Hari ini saya singgah di Kompleks Penghulu Mukim Sungai Raya untuk menyampaikan sumbangan makanan basah dan Bakul Prihatin Negara kepada 50 penghulu kampung di sekitar Pagoh dan Muar, Johor.
Sebanyak 1,000 bakul disediakan untuk diedarkan oleh para penghulu bersama-sama sukarelawan Skuad Prihatin Negara kepada masyarakat setempat, di samping barangan basah seperti sayuran, ikan dan ayam segar.
Bakul Prihatin Negara adalah program nasional yang telah digerakkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama sektor korporat baru-baru ini, sebagai nilai tambah kepada program Bantuan Bakul Makanan yang telah dilaksanakan sejak pandemik COVID-19 melanda. Ia bertujuan membantu mereka yang terkesan tanpa mengira batas kaum dan fahaman politik.
Justeru, saya nasihatkan mereka yang tertinggal daripada senarai penerima supaya segera menghubungi pemimpin masyarakat atau wakil rakyat masing-masing. Insya-Allah kita akan pastikan bantuan dihantar secepat mungkin.
Di bawah Pakej Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) sahaja sebanyak 500,000 Bakul Makanan telah diedarkan melibatkan peruntukan sebanyak RM50 juta.
Tidak cukup dengan itu pada 1 Julai lalu, di bawah Pelan Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), sejumlah RM66.6 juta diperuntukkan untuk Bantuan Bakul Makanan dengan kadar RM300,000 setiap ahli Parlimen, tanpa mengira parti kerajaan atau pembangkang.
Di bawah Bakul Prihatin Negara yang baru digerakkan 15 Julai lalu pula, lebih 60,000 bakul telah diedarkan yang memberi manfaat kepada lebih 200,000 isi rumah di seluruh negara.
Hasrat Kerajaan tidak lain adalah untuk menolong rakyat yang terkesan akibat pandemik, justeru marilah kita bersama-sama berusaha memulihkan negara, di samping berdoa ke hadrat Allah SWT agar kita semua dan tanah air yang kita cintai ini dilindungi hendaknya.
#KerajaanPrihatin
#MenangBersama
#BakulPrihatinNegara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan