Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Sejak 26 Julai yang lalu, Kerajaan melaksanakan Operasi Lonjakan Kapasiti ataupun Operation Surge Capacity di Lembah Klang bagi mempercepatkan proses vaksinasi terutamanya ke atas populasi di WP Kuala Lumpur dan Selangor.
Alhamdulillah, berkat usaha gigih dan kerjasama yang amat baik daripada semua pihak terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), para petugas barisan hadapan keselamatan dan sukarelawan di pusat-pusat pemberian vaksin (PPV), kadar pemberian vaksin lengkap di Lembah Klang telah mencapai 64.7 peratus manakala kadar pemberian vaksin untuk dos pertama sahaja telah pun mencecah 104.2 peratus.
Rentetan daripada pencapaian ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media pada 13 Ogos 2021 menyatakan bahawa KKM kini telah menyaksikan kadar kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital bagi semua kumpulan umur mula menunjukkan penurunan.
Kita juga sudah mula melihat perkembangan awal yang positif daripada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di beberapa buah negeri iaitu di WP Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan dan negeri-negeri Lembah Klang (Selangor, WP Kuala Lumpur dan Putrajaya).
Data yang dikumpul oleh KKM menunjukkan bahawa setakat ini, kesemua negeri yang dinyatakan telah mula menunjukkan penurunan bilangan kes bagi kategori 3 hingga 5 apabila liputan dos lengkap vaksin COVID-19 bagi populasi dewasa (18 tahun dan ke atas) telah melebihi 40 peratus.
Semalam apabila buat pertama kalinya, tidak ada kes jangkitan baharu COVID-19 yang dilaporkan di WP Labuan. Sehingga 14 Ogos 2021, kadar vaksinasi lengkap di WP Labuan telah mencapai 88.1 peratus. Ini adalah satu perkembangan yang sangat baik dan diharapkan dapat dilihat berlaku di negeri-negeri lain juga, insya-Allah.
Pada masa yang sama, data daripada Crisis Preparedness Response Centre (CPRC) bagi Hospital menunjukkan situasi di Jabatan Kecemasan di Lembah Klang juga bertambah baik. Contohnya purata pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan untuk ditempatkan ke wad pesakit bagi hospital KKM di negeri-negeri Lembah Klang telah menurun.
Pada 31 Julai 2021, purata sehari pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan adalah 909 orang. Alhamdulillah, hasil perancangan rapi Kerajaan dan pelaksanaan strategi oleh KKM serta kesan vaksinasi, purata sehari pesakit yang menunggu telah menurun kepada 239 orang pada 13 Ogos 2021.
Saya amat berharap agar trend penurunan ini akan berterusan dan dapat mengurangkan beban kes COVID-19 yang serius serta kemasukan pesakit ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Walaubagaimanapun, kapasiti pesakit di ICU masih lagi penuh memandangkan rawatan pesakit di ICU adalah jauh lebih rumit dan memakan tempoh lebih panjang berbanding di wad biasa.
Dalam pada itu, usaha mempercepatkan vaksinasi juga turut ditumpukan di negeri-negeri lain yang sedang mengalami peningkatan kes. Untuk makluman, Kerajaan telah membekalkan sebanyak 2 juta dos vaksin COVID-19 kepada negeri Johor baru-baru ini dan dan akan membekalkan 1.5 juta dos vaksin kepada negeri Sabah dalam bulan Ogos ini. Setakat ini, sebanyak 44.1 peratus daripada populasi dewasa di dalam negara telah pun menerima vaksinasi lengkap manakala 72.1 peratus telah menerima suntikan dos pertama.
Semua pencapaian ini tidak mungkin dapat kita lihat pada hari ini tanpa perancangan yang rapi dan pelaksanaan strategi yang kukuh oleh Kerajaan, serta kerjasama dan sokongan yang sangat baik daripada rakyat. Saya pernah nyatakan dahulu, dan saya akan katakan sekali lagi.
Rakyat Malaysia, anda semua adalah insan yang hebat. Anda semua begitu tabah dan sabar mengharungi pandemik ini walaupun pada hakikatnya amat sukar untuk dilakukan.
Insya-Allah, data-data yang dikongsikan ini menunjukkan perkembangan yang baik. Segala usaha Kerajaan Perikatan Nasional semakin hampir dengan kejayaan dan insya-Allah kita pasti akan berjaya keluar dari cengkaman pandemik ini dengan teratur dan selamat melalui Pelan Pemulihan Negara.
Ingin saya ulangi strategi Kerajaan adalah jelas, lebih ramai yang divaksinasi dengan lengkap, lebih ramai penduduk Malaysia yang dilindungi dari jangkitan dengan teruk, lebih kurang beban kepada sistem kesihatan awam kita dan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial dapat dibuka supaya kita kembali berperingkat-peringkat ke kehidupan norma baharu.
Apa yang lebih penting, jangan sesekali kita berputus asa dengan cabaran ini dan lupa bahawa COVID-19 adalah musuh utama kita semua.
Semoga Allah SWTsentiasa memberkati perjuangan dan usaha kita bersama, insya-Allah.
Sumber:
Facebook Page Rasmi
Tan Sri Muhyiddin Yassin
Perdana Menteri Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan