Sabtu, 5 Jun 2021

Kereta Api koc Kelas 3 KTM pada tahun 1960an - 1990an


Siapa ada pengalaman menaiki keretapi mel malam atau koc Kelas 3 KTM pada tahun 1960an - 1990an? Biasanya saya dan family akan menempah koc Kelas 2 dengan tempat tidur kalau kami berkunjung ke Kuala Lumpur atau Pulau Pinang dari Singapura. Bila berpindah ke Malaysia keluarga saya tetap memilih koc kelas 2 dengan tempat tidur untuk perjalanan jauh samada ke JB/Singapura atau Butterworth. Tapi ada satu tahun saya dan seorang teman membuat "last minute plan" untuk bercuti di Pulau Pinang ketika cuti perayaan Deepavali. Kami cuba menempah tiket koc Kelas 2 bersama tempat tidur. Malangnya semua tiket
Kelas 1, Kelas 2 dengan tempat tidur dan Kelas 2 tempat duduk sahaja telah habis dijual. Kami tidak ada pilihan melainkan membeli tiket Kelas 3. Maka bermula episod perjalanan dengan keretapi paling menarik yang pernah saya alami. 

Walaupun merasa sedikit tidak selesa tapi kami dapat berkenalan dengan ramai para penumpang. Gelagat para penumpang di Kelas 3 cukup menghiburkan. Ada yang bermain guitar sambil menyanyi. Ada seorang kakak menggantung buaian untuk anaknya. Ada yang tidur di atas lantai koc. Ada yang kerap kali menghisap rokok. Bermacam-macam gelagat! Suasana tambah seronok bila keretapi berhenti sebentar di stesen untuk mengambil penumpang. Para penjaja makanan akan menaiki koc untuk menjaja jualan mereka. "Kopi panas! Mee hoon goreng! Karipap panas!" Untuk dilaungkan oleh para penjaja untuk menarik perhatian para penumpang agar membeli bahan jualan mereka. 

Namun suasana demikian tidak ujud lagi dengan bermulanya perkhidmatan ETS iaitu keretapi elektrik pantas yang membawa penumpang dari KL-Butterworth-Padang Besar dan KL-Gemas. Melalui maklumat yang saya dapati, keretapi penumpang yang menggunakan enjin kuasa diesel masih lagi beroperasi bagi perjalanan dari JB-Gemas-Tumpat. Saya kurang pasti sama ada sektor perjalanan ini masih membenarkan para penjaja yang menaiki keretapi dari stesen-stesen untuk menjual bahan makanan dalam keretapi.

Sumber:
Facebook Group
Malaysiaku Dulu-Dulu Official

Tiada ulasan:

Catat Ulasan