Khamis, 12 Ogos 2021

PM Muhyiddin Yassin Menghadap oleh DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor


Hari ini saya diterima menghadap oleh DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru.

Saya menjunjung setinggi-tinggi penghargaan terima kasih atas perkenan Baginda Tuanku. Pada sesi itu, saya mempersembahkan perkembangan semasa isu-isu di dalam negara untuk makluman Baginda Tuanku. 

Baginda Tuanku juga turut berkenan untuk santapan tengah hari dan mempersila saya bersama-sama untuk turut serta. 

Menjunjung kasih Tuanku.

Terdahulu, pagi tadi saya selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir menghadiri upacara Pembukaan Rasmi Bagi Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Yang Ke-14 di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.

DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim telah berkenan menyempurnakan titah pembukaan sidang yang berlangsung dalam pematuhan SOP yang ketat ini.

Antara lain, Baginda Tuanku di dalam titahnya membangkitkan kebimbangan berhubung peningkatan kes COVID-19 berikutan penularan varian-varian baharu yang lebih merbahaya dan mudah berjangkit dan merebak kepada orang lain. Baginda Tuanku juga menitahkan Yang Berhormat Speaker segera menangguhkan persidangan sekiranya penilaian kesihatan mendapati wujud risiko atau ancaman daripada pandemik ini.

Selaku ADUN, saya mengambil tanggungjawab atas titah Baginda Tuanku yang menitahkan ahli mesyuarat memberi tumpuan serta membincangkan hal berkaitan menangani COVID-19 dan pemulihan ekonomi negeri untuk kebaikan rakyat Johor, bukannya hal-hal lain berkenaan politik dan kepentingan sendiri.

Insya-Allah, atas kapasiti yang ada, saya akan pastikan titah nasihat Baginda Tuanku diberi keutamaan dan diambil tindakan sewajarnya khususnya berkaitan usaha menangani COVID-19 dan pemulihan ekonomi negeri Johor dan juga negara.

Segala titah pedoman dan titah nasihat Baginda Tuanku akan dijadikan panduan kepada saya dalam menjalankan amanah sebagai wakil rakyat. Sebagai seorang pemimpin, kita mempunyai tanggungjawab untuk membantu rakyat sedaya upaya dengan penuh keikhlasan agar kita dapat menang bersama dalam perang melawan pandemik COVID-19 ini.

Sumber:
Facebook Page Rasmi
Tan Sri Muhyiddin Yassin
Perdana Menteri Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan