Hari ini saya menerima panggilan telefon daripada TYT Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Singapura, antara lain bagi bertanya khabar dan mengetahui perkembangan saya selepas tidak lagi menjadi Perdana Menteri.
TYT Lee Hsien Loong turut merakamkan penghargaan dan terima kasih atas hubungan serta kerjasama baik yang kami sama-sama jalinkan sepanjang lebih setahun bergelar rakan sejawat, dan berdoa saya dapat terus memainkan peranan dalam aspek hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Saya menaruh keyakinan hubungan baik Malaysia-Singapura ini akan terus ditingkatkan di bawah pimpinan YAB Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri. TYT Lee Hsien Loong juga memberi jaminan langkah memperkasakan hubungan dua hala antara kedua-dua negara dalam pelbagai aspek akan terus diperkasakan.
Secara peribadi, saya amat menghargai nilai persahabatan yang ditunjukkan TYT Lee Hsien Loong, bukan sahaja kebelakangan ini, bahkan ketika kami saling mengenali lama dahulu. Masih segar diingatan pertemuan bersemuka dan bersejarah kami di tengah-tengah Tambak Johor pada Julai tahun lepas, iaitu sejurus saya menjawat jawatan Perdana Menteri, manakala beliau sendiri baru saja mengangkat sumpah bagi menyambung tugas sebagai Perdana Menteri.
Saya doakan TYT Lee Hsien Loong diberikan kesihatan dan dipermudahkan urusan mentadbir Singapura.
Sumber
Facebook Page Rasmi
YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
MANTAN PERDANA MENTERI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan