Sabtu, 12 Jun 2021

SUNGAI CHEMPIAS .


..Kecuali anak bandar , kebanyakkan dari kita anak anak kampung dahulu , pastinya amat biasa dengan satu aliran air yang terdapat dikampung kampung kita untuk kegunaan seharian seperti bermandi manda , untuk diminum dan juga membasuh kain kain baju .

Aliran air ini jika agak sedikit besar dinamakan sungai , kecil sedikit dinamakan parit dan lebih kecil dinamakan alur .Aliran air tersebut amat besar manafaatnya kepada kita semua pada waktu itu , tidak kiralah samada airnya mengalir deras  maupun mengalir lesu .

Bagi Warga kampung saya dan kawasan sekitarnya , nama Sungai Chempias bukanlah satu nama yang asing .

Sungai yang tanpa hentinya mengalir dan telah sekian lama menabur bakti kepada penduduk kampung ini bermula dari anak anak sungai di celah celah kawasan gunung berbatu didalam lengkungan Banjaran Bintang dan Gunung Changkat Ponggeng sebelum ianya menyatu dan membentuk air terjun Batu Hampar di Kampung Paya Lintah , berhampiran Kampung Laneh .

Sungai ini bermula di Kampung Paya Lintah , Padang Rengas dan berakhir di Kampung Kota Lama Kiri di Kuala Kangsar . Sepanjang alirannya sejauh lebih kurang dua puluh lima km ,  sungai ini telah merentas beberapa buah kampung termasuklah Kampung  Laneh , Labu Kubung , Lubuk Merbau , Tanah Merah dan seterusnya kampung kampung didalam Mukim Kota Lama Kiri sebelum ianya bercantum dengan Sungai Perak .

Sungai Chempias yang terdapat pada hari ini , bukanlah sama keadaannya dizaman dahulu khususnya dalam tempuh seratus dua ratus tahun dahulu .

Didalam era abad ke 19 , Sungai Chempias dikatakan mempunyai dasar yang dalam dan mampu menampung tongkang yang sederhana besar berulang alik diantara muara di Sungai Perak dengan kawasan kawasan dipendalaman untuk membawa keluar hasil hasil hutan .Manakala untuk kayu kayu balak yang telah ditebang akan dibiarkan hanyut terapung sehingga sampai ke lokasi yang ditetapkan sebelum ianya diikat ditebing sungai .

Menurut cerita yang diturunkan secara lisan dari mulut kemulut , Kampung Lubok Merbau  dipercayai telah diterokai sejak awal 1800-an lagi . Ianya bermula dengan perpindahan sebahagian penduduk  dari kampung-kampung ditepi tebing Sungai Perak yang telah menyusur Sungai Chempias dengan menaiki tongkang untuk mencari penempatan baru bagi menggantikan penempatan lama mereka yang kerap dilanda banjir .
Penempatan awal mereka adalah di Kampung Lubuk Merbau Tua sebelum sebahagian besar dari mereka berhijrah pula untuk membentuk perkampungan baru di Kampung Lubuk Merbau .Kebanyakkan mereka ini adalah 'Immigrant' yang berasal dari Wilayah Bukit Tinggi , Sumatra dan telah berhijrah beramai ramai ke Tanah Melayu untuk memulakan penghidupan baru .

Ditahun 1960 an dan 1970 an , Sungai Chempias merupakan sumber air utama kepada penduduk kampung disekitarnya .Dengan airnya yang jernih , penduduk kampung telah menjadikan air sungai ini sebagai sumber air minuman dan masakan seharian .Bagitu juga untuk tujuan mandi manda dan membersihkan diri , selain dari telaga , Sungai Chempias adalah tempatnya yang ditujui .

Pada ketika itu , terdapat banyak ikan termasuk udang didalam sungai ini .Ikan ikan seperti ikan haruan , ikan keli , ikan baung , sebarau amat mudah didapati samada dengan cara memancing , menahan bubu atau menjala .
Terdapat banyak lubuk lubuk yang dalam yang menjadi tempat habitat ikan ikan tersebut .

Bagi kebanyakkan penduduk kampung , kebiasaannya mereka akan menggunakan pancing atau taut untuk mendapatkan ikan ikan itu .Manakala sebahagian kecilnya yang lebih berpengalaman akan menyelam sambil menjala dilubuk lubuk tersebut .

Manakala jika disebelah malamnya pula , dengan berbekalkan lampu suluh dan parang , dengan istilahnya 'menyuluh' orang orang kampung juga akan mampu mendapatkan ikan dengan banyaknya dengan cara menyuluh Bagaimanapun hasil tangkapan adalah turut bergantung kepada kerajinan dan jauhnya kita pergi menyuluh .

Bagitu juga dengan udang galah ..pada masa tersebut masih banyak kedapatan udang galah didalam Sungai Chempias .Hal ini mungkin agak sukar dipercayai oleh generasi baru ,tetapi itulah hakikatnya .Dengan hanya menyeluk dibawah kayu kayu terbiar dan lubang lubang kayu didalam sungai tersebut , kita akan mampu untuk mendapatkan beberapa ekor udang galah didalam saiz yang agak besar .

Salah satu cara lagi yang kerap digunakan oleh penduduk kampung khususnya dari kalangan kanak kanak dan remaja adalah menggunakan daun daun kayu ,daun pokok Pisang atau daun pokok Pinang yang telah diikat dan diletakkan didalam air berhampiran dengan tebing .

Apabila dibiarkan rumpunan daun daun kayu tersebut beberapa hari didalam air , ianya akan berupaya menarik minat ikan atau udang untuk  berkumpul disitu dan akan dijadikan sebagai habitat baru .

Setelah yakin bahawa telah terdapatnya ikan atau udang didalam rumpunan itu , ianya kemudian akan ditarik secara perlahan lahan dan kebiasaannya akan ada lagu dinyanyikan sekali ..lagunya saya telah lupa , tetapi lagu tersebut bertujuan agar ikan ikan yang berada didalam rumpunan daun daun tersebut tidak akan lari semasa proses penarikan bermula.

Rumpunan daun  atau namanya ' Umbun' kalau tidak silap saya itu akan ditarik kekawasĂ n berpasir dan dari situ hasilnya akan dilihat .Kebiasaannya terdapat banyak ikan dan udang didalam rumpunan daun daun tersebut .

Pada akhir tahun 1970 an , dengan bertambahnya penggunaan racun racun rumpai disawah padi , pihak pihak yang tidak bertanggung jawab telah menyalahgunakan racun rumpai tersebut khususnya racun cap tengkorak untuk menuba ikan ikan di Sungai Chempias .

Pada ketika itu , kita akan turut merasa sedih apabila melihat ikan ini terapung mati didalam sungai disebabkan perasaan sikap tamak haloba manusia .Penggunaan racun ini untuk menuba ikan telah berterusan sehinggalah  racun ' Endosulfan' ini telah diharamkan penggunaannya oleh pihak berkuasa pada tahun 2005 .

Oleh kerana penggunaan racun yang berterusan sejak sekian lamanya itu sebagai bahan untuk menuba ,  telah menyebabkan semua kehidupan termasuk udang dan ikan telah pupus di Sungai Chempias .

Bagaimanapun , sejak pengharaman racun 'Enfosulfan ' itu , kehidupan ikan ikan dan udang telah mula dikesan semula di Sungai Chempias , walaupun jumlahnya tidak lagi sama seperti dulu dulu .

Terdapat dua buah empangan kecil telah di bena di Sungai Chempias bagi Mukim Lubuk Merbau iaitu di Kampung Labu Kubung dan Kampung Tanah Merah .

Empangan ini diadakan bagi tujuan mengawal dan menyalurkan sebahagian air dari Sungai Chempias untuk kegunaan pesawah padi .Dengan itu , air telah dapat disalurkan kesawah padi mengikut jadualnya dan telah banyak membantu para petani didalam mengerjakan tanah sawah mereka .

Tahun 1970 an dahulu , terdapat ramai juga orang orang luar selain dari penduduk tempatan yang mendulang bijih didalam Sungai Chempias ini . Bagaimanapun aktiviti ini tidak lagi diketahui samada masih berjalan ataupun telah tiada kini .

Sesungguhnya , Sungai Chempias terlalu besar jasanya kepada penduduk penduduk setempat dimasa masa yang lalu .

Saya percaya , ramai daripada kita membesar bersama Sungai Chempias ini atau lain lain sungai dikampung kita dahulu .

Paling paling tidak pun pernah mandi disungai ini pada ketika hendak pergi ataupun pulang dari sekolah .Mandi disungai dengan airnya yang jernih adalah satu kepuasan sejati kepada orang orang kampung seperti saya .
Sumber :
Facebook Group Page
Sejahtera Malaysiaku Dulu - Dulu Official

Tiada ulasan:

Catat Ulasan