Selasa, 15 Jun 2021

SELUAR HARAM JADAH


Episod 2

“Uncle…..kaki mau 25” belakang poket Batman, pinggang ada hook (cinch), kaki mau lipat.” Perincian rapi diberikan Buntat kepada Uncle Chong Chit, tukang jahit paling top di Perlis. Bazar Lama depan Tokong & Kelab Hokkien.

“Boleh boleh….mau bikin apa pun boleh.” Balas Chong Chit sambil menggentel bulu roma tahi lalatnya yang sepanjang 2 inci di pipi. Sesekali ditiup rambut beliau yang menutupi mata. Sengaja dibiarkan panjang. Menutup ‘bulan’ di tengah kepala. Berbaju singlet jenama Pagoda dan seluar pendek khakis. Itulah baju korporat kedai Chong Chit. Ya….imej Chong Chit saling tak tumpah Pendekar Kung Fu Katak, Kung Fu Hustle.

Chong Chit, Tukang Jahit Kangar & Joseph Tailor adalah tukang jahit terkemuka di Kangar sebelum kemunculan OZ HOMME SDN BHD memecah monopoli dengan rekaan yang lebih moden dan menepati jiwa remaja. 

Seluar sekolah tempah sudah menjadi kewajipan. Andai memakai seluar yang dibeli di KK Department mahupun Looking Good pastinya menjadi celaan di sekolah. Dipadankan pula dengan baju kemeja lengan panjang kain licin dan oversized, jam Boy London bertukar warna hijau, kasut Penguin atau Pallas Slip On yang disapu kapur campuran Nila Ujala. 

Jenama Penguin lebih menjadi pilihan kerana harganya lebih murah. Cuma RM7 sepasang. Kegemilangan fesyen paling top awal 90an hinggalah kemunculan ‘Seluar Haram Jadah.’ Rambut pula belah tengah. Tersimpan beberapa urat yang panjang hingga ke dagu. Tersembunyi rapi dengan sapuan Tancho. 

Buntat muncul di depan Koperasi sekolah. Port melepak rakan-rakan sebaya di tangga Kelas BAKA, menantikan awek cun melintas. Gaya berjalan Buntat persis model. Dikibas-kibas kaki seluar 25 inci yang ditempah di kedai Chong Chit. Riak wajahnya penuh bangga. Dia sudah memecahkan rekod sekolah. Dia kini pelajar yang memiliki seluar sekolah dengan bukaan kaki paling besar, 25 inci!!! 

Tahun 1996 meniti kemuncaknya. Fesyen Mat Tiarap berleluasa. Seluar slack straight cut warna hijau pucuk pisang mula menjadi buruan. Habis Biasiswa Kecil Persekutuan dikeluarkan dengan alasan membeli baju dan seluar sekolah yang baru. 

Namun, fesyen gelebeh seluar straight cut yang sudah 3 tahun mendominasi tiba-tiba mula pudar. Daripada scene Skateboard, secara tiba-tiba Alien Workshop muncul menjadi tarikan baru ketika hujung tahun 1996. Dengan design cawat & poket labuh, ia mula menjadi kegilaan remaja, hinggakan mendominasi kedai-kedai pakaian di Padang Besar. Harganya cuma RM20. Minta kurang dapat RM15. Boleh dipakai dengan riak takbur, acah-acah barang original. Kecoh sekampung anak Mail Kuda ada seluar Alien Workshop. 

Bersambung….

* Watak Buntat tiada dlm gambar.

Sumber :
Facebook Group Page
Malaysiaku Dulu - Dulu Official

Tiada ulasan:

Catat Ulasan