28 Mei

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yaasin telah melawat sendiri mangsa-mangsa kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL)

Hari ini saya telah melawat sendiri mangsa-mangsa kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Alhamdulillah, mereka yang tercedera sudah dirawat dan mangsa yang kritikal diletak di bawah perhatian rapi doktor. 

Seperti yang telah saya tegaskan sejurus selepas kejadian, prioriti kita adalah untuk memastikan kesihatan dan kebajikan mangsa-mangsa terjamin dan terbela, dan siasatan penuh dijalankan secepat mungkin. Alhamdulillah, kedua dua perkara ini sudah dilakukan dan sedang berjalan. 

Kepada semua mangsa yang sedang dirawat, saya doakan mereka semua diberi kesembuhan dan dapat kembali meneruskan kehidupan seperti biasa. 

Di pihak Kerajaan, saya akan pastikan siasatan sepenuhnya dapat dilaksanakan dan langkah-langkah penambahbaikan dapat dibuat bagi menjamin insiden seperti ini tidak berulang.

Sumber:
Facebook Page Rasmi
Tan Sri Muhyiddin Yaasin
Perdana Menteri Malaysia ke-8

27 Mei

Orang Utara Pulau Pinang Sebut Duit 1sen Seduit


Orang dulu dulu disebelah utara, khasnya Pulau Pinang.

Saya mulakan dengan nilai duit bermula dengan 1 sen yang dipanggil SEDUIT.

Kemudian lima sen yang dipanggil lima duit, kemudian sepuluh sen yang tidak dipanggil sepuluh duit, tetapi dipanggil SEKUPANG. Sekupang tu SEPULUH SEN.

Kemudian sekupang itu ditambah lima det, dipanggil LIMA BELAS DET, tidak dipanggil SEKUPANG LIMA DET. Lima belas det tu ialah Lima belas sen.

Kemudian sekupang itu ditambah lagi sekupang, dipanggil DUA KUPANG.
Dua kupang itu ditambah lima det menjadi DUA KUPANG LIMA DET, atau dipanggil juga SUKU.  Dua kupang tu ialah DUA PULUH SEN.
Dua kupang lima det ialah DUA PULUH LIMA SEN, dua puluh lima det tak ada.

Kemudian SERINGGIT, seringgit lima det, seringgit lima belas det,  seringgit lima kupang atau dipanggil juga TENGAH DUA RINGGIT. Seringgit  dua kupang lima det atau dipanggil SERINGGIT SUKU.  Seringgit lima kupang lima det, dua ringgit dua kupang lima det atau dua ringgit suku.

Hanya SERINGGIT LIMA KUPANG sahaja dipanggil TENGAH DUA RINGGIT. Dua ringgit lima kupang tidak atau jarang dipanggil TENGAH TIGA RINGGIT dan begitu juga seterusnya.

Kemudian yang lain lainnya macam biasa la, dua ringgit sekupang, dua ringgit tiga kupang, dua ringgit sembilan kupang lima det sampai la tiga ringgit dan seterusnya.

Ada juga loghat lain sikit,  lepa tak sebut det tapi lepa sebut ret, lima belas ret.

Sekian sembang pasai duit.

Kalau berubat dengan Tok Bomoh, duit pengeras mesti ada SUKU.
Contohnya lima ringgit suku😊

Ramadhan & Syawal di LBK



Dengan hanya melihat sekeping gambar ini, membawa saya terus ke zaman awal remaja di LBK (Ladang Bukit Katho) dulu. Ia satu2nya gambar rasmi yang keluarga kecil kami ada. 

Maklumlah Abah&Emak hanya penoreh getah biasa. Manalah nak mampu ada kamera masa tu. Cukup makan dan minum pun dah bahagia.

Tidak silap saya, ia diambil pada tahun 1986. Di dalamnya ada Abah, Emak, Saya, Adik, Wie dan Akak. Ia diambil di studio semasa musim Raya pada tahun itu.

Bulan Puasa di LBK sama sahaja dengan suasana di kampung. Bersahur di awal pagi lengkap terhidang set nasi, lauk paling kurang dua jenis, sayur, sambal dan ikan masin kalau tak pun telur masin.

Gigihnya la Emak bangun awal masak semua tu dan kemudian gerak kami adik beradik dari tidur yang lena. Selepas makan, Emak&Abah tak tidur dah kerana perlu bersiap untuk ke kebun getah. 

Balik rumah jam 12.00 tgh memang Emak&Abah melepek kepenatan. Namun Emak tetaplah Emak juga, juadah untuk berbuka tetap dibuat sesempurna mungkin. Lauk pauk serba lengkap.

Ada pemanis mulutnya sekali. Kalau tak pengat ada bubur, kalau tak pun ada bengkang atau kuih2 manis seperti Kuih Cara, Apam Siam atau yang seumpamanya. Zaman tu macam takde lagi orang berjualan kuih muih semasa Ramadhan.

Emak kalau buat kuih tak pernahnya ngam2, mesti buat lebih. Kami adik beradik jadi tukang menghantar juadah ke jiran2. Balik pula  tidak pernahnya dengan tangan kosong. Mesti ada hantaran balasnya. Sudahnya, beratur juadah berbuka puasa kami.

Meriahnya berbuka zaman itu. 

Masuk pertengahan puasa, kedatangan Hari Raya sudah terasa sebab masa ni Emak dah mula menumbuk kacang hijau untuk buat putu. Gigih betul. Menumbuk, mengacu dan menjemur putu bukannya senang. Gigih tak hengat.

Abah rajin tolong Emak buat kuih Raya. Selain putu, bauhulu antara kuih wajib yang  Emak&Abah buat. Walau pun masa tu Emak dah ada oven hitam cap Butterfly, bauhulu Emak tetap juga dibakar dgn kayu api, arang dan sabut kelapa.

Abah yang buat sendiri ‘oven’ pembakar bauhulu daripada tin biskut yang dibelah dua. Diletak pasir sungai di dalamnya dan berpenutup dari bahan zink juga. 

Awal2 pagi Emak dah menghempuk telur dan gula dalam pasu. Terbayang figura Emak di depan pintu dapur menghempuk telur sambil memerhati Abah menyediakan port bakar bauhulu bawah pokok durian di belakang rumah kongsi kami.

Bukannya sekejap untuk mengembangkan telur tu. Berjam2, lagi lama lagi pekat lagi seksa nak menghempuknya. Huhuhu!!! Tak sanggup nak buat.

Dah lama betul tak jumpa bauhulu sedap macam yang Emak&Abah buat. Emak yang mengadun bancuhan telur&gula dgn tepung, Abah pula membakarnya. Abah guna kayu api je untuk mengangkat penutup oven yang berbara di atasnya itu. Berpanas berpeluh Emak&Abah kena diang dek bara.

Comel bauhulu cermai Emak&Abah sebab ianya bertopi. Sengaja Abah buat begitu agaknya supaya ada banyak bahagian yang garing.

Sumpah sedap bauhulu tu sehingga memaksa saya merayu agar dibenarkan berbuka puasa pada hari Emak&Abah membakarnya. Tak pernah cukup sebulan puasa saya semasa sekolah rendah asbab nak makan bauhulu πŸ˜…. Bauhulu panas2 lagi sedap wehhh!

Kadang2 Emak&Abah mendodol juga tapi hanya buat dalam kuantiti yg sedikit. Dikacau atas dapur masak Emak je, buat makan kami anak beranak.

Menjelang 27 likur, rumah2 kami di LBK adalah panjutnya masing2. Sama macam rumah2 di Kampong Poh juga. Kami adik beradik selalu menyibuk bila melihat Abah membuat panjut. Sebelum berbuka puasa memang kamilah yg akan menyalakan pelita. Tak sabar nak main bunga api Cap Kucing Hitam yang dicucuh pada panjut Abah pada malamnya.

Zaman tu bulan Puasa dan bulan Raya memang bulan untuk bersuka2 bagi budak2. Setiap kali Ramadhan akan ternganga mendengar cerita orang bertemu Lailatul Qadar πŸ˜….

Berangan nak jumpa tapi takut pula dengan tanda2nya yang pelik. Hihihi!!!

Bila tiba Hari Melemang, celik2 mata Emak&Abah sudah sibuk di dapur. Abah akan sibuk menyediakan buluh lemang, bahan bakar, daun pisang dan yang paling penting kelapa. Semua tu tugas Abah, entahlah masa bila Abah buat, yang saya tau benda2 tu dah ada je.

Abah jugalah satu2nya ‘orang’ dalam rumah kami yang tahu menganyam ketupat. Saya ni... belajar pun tak nak. Teruk betul 🀦‍♀️. Ketupat Pulut Emak&Abah dibuat dari anyaman daun kelapa. Cukup lemak dan cukup masinnya.

Pagi2 Abah sudah menyembelih ayam, tugas kami hanya cabut bulu ayam. Selepas itu, Abah jugalah yang melayur ayam tu. Abah jugalah orangnya yang menolong Emak menyediakan bumbu2 untuk buat Rendang Pedas Ayam.

Harum semerbak serumah dengan bau bawang, halia, lengkuas, serai, pandan dll. Haishhh!!! Memang tak boleh lupa bau tu. Bau di pagi Hari Melemang.

Emak&Abah tidak diam2 kalau Hari Melemang. Dari pagi sehingga ke petang. Kami adik beradik mesti selalu kena dalam ‘mode standby’. Itu biasa, kami memang menanti untuk disuruh2. Yang paling selalunya adalah kena suruh ke kedai πŸ˜ƒ.

Biasanya, menjelang petang semuanya akan siap. Selepas berbuka puasa pada hari terakhir, Emak dan kami akan mengemas rumah kongsi kami yang kecil tu. Tiada apa sangat pun, ruang tamu bersekali dgn ruang makan. Bilik tidur ada dua, tingkap pun ada berapa je. Sekejap... settle semua.

Keluarkan kuih2 dan biskut2 yang Emak buat dan letak dalam bekas kuih raya adalah tugas adik dan saya. Kuih Raya Emak tak pernah kurang dari 10 jenis. Hobi saya menjelang Malam Raya adalah kira berapa jenis kuih Emak buat. Hihihi!!! Entah berapa kali ulang kira.

Kena kira betul2 sebab esoknya masa Raya boleh ‘ekkk’ sikit dengan kawan2. Lawan siapa paling banyak kuih Raya.

Yang pasti Biskut Kacang Buncis, Biskut Mazola, Biskut Sarang Semut, Biskut Medan dan tentunya Biskut Peanut Butter mesti ada selain Bauhulu, Putu dan Kuih Bakar.

Arghh!!! Semuanya itu hanya tinggal dalam lipatan kenangan. 

Hari Raya zaman itu memang hari yang ditunggu2 kerana hanya pada Hari Raya kami akan dapat menyarung baju cantik. Kainnya Emak beli awal2 lagi. Kain untuk buat baju raya pun dibeli secara berhutang pada Makcik Kemboja yang berjualan di LBK. 

Sebulan dua sebelum Syawal, Emak akan bawa kami ke tukang jahit untuk menempah baju Raya. Berbunga2 hati nak tunggu baju baru siap. Tak sabar sungguh nak beraya masa zaman budak2 dulu ni.

Sewaktu nak Raya jugalah Emak akan belikan kami gaun. Gaun mesti sama dengan Adik, macam kembar kami berdua masa tu. Baju gaun tu akan dipakai semasa Hari Raya Kedua.

Semasa nak Raya jugalah Abah akan belikan kami adik beradik kasut Raya. Kalau Abah baik, kami akan dibawa sama untuk memilih kasut sendiri. Selalunya, Abah sukat kaki kami dengan tali rafia je, untuk beli kasut. Seronoknya tidak terhingga.... ia antara waktu2 yang sangat kami raikan zaman kecil2 dulu.

Rendang, lemang dan ketupat pun hanya dapat jumpa di Hari Raya. Mana tak tertunggu-tunggunya. Ramadhan dan Syawal zaman itu memang eksklusif sungguh.

Gambar Raya tahun 1986 ini suasananya sudah lain. Masa ini Emak sudah berniaga dan Abah pun sudah ada Nissan Sunny 130Y warna biru lembut.

Kain baju kurung moden Adik dan saya tu, saya yang pilih dan beli di Teluk Intan. Semasa ini saya bersekolah si SEMESTI dan Ruhil Hazana Ismail Nana pula di SMKJ, Tanjung Malim. Tudung yang kami pakai tu kainnya dibeli di Supermarket Sungei Perak. Ia kain georgette yang cantik, Emak jahitkan tudung tu untuk kami.

Masa ini, Ruhil Hafiza Ismail baru berumur 4@5 tahun. Ingat lagi saya baju dia warna merah ni, Emak beli kainnya di Pasar Lambak Khamis pekan Bidor. Murah sahaja kainnya dan Emak jahit sendiri. Lama2 pakai hujung baju dan kain jadi meleding.

Kemain lagi Abah dengan sepersalinan serba putih dan Emak dengan berkebaya sulam. Baju Emak tu beli hutang juga rasanya tapi mahal lah sedikit.

Seronoknya rupa adik saya si Hyat Ruh masa ni. Bukan selalu dapat pakai sepersalinan lengkap dengan kasut dan stokin.

Samar2 diingatan saya apa yang berlaku semasa hari ambil gambar ni. Yang saya ingat kami pergi selepas Maghrib. Itu aje.

35 tahun sudah berlalu, gambar nan sekeping ini sahajalah yang dapat mengingatkan saya tentang dunia kecil kami di rumah kongsi di LBK. Seronoknya dunia kanak2.

Emak dan Wie telah meninggalkan kami. Kini, hanya ada Abah, Adik, Akak dan saya. Itu pun jarak memisahkan kami, malas nak ikutkan hati sangat untuk mengenangkan waktu2 dulu kerana ia selalu mengundang sendu.

Semoga Allah SWT lapangkan tempat persemadian Emak & Wie dan dikurniakan syurga buat mereka.

Sumber:
Facebook Page Rasmi
Malaysiaku Dulu-Dulu Official

25 Mei

Beg Sekolah Legend Zaman Dulu-Duu


Dari tahun 1985 hingga 1990, beg hijau (kain) ni la yang saya galas di bahu setiap hari berjalan kaki hampir 5km ke sekolah. Teringin juga nak galas beg warna warni yang lebih girlish mcm kwn2 kat kelas, tapi mak tak kasi. Mak kata, selagi hang tk dapat no1, beg tk boleh tukar. Sampai darjah 6 la menggalas beg hijau yang kusam dan tk girlish ni sbb tk pernah dapat no1. Lgsg tk memberontak, pegang kata2 mak. Alhamdulillah UPSR dapat straight A dan ditawarkan menyambung pengajian di sebuah SBP di Utara tanah air. Agak2 dapat tak tukar beg sempena melangkah ke sekolah menengah? Tk dapat jg. Mak tukar alasan. Mak kata, "beg cantik2, hang mengaji tk tara mana nak buat apa." Zaman tu kita pasrah. Apa mak cakap, itu la yg kita taati. Anak anak saya sekarang, kalau tak da unicorn, tkda barbie, tkda super hero, tk masuk lunch box lagi, pencil case bertema, selagi tak berhabisan 3-4 ratus, tak mau pny laπŸ˜…(gambar beg ehsan gugel)

Kerja Sebagai Chef pada 80an di KLIH

Gambar seorang sahabat lama semasa dulu2 pernah bekerja satu tempat kerja sekitar 80an di KLIH..

Profession sebagai seorang Chef amat di hormati apatah lagi jika memegang jawatan yg tinggi dalam Jabatan mereka.

Dari dahulu  apa yang saya tahu dan ingat Pangkat atau Position Chef ini  Bermula dengan Jawatan  yg junior sehingga yg paling tinggi iaitu.. 

=commis (1,2,3) 
=Demi Chef 
=Sous Chef
=Chef de Partie
=Head Chef 
=Executive Chef 
(klu kurang tepat harap maaf ya, xingat sngt) 

Dulu2 kita terpaksa import ketua Chef dari luar negara terutama hotel 5 bintang dan trend tu berubah semenjak 90an dimana kepercayaan di beri pada ketua chef tempatan

Tapi sekarang ada yg sampai ke tahap 'Director Chef' di Bidang yg mereka Pakar dan Berpengalaman luas..

Kenangan kami ketika berkerja  dengan Chef2 di Hotel  memang banyak dan menyeronokan..
Perasaan takut, hormat, kagum serta percaya ada lah satu sifat yang ada apabila berhadapan dengan mereka...
Al maalum lah zaman dulu  kita di ajar dengan disiplin yang tinggi dan ketat..

# sedih juga bila sekarang ini  banyak Hotel, Restoran dan Katering terpaksa menutup bisnis angkara Covid ni..

# semuga profession dan bisnis   perhotelan  yg pernah mengajar erti kehidupan pada saya ini akan bertahan dan pulih seperti biasa ...

BUKIT KAMAL MENJERIT IV


Di peringkat awal bergelar rekrut, kami ‘dipaksa’ menerima banyak perkara baru yang berlaku kepada kehidupan kami. Bangun seawall pukul 5 pagi, bergegas ke bilik air, berebut dan beratur nak menggunakan tandas. Pkl 5.30 pagi sudah terpacak di bawah, lengkap dengan pakaian sukan, dan senior kami bukan sekadar ingin melatih kami bersenam, tetapi turut melanyak kami dengan senaman yang memang menyeksakan dan tak masuk akal. Kami dipaksa berenang, bergolek dan menyelam dalam longkang yang airnya busuk dan berbau dan paras air longkang itu hanya sekadar tahap keting kami sahaja. Itu masih belum kira berguling dan bergolek-golek atas batu kerikil yang tajam dan bergeligi kerana kawasan sekitar masih dalam pembinaan. Sakit dan berdarah badan sesetengah dari kami. Muntah hijau tu perkara biasa.

Selepas breakfast, pukul 7.30 pagi kami sudah siap beratur di bawah, berbaris untuk ke sekolah latihan masing-masing.  Ada yang terus ke padang kawad, ada di ajar teori menembak, ada ke kelas-kelas pengkhususan masing-masing. Aku terpilih memasuki sekolah Teknikal dan kami akan menghabiskan masa belajar di kelas sehingga pukul 1 sebelum pulang ke dormetri untuk makan tengah hari.

Sebelah petang pula diisi dengan latihan di padang, malam akan bergilir-gilir untuk bertugas awasan (rondaan atau sentry) di mana-mana kawasan yang ditugaskan. Selalunya tugas sentry ini akan dibahagikan kepada 4 kumpulan, setiap kumpulan dengan 2 orang rekrut mengadakan rondaan selama 4 jam, sebelum digantikan dengan rekrut lain yang juga mengambil masa selama 4 jam.

Tugas rondaan ini agak menjengkelkan, kerana kami harus berjalan-jalan meronda di seluruh kawasan, termasuk di pinggir bukit, di hutan-hutan yang masih belum diteroka dan ke tempat-tempat yang jika dilihat di waktu siang pun agak menakutkan dan menggerunkan, terutama jika ke Bukit Kamal.

Dan itulah yang berlaku pada aku yang kebetulannya dalam kumpulan yang melibatkan Nirwan yang sejak kejadian tempoh hari kelihatan murung dan agak berdiam diri. Nirwan dilihat sering menyendiri dan ada kalanya berjalan berseorangan dan mengelak untuk bertegur sapa dengan kawan-kawan.

Pukul 10.30 malam kami melaporkan diri kepada jurulatih untuk tugas sentry selama 4 jam sehingga 2.30 pagi. Aku bersama Zul Kelantan (arwah) dalam satu kumpulan. Mat Yus (juga sudah arwah) dalam kumpuan lain bersama Nirwan. Mereka berdua pernah dirasuk beberapa malam sebelum itu. Penumbuk Mat Yus masih bengkak kerana tumbuk dinding simen semasa dirasuk. Kuat pulak tu, sehingga kawan-kawan berdarah ditumbuk di muka semasa mengerumuni untuk menjatuhkan dia ke lantai.

Aku dan Zul ke satu penjuru lain, Mat Yus dan Nirwan ke penjuru yang berbeza. Senjata kami hanyalah sebuah lampu picit dan sebatang cotar tiap seorang. Kami diberi ‘codeword’ yang kami akan gunakan untuk mengetahui siapa yang kami jumpai, jika ada. (Aku tak mahu panjangkan soal ‘codeword’ ni kerana ia melibatkan teknikal dan isu keselamatan anggota tentera).

Agak meremang jugak bulu roma bila kawasan rondaan kami nanti ialah ke kaki Bukit Kamal. Aku tahu Mat Yus dan Nirwan jugak risau.

“Anak jantan, apa takut. Kalau hantu datang aku nak peluk dia.” Kata Mat Yus tersengih.

Kami berpecah ke arah bertentangan. Malam gelap sungguh, ada beberapa butir bintang di langit. Kami tahu padang yang kami sedang berjalan perlahan-lahan ini hanya dipenuhi rumput halus dan pokok renek. Kami berborak secara perlahan dan tidak langsung menggunakan lampu picit kerana dikhuatiri lokasi kami ini diketahui oleh orang lain.

Agak lama juga kami berjalan, meronda dan ketika melintasi kaki Bukit Kamal, terasa angin sejuk mendesus di telinga. Jantung aku tiba-tiba berdebar. Terlintas ayat alquran yang mudah diingati dan aku membaca perlahan. Zul juga berbuat demikian. Kaki kami terus melangkah.

Seperti ada sesuatu sapaan menegur nama aku. Aku berhenti. Zul juga berhenti. Terdengar langkah mendekati kami. Memang kami agak ketakutan, dan lampu segera disuluh.

Fuhhhh!! Mat Yus dan Nirwan. Celaka, aku menyumpah. “Aku ingatkan hantu tadi,” kata Zul. Mat Yus dan Nirwan ketawa mengekek.

“Kalau aku hantu, kau nak buat apa...” tambah Mat Yus ketawa jugak. Nada ketawanya berbunyi lain dari biasa.

“Aku bawak air. Kau nak?” pelawa Mat Yus, Nirwan berdiam dalam kegelapan. Zul sambar botol air dari tangan Mat Yus dan dia meneguk air sambil berdiri.

“Naik bukit nak, kita cari hantu.”

Aku geleng kepala. Zul pun. “Kita tak perlu naik. Tugas kita kat bawah ni jer”

Aku ingin segera berlalu dari kawasan kaki Bukit Kamal tu dan tdak ingin berlama-lama bersembang kosong di kaki bukit berhantu tu. Angin sejuk terus menerpa telinga kami. Entah kenapa terasa seram sejuk sejak tadi. Bulu roma meremang, terutama bila melihat muka Nirwan dalam kegelapan. Nirwan tidak bercakap, dan hanya berdiam dan merenung ke arah kami.

Kami berpisah di situ. Aku dan Zul meneruskan tugas rondaan ke  kanan, sementara Mat Yus dan Nirwan ke kiri padang. Jika dikira jarak rondaan kami itu, kami hanya akan berjumpa dengan mereka semula setelah sejam kemudian, mungkin di tempat yang sama., di kaki Bukit Kamal, bukit yang pertama kali kami mendengar tangisan pada malam hujan lebat tempoh hari.

Sekitar 5 minit kemudian. Terdengar seseorang sedang bercakap di depan kami. Kami agak tentulah rakan kami yang jugak sedang melakukan rondaan ayng sama. Bila kami mendekat, kelihatan sosok tubuh seperti Mat Yus. Nirwan di sebelahnya. Lampu picit kami suluh ke arah mereka.

Ia, Mat Yus dan Nirwan.

“Eh, cepatnya kau ke sini,” aku tegur.

Mat Yus pandang kami dalam kegelapan.

“Memang aku kat sini sejak tadi. Kami ronda sini saja."

“Tadi kau pergi sana buat apa,” aku tunjuk ke arah belakang, ke arah kaki Bukit Kamal.

Mat Yus kehairan. Nirwan berdiam diri.

“Kami memang tak ke mana-mana sejak tadi. Kami ronda sebelah sini dan tak langkah kawasan rondaan hangpa berdua,” katanya turut kehairan.

Jawapan itu sebenarnya sangat mengejutkan kami kerana kami baru saja terserempak dengan mereka berdua di kaki Bukit Kamal tadi.

“Mana air kau?” Zul tanya bila lihat Mat Yus tidak memegang apa-apa melainkan cotar dan lampu picit.

“Air apa?”

“Air sejuk yang kau bagi aku minum tadi”.

“Aku tak bawak apa-apa air Zul.”

Kata-kata Mat Yus tadi menjadikan bulu roma kami meremang semula. Kami melangkah dengan agak tergesa-gesa meninggalkan kawasan itu. Malam itu kami hanya meronda kawasan sekitar itu sahaja dan tidak berhasrat untuk ke kaki Bukit Kamal itu semula.

Peristiwa berjumpa Mat Yus dan Kamal di kaki bukit itu kami ceritakan pada jurulatih semasa menamatkan tugas kami malam itu. Dan kami percaya, sentry yang melakukan rondaan selepas duty kami berakhir pagi itu juga tidak melakukan perkara yang sama.

Esoknya Zul demam. Dia dirujuk ke hospital angkatan tentera dan dimasukkan ke wad. Seminggu dia meracau siang malam.

Sekian dulu. Kita berjumpa di lain posting, InsyaAllah. Stay safe, stay healthy.

Keterangan gambar:

Zul berdiri paling kiri di belakang. Nirwan dan Mat Yus tidak ada dlm gambar ni. Junaidi yg namanya disebut dlm Siri II duduk di depan, no 2 dari kanan.

Sumber:
Facebook Page
Malaysiaku Dulu-Dulu Official

24 Mei

FENOMENA AYAM SERAMA 1990



AYAM SERAMA merupakan sejenis ayam hiasan yang cantik dan menarik yang mempunyai nilai estetika tersendiri untuk dipelihara. Di negara kita ianya turut dikenali dengan nama Ayam Serama Malaysia .Ayam Serama ini diketahui berasal dari sejenis baka Ayam Katik dan telah ujud lebih kurang 50 tahun yang lampau. Bagaimana pun sejarah asal keujudan Ayam Serama ini tidaklah dapat diketahui dengan tepatnya .

Terdapat lagenda yang mengatakan ia merupakan keturunan dari pembiakan silang di antara burung merpati dan ayam. Cerita lainnya pula mengisahkan asalnya bermula dari pemberian hadiah Ayam Katik oleh Raja Siam kepada Sultan Kelantan pada zaman dahulu. Apa pun yang pastinya sejarah Ayam Serama ini di Malaysia adalah bermula dari Negeri Kelantan .

Baka Ayam Katik ini pertama kali dipamerkan pada tahun 1990. Seterusnya pada tahun 2000 , adalah merupakan kemuncak popularitinya Ayam Serama di Malaysia. Bagaimanapun baka Ayam Serama ini terjejas teruk semasa wabak selselema burung pada tahun 2004 apabila lebih dari 50,000 ekor ayam serama tersebut telah dihapuskan .

Baka moden Ayam Serama dipopularkan oleh Encik Wee Yean Een iaitu seorang aktivis ayam serama dari Kelantan. Dipercayai beliau telah memberi nama "Serama" bersempena dengan nama Raja Sri Rama iaitu satu watak utama di dalam Wayang Kulit yang terkenal di Thailand dan Kelantan .

Seperti mana yang telah dinyatakan tadi , Ayam Serama ini adalah berasal dari Negeri Kelantan dan amat terkenal di Negeri tersebut sebelum peminatnya berkembang keseluruh negara. Terdapat beberapa persatuan yang telah ditubuhkan oleh peminat Ayam Serama ini untuk menyelaraskan aktiviti aktiviti mereka disamping mengadakan pertandingan Ayam Serama tercantik dari masa kesemasa .

Walaupun hadiah yang ditawarkan dari pertandingan itu , tidak seberapa lumayan seperti pertandingan pertandingan yang lain , namun sambutan yang diberikan oleh peminat peminat Ayam Serama ini sentiasa amat menggalakkan . Hadiah bukan keutamaan mereka .Apa yang mereka harapkan ialah apabila Ayam Serama mereka telah dinobatkan sebagai juara pertandingan , secara tidak langsung nilai Ayam Serama juara ini akan naik berlipat kali ganda , sehingga harganya mampu mencecah keangka puluhan ribu ringgit sekiranya ada peminat lain yang berminat dan ingin membelinya .

 Ayam Serama adalah unik kerana saiznya yang kecil , pandai menonjolkan diri dan memikat hati orang yang melihatnya. Ayam Serama menjadi haiwan peliharaan kerana jinak, manja dan berkemampuan untuk mengenali tuannya .

Ciri istimewa Ayam Serama adalah berekor lentik, berdada tegak dan kepak lurus ke bawah . Haiwan ini juga mempunyai gelagat yang menarik seperti mampu berjalan mengundur ke belakang serta seringkali mengepakkan kedua dua belah sayapnya . Dada ayam ini membusung ke depan dengan kepala yang tetap tegak ke belakang yang hampir menyentuh bagian ekornya.

Untuk memelihara dengan sempurna Ayam Serama ini bukanlah satu kerja yang mudah .
Ianya sedikit rumit dan agak meremehkan .
Γ€ntara perkara perkara yang perlu diberikan perhatian dan keutamaan adalah .
-pemakanan, kebersihan dan keselesaan , suhu dan cuaca , pencegahan penyakit , dan lain lain aktiviti tambahan seperti kerap memegang serta membelainya , mengurut , memandikan dan menjemurkannya sebentar bertujuan untuk menghapuskan hama hama dibadannya jika ada .

Pendek kata untuk memelihara Ayam Serama memerlukan tahap kesabaran dan kerajinan yang tinggi .

Selain di Malaysia , Ayam Serama ini cukup popular di Negara Indonesia .Ayam Serama diperkenalkan ke Indonesia pada tahun 2000.

Di Indonesia ianya juga dikenali dengan nama ayam sombong kerana dadanya yang membusung . Namun ada juga yang menyebutnya dengan Ayam Perajurit karena tubuhnya yang gagah dan tegap berdiri seakan siap melawan musuhnya. 

Semasa saya bertugas di Kem Bukit Galing , Kuantan , satu pertandingan secara besar besaran Ayam Serama ini telah diadakan pada tahun 1999  bertempat di padang kawad Kem tersebut .Pertandingan ini dipelupori sendiri oleh Komander Briged Tenggara PGA pada masa itu YDH Tuan Fakrullah(kini Arwah).

Tuan Fakrullah yang berasal dari Kelantan adalah peminat tegar kepada Ayam Serama ini .Dirumahnya terdapat berpuluh puluh ekor Ayam Serama yang cantik cantik dan dijagai rapi .

Pertandingan tersebut telah menarik minat beratus ratus penyertaan dari seluruh pelusuk Tanah Air khususnya dari Negeri Pahang , Terengganu dan Kelantan .Pelbagai Hadiah menarik telah disediakan dimana hadiah utamanya adalah sebuah motorsikal Yamaha ,TV dan peti sejuk .

Saya yang pada ketika itu turut tidak mahu ketinggalan , telah mempertaruhkan seekor Ayam Serama yang saya beli di Kelantan .Bagaimana pun Ayam Serama saya ini telah gagal mendapat sebarang hadiah kerana agak pemalu dan sedikit pemalas agaknya .

Sewaktu para juri sedang membuat pemerhatian kepada Ayam Serama saya , ianya berlagak malu malu kucing dan cuba melarikan dirinya dengan cuba masuk semula kedalam sangkarnya.

Diantara kriteria utama yang dilihat bagi penyertaan ayam serama dalam sesuatu pertandingan adalah kriteria gaya, tubuh, ekor, lawi, kepala balung, kaki, warna, bulu, kepak serta gaya ketika memperagakan dirinya untuk dinilai oleh para juri .

Tidak sampai dua minit , para juri telah meninggalkan Ayam Serama saya dan beralih pula kepada Ayam Serama lainnya disebelah saya .

Itulah kali pertama dan terakhirnya saya membela seekor Ayam Serama .

Jika ada diantara para pembaca yang merupakan peminat tegar Ayam Serama ini dulu dulu atau sekarang , sila munculkan diri dan berkongsi pengalaman tuan / puan semua untuk makluman dan ilmu pengetahuan bagi generasi Y dan Z yang mungkin tidak pernah mengetahui peri ujud dan terkenalnya Ayam Serama aka Ayam Sombong pada suatu masa dahulu.