Bismillahirrahmanirrahim
Hijrah menjadi agenda penting dalam strategi dakwah Rasulullah S.A.W.
Ianya merupakan simbolik utama antara situasi Islam dimartabatkan dan direndahkan dengan situasi Islam memerintah dan bermaruah.
Hijrah Rasulullah S.A.W. telah mengangkat dan mentransformasi kembali martabat Islam dengan denyut nadi kemenangan umatnya dan kekuasaan agama Allah.
Ianya merupakan nilai manifestasi hijrah yang seharusnya tercetus setiap kali sambutan tahun baru Hijrah.
Peristiwa Hijrah telah didokong padu oleh golongan Muhajirin dan Ansar seperti yang disebutkan dalam Surah Al-Hasyr ayat 8 dan 9.
Wasilah untuk mencapai kejayaan dapat dilihat dari ketelitian dan kehalusan perancangan strategi yang diatur Nabi S.A.W. untuk berhijrah.
Baginda memberi tanggapan terburuk bagi risiko yang bakal dihadapinya dan tidak meninggalkan sebarang pertimbangan untuk ruang kegagalan.
Ianya boleh diumpamakan bagaimana sebuah kapal yang teguh diketuai seorang nakhoda berkemahiran bersama anak kapalnya yang taat dan setia, belayar bersama dengan halangan, arus bergelora, angin kuat sehingga akhirnya boleh sampai ke destinasi dengan selamat.
Jelaslah bagaimana strategi Baginda S.A.W. menjaga kerahsiaan, hanya memberi maklumat kepada mereka yang dipercayai sahaja. Ini pula dibantu oleh daya usaha Syaidina Abu Bakar R.A. dengan bantuan keluarga dan orang bawahannya.
Iktibarnya, inilah juga nilai manifestasi Hijrah yang diagendakan oleh parti UMNO sehingga mencapai kejayaan, kemajuan kepada agama, bangsa dan negara selama berdekad sejak dulu, kini dan selamanya.
Sebagai sebuah negara Islam progresif dan moderat, ianya perlu dinaungi oleh parti atau organisasi yang kuat, mempunyai pemimpin bermaruah, sentiasa mendahulukan rakyat dan mengutamakan Maqasid Syariah dalam tadbir urus negara.
Ianya memerlukan kuasa politik atau daulah siasah yang stabil, sentiasa mempertahankan keluhuran undang-undang berasaskan Raja Berperlembagaan.
Ambillah iktibar dari strategi dakwah Rasulullah S.A.W. dalam peristiwa Hijrah ini, terutamanya dalam menghadapi krisis pandemik Covid-19, krisis ekonomi dan krisis politik ketika ini.
Marilah bekerjasama memastikan negara kita maju ke hadapan, menguatkan perpaduan dan persaudaraan antara semua kaum dan agama.
Selamat Menyambut Maal Hijrah 1443 kepada semua umat Islam di negara ini.
Sumber:
Facebook Page Rasmi
Dato Seri Najib bin Tun Abdul Razak
Mantan Perdana Menteri Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan