nilai RM250 terlalu sedikit dalam keadaan rakyat sudah sampai ke peringkat terdesak.
6. Tambah baik i-Citra dengan dibenarkan pengeluaran secara ‘lump sum’ berbanding berkala setiap bulan dan kadar lebih tinggi mengikut simpanan pencarum, contohnya RM10,000 atau berkadaran dengan jumlah simpanan dalam Akaun KWSP.
7. Benarkan akses kepada Akaun 1 KWSP dan permudahkan pengeluaran i-Citra tanpa perlu melalui karenah birokrasi dalam pengeluaran dan permohonan.
8. Benarkan akses kepada golongan T20 dan M40 untuk mengeluarkan caruman pada kadar lebih tinggi bagi tujuan melangsaikan komitmen-komitmen seperti hutang akibat daripada pendapatan yang terjejas secara mendadak.
9. Selaraskan kaedah penawaran Moratorium yang dibuat oleh Bank-Bank dengan tidak mengenakan faedah terakru sehingga rakyat terpaksa membayar kos pinjaman lebih tinggi akibat memilih Moratorium. Perluaskan juga Moratorium kepada agensi kerajaan termasuk LPPSA.
10. Bantuan khas kecemasan untuk peniaga-peniaga kecil yang ramai mula terpaksa gulung tikar akibat PKP 3.0 yang berpanjangan dan tiada berkesudahan.
Sumber:
Facebook Page Rasmi
Dato Seri Najib bin Tun Abdul Razak
Mantan Perdana Menteri Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan