Sabtu, 12 Jun 2021

SAYA, KAK LONG & ZA 1970


Ini gambar saya dengan kak long dan adik saya Za. Gambar tahun 1970. Saya sempuras lagi, baru berusia 3 tahun. Za setahun manakala Kak Long pula 10 tahun.

Adik saya Za sihat walafiat lagi waktu itu tetapi dua tahun kemudian dia jatuh sakit. Tak tahu sakit apa. Rata - rata berubat. 

Lama juga dia terlantar sakit. Semasa sakit dia meracau-racau, "Mak, nak gi kat mak!" katanya. "Ni mak lah ni. Za duk atas riba mak dah ni." balas emak, "Tak! Bukan! Mak kita duduk kubur!" katanya. Apalagi, kami semuapun pakat menangis belaka.

Pada masa yang lain Za minta kain selimut. Emakpun selimutkan Za dengan kain selimut. "Tak nak! Nak selimut dengan kain putih!" Emak pun peluk Za erat-erat. Kata-kata itu sungguh meruntun pilu. Emak ingat dia akan kehilangan Za sepertimana dia telah kehilangan dua lagi anaknya Arwah Jamilah dan Arwah Noraini yakni kakak saya ketika masih usia bayi.

Alhamdulillah setelah berubat ke sana-sini, klinik hospital dan rawatan tradisional akhirnya adik saya Za itu kembali sihat. Che saya berniat jika Za sihat dia akan mandikan Za dengan air kolah Masid Putih.

Bila Za sudah sihat, chepun bawalah Za ke Masjid Putih (Masjid Abidin) Kuala Terengganu untuk menunaikan hajat tersebut. Jauh juga masjid tu dari kampung saya, lebih kurang 60 batu. Lama juga baru sampai maklumlah ikut jalan lama. Jambatan Sultan Mahmud pun belum dibina lagi. 

Za yang nama penuhnya Zaharah adalah adik saya yang paling rapat. Ini kerana perbezaan usia kami hanyalah dua tahun. Dia kenal semua kawan saya dan saya tahu semua kawannya. 

Keakraban kami menjadi contoh sebagai 'adik-beradik hok tak rajin berbalah' oleh jiran-jiran kami. Ya, kami tidak pernah bergaduh tetapi dia selalu menjadi mangsa saya yang suka menyakat. Haha. 

Tahun 1982 Za terpilih ke MRSMKT sedangkan saya bersekolah kampung sahaja. Kami sering berutus-utus surat kerana itu sahajalah medium perhubungan yang kami ada. Sebulan sekali dia akan balik ke rumah menaiki bas kompeni yang akan lalu di hadapan rumah. 

Sekarang Za ini telahpun  kembali ke rahmatullah pada malam Jumaat 27 Januari 2012 dalam usia 43 tahun kerana ketumbuhan dalam kepala. Sungguh kehilangannya sangat dirasai sehingga kini. Al-Fatihah buat adikku Zaharah binti Dollah (9 Meii 1969 - 27 Januari 2012). 

Kak Long sekarang telah berusia 61 tahun. Masih sihat walafiat. Saya pula telah menjadi seorang pesara sambil membilang usia yang masih bersisa sebelum berpulang menurut jejak mereka yang telah pergi.

Sumber :
Facebook Group Page
Sejahtera Malaysiaku Dulu - Dulu Official

Tiada ulasan:

Catat Ulasan