Rabu, 23 Jun 2021

BEKALAN ELEKTRIK DIKAMPUNG ERA SEBELUM DAN SELEPAS .


..Sebelum tahun 1963 , Kampung Lubuk Merbau Kuala Kangsar masih belum lagi menerima bekalan tenaga elektrik .Suasana gelap dan suram menyelubungi setiap dari rumah penduduk kampung dimalam hari .  Penduduk masih menggunakan pelita tanah untuk memberikan sedikit cahaya , dan bagi mereka  yang lebih berkemampuan akan menggunakan lampu gasoline untuk menerangi persekitaran didalam maupun diluar rumah mereka .Ada juga diantara penduduk yang menggunakan pelita kabait untuk tujuan tersebut .

Kehidupan tatkala itu amat daif dan sederhana dengan segala pergerakan serta kegiatan diwaktu malam harinya agak terbatas . Jika diwaktu siang harinya penduduk penduduk kampung sebuk berusaha mencari razeki untuk menyara kehidupan , pada waktu malam harinya pula adalah waktu untuk mereka berihat .Pada ketika itu , pelbagai jenis pekerjaan dilakukan untuk menampung penghidupan seharian . Ada yang menoreh getah , ada yang bertani dengan cara mengerjakan sawah padi dan ada yang menternak haiwan peliharaan seperti kambing , kerbau dan lembu .Terdapat juga diantara  penduduk kampung yang masuk kehutan bagi mencari hasil hasil hutan untuk dijual .

Waktu malamnya , jika mereka berkumpul , mereka hanya akan berkumpul di surau surau dan masjid .Berjalan diwaktu malam dengan bertemankan cahaya dari pelita tanah . Selepas makan malam tiada lagi aktiviti sampingan  yang dilakukan oleh mereka .Keadaan dikampung pada ketika itu gelap , hening dan sunyi sepi telah mendorong semua keluarga berada dirumah masing masing . Bersiap sedia untuk tidur bagi merihatkan diri serta melepaskan lelah disiang harinya tadi .

Apabila tiadanya bekalan elektrik , bermakna tiada juga alat alat kelengkapan elektrik dirumah rumah mereka .Tiada peti television untuk dituntun , tiada radio untuk didengari dan tiadanya peti ais untuk menyimpan bahan bahan makanan . Pendekkata kehidupan pada ketika itu amat sederhana dan rengkas . Apa yang amat penting pada ketika itu adalah tenaga kudrat untuk melaksanakan kerja kerja seharian demi kelangsungan hidup .

Walaupun diwaktu malamnya gelap dan sunyi sepi , amat jarang sekali kita mendengar berlakunya kes kes jenayah kecurian ataupun kes pecah rumah pada ketika itu .Justeru itu hampir keseluruhannya penduduk kampung boleh melelapkan mata dengan perasaan tenteram tanpa adanya kerisauan akan berlakunya sebarang kes kes jenayah tersebut .

Bekalan elektrik telah mula sampai dikampung saya pada pertengahan tahun 1963 .Seingat saya , pada peringkat awalnya , sekumpulan pekerja dari Kinta Electrical Distribution(KED) telah beberapa kali memasuki kampung untuk membuat bancian dan plan laluan bagi membolehkan tiang tiang elektrik didirikan .Pada masa tersebut , tiang tiang elektrik hanya diperbuat dari kayu sahaja .

Bekalan elektrik yang sampai dikampung saya , adalah berpunca dari sebuah empangan hidroelektrik dan sebuah stesen kuasa hidroelektrik yang telah dibina di Cenderoh , Kuala Kangsar pada tahun 1930 .

Empangan ini pada awalnya dibina bagi tujuan memudahkan industri perlombongan bijih timah di Lembah Kinta . Pembenaan empangan ini juga dibuat berikutan dari banjir besar pada tahun 1897 dan tahun 1926 di Sungai Perak . Empangan Chenderoh ini adalah empangan dan stesen kuasa hidroelektrik yang tertua di Malaysia. Kesemua kerja kerja pembenaan empangan ini telah dijalankan oleh syarikat "The Perak River Hydro-Electric Power Company Limited" . (PRHEP).

Empangan ini pada masa tersebut mampu menakung sebanyak 50 juta gelen air dan membentuk sebuah tasik buatan manusia seluas 16 km persegi. Oleh kerana kawasan konsesinya luas, PRHEP mengambil inisiatif dengan menubuhkan sebuah anak syarikat iaitu Kinta Electrical Distribution (KED) pada tahun 1928.

Penyambungan bekalan elektrik dikampung saya oleh pihak KED pada masa itu telah membawakan banyak perubahan terutamanya kehidupan diwaktu malam penduduk kampung .Jika sebelum ini setiap malam akan berlalu dengan kelam dan sepi , tetapi kini setiap rumah dikampung telah diterangi oleh cahaya elektrik .Jalan jalan dikampung yang juga selama ini gelap gelita telah turut dilempahi dengan cahaya .

Keadaan di Pekan Lubuk Merbau sudah tidak lagi sama dengan keadaan sebelumnya . Keadaan pekan yang telah terang benderang itu telah menyebabkan ramai diantara penduduk kampung menjalankan aktiviti diwaktu malam .Aktiviti sosial telah dihidupkan  termasuk aktiviti aktiviti sukan seperti bermain badminton .Dewan orang ramai Lubuk Merbau yang selama ini terbiar sepi diwaktu malam telah dihidupkan dengan pelbagai kegiatan kemasyarakatan termasuk juga persembahan persembahan kebudayaan dan juga  pementasan bangsawan .

Peti Television telah mula diperkenalkan di negara kita pada tahun 1963 dengan  penggunaan sistem analog hitam putih pada peringkat awalnya . Untuk menghidupkan suasana pada malam hari sebuah peti TV hitam putih telah diletakkan didewan orang ramai Lubuk Merbau untuk tuntunan umum , dengan dikenakan sedikit bayaran sudah semestinya . 

Walaupun tiada banyak saluran dan rancangan TV yang ada pada masa itu , tetapi kehadiran sebuah TV didewan orang ramai itu sudah cukup mengujakan penduduk kampung . Ada ketikanya rancangan "Warta Berita " didalam bahasa Tamil yang tidak difahami turut dituntun oleh orang ramai , termasuk saya yang tidak terkecuali .

Pada malam malam tayangan gambar Melayu , orang ramai berkumpul seolah berpesta . Selain dari tayangan gambar , rancangan gusti dan perlawanan bola sepak tidak ketinggalan menjadi daya penarik kepada orang orang kampung .

Selain dari dewan orang ramai , beberapa orang penduduk kampung yang berkemampuan telah turut membeli peti TV hitam putih ini untuk tuntunan keluarga dan jiran jiran mereka . Yang saya ingat antara penduduk kampung terawal yang telah mampu membeli sebuah peti TV ketika itu adalah En Yusuf Dajwi @ Pak Wi dan Cikgu Amri .

Rumah rumah mereka turut menjadi tumpuan kepada penduduk sekitar untuk menuntun rancangan TV pada masa masa tertentu , khususnya ketika tayangan gambar Melayu .

Disamping peti Television , secara beransur pelbagai lagi peralatan elektrik telah diperkenalkan .Antaranya yang terawal adalah peti ais dan radio transistor dan kemudiannya diikuti oleh pelbagai lagi peralatan peranti elektronik moden.Seiring dengan itu , kehidupan penduduk kampung telah bertambah sempurna dan moden .Lebih ramai yang telah mampu membeli pelbagai peralatan elektrik untuk kegunaan seharian dirumah mereka .

Peti TV hitam putih yang pertama dirumah saya adalah dari jenis Philips pada tahun 1972  .Sebuah peti TV hitam putih terpakai yang telah diberikan oleh abang ipar .Peti TV itu walaupun kadangkala menimbulkan masalah dari segi siarannya , tetapi telah tetap mampu memberikan ilmu pengetahuan dan hiburan kepada keluarga saya sehinggalah pada tahun 1982 .Pada tahun 1982 tersebut yang juga merupakan tahun pelancaran TV bewarna keseluruh pelusuk tanah air ,  saya yang ketika itu telah bekerja telah membelikan sebuah peti TV Nasional 20" bewarna untuk tuntunan ahli keluarga saya .

Sesungguhnya kehadiran bekalan elektrik dikampung saya pada tahun 1963 telah membawa banyak kemajuan kepada penduduk dikampung saya .Anak anak tidak lagi perlu berjelaga hitam dihidung untuk mentelaah buku dengan ditemani oleh pelita minyak tanah . Suri rumah kini telah lebih selesa membuat kerja kerja rumah termasuk memasak didapur .Ketua keluarga kini boleh menarik nafas lega dibawah putaran kipas angin atau hembusan nyaman dari penghawa dingin . Dan yang lebih pentingnya , penduduk kampung telah dapat bersama menikmati arus permodenan selaras dengan apa yang dinikmati oleh warga lain dinegara kita Malaysia .

Akhirnya ada dua persoalan ingin saya lontarkan .

Pertamanya .Apakah perasaan dan tindakan kita jika ditakdirkan ditempat kita telah terputus bekalan elektrik selama beberapa hari .

Kedua.Masih adakah anak anak kita yang mengenali pelita tanah , pelita gasoline atau pelita kabait pada masa kini .
Masih kenalkah anak anak kita dengan minyak tanah @ gas yang amat penting kepada kita generasi lama seperti saya dan tuan puan yang sewaktu dengan saya .

Sumber :
Facebook Group Page
Sejahtera Malaysiaku Dulu - Dulu Official

Tiada ulasan:

Catat Ulasan