Isnin, 31 Mei 2021

BUKIT KAMAL MENJERIT VIII

(Semua cerita aku ini berdasarkan kisah benar yang berlaku pada diri aku sendiri, atau kawan-kawan rapat terdekat. Ia berlaku sekitar 1980 hingga 1993. Latar kejadian berbeza, di darat dan di laut, semasa bertugas sebagai anggota LLP di TLDM. Olahan, plot, penceritaan aku susun supaya menimbulkan suasana. Mohon sokongan)

Kehilangan Nirwan menimbulkan pertanyaan di kalangan kami. Awasan rehat akan berakhir tengah malam ini, dan esok semua rekrut dikehendaki ada untuk memulakan hari baru. Tidak hadir bermakna absent. Absent ialah perkara paling buruk terhadap prestarsi rekrut di peringkat awal ini. Ia tidak boleh terjadi kepada kami. Jurulatih kami tahu tentang kehilangan Nirwan dan tidak ada bukti-bukti untuk membuat  penjejakan. Rakan-rakan dormetrinya juga tidak tahu ke mana Nirwan menghilang. Pengawal pintu 1 dan pintu 3 juga tidak mempunyai rekod bahawa Nirwan keluar meninggalkan pangkalan. Ini bermakna Nirwan masih berada dalam pangkalan dan bersembunyi entah di mana.

Maghrib itu kami solat ramai-ramai. Mat Yus diangkat jadi imam lagi. Dagu pun sama, jadi bilal. Suara Dagu sayu semasa mengalunkan azan.

“Kita cari Nirwan kat bukit tu?” Mat Yus memberi cadangan. Kami berpandangan sama sendiri. Bukan mudah dan bukan senang nak cari Nirwan kat Bukit Kamal tu, malam-malam begini. Macam-macam kemungkinan boleh terjadi. Bahaya dan tak masuk akal jika pencarian hanya melibatkan kami yang belum mahir dan tahu apa-apa pun tentang bukit misteri dan berhantu tu.

“Kita mintak dengan GI. Kalau dia bagi, kita pakat naik. Kalau dia tak bagi, kita pakat berserah, tunggu Nirwan balik.” Kata Raja.  Aku sebenarnya setuju kami pakat cari di bukit tu, tetapi seperti mengundang malapetaka pulak kerana kami hanya beberapa hari mengenal bukit itu dari kejauhan. Di kalangan kami tidak ada seorang pun yang pernah ditugaskan menjadi sentry ke atas bukit.

Bagaimanapun, selepas itu,  kami berjumpa jurulatih meminta nasihat. GI Kamaruddin, jurulatih bertugas malam itu terkejut dengan cadangan kami. Dia kemudian menghubungi pegawai lain sebelum memberi kebenaran supaya kami melalkukan rondaan ke kaki Bukit Kamal untuk menjejak Nirwan. Aku menawarkan diri untuk berada dalam kumpulan yang akan naik ke bukit itu bersama-sama 4 orang rakan yang lain.  Dagu dalam kumpulan kami. Mat Yus, Yoyo dalam kumpulan lain. Tak pasti samada Shaari masuk kumpulan mana. Jumlah kami sekitar 15 orang sahaja. Hanya kumpulan kami saja yang akan menaiki Bukit Kamal sementara kumpulan lain bertebaran di tempat-tempat lain menjejak Nirwan.

Kami berpecah. Oleh kerana kumpulan kami dikira sebagai kumpulan paling penting, setiap orang diantara kami membawa lampu suluh. Dalam suasana malam yang semakin mengingsut dan sejuk yang mula mencengkam, kami berjalan meredah malam, perlahan-lahan mendekati Bukit Kamal.

Tiba di kaki bukit, Dagu tadah tangan, baca doa. Semua orang mengaminkan. Itulah kali pertama kami semua akan mendaki bukit misteri ini. Aku tak tahu orang lain, tapi dada aku gementar. Waktu ketika itu menghampiri pukul 10 malam ketika kami melangkah dan mula mencari laluan untuk mendaki. Seketika sahaja selepas itu, lampu blok kediaman kami dipadamkan dan suasana sekeliling menjadi kelam dan gelap gelita.

Hutan belukar menaiki Bukit Kamal tidaklah setebal mana pun. Pokok-pokok renek di kiri kanan dan hanya ada beberapa pokok sebesar  yang hanya sebenar paha menghalang pendakian. Lampu suluh kami bertebaran ke kiri dan kanan termasuk ke batang pokok dan ranting-rantingnya. Kami berjalan,  memanggil nama Nirwan secara perlahan, selebihnya kami berselawat, membaca ayat-ayat alquran yang mudah dan azan, juga secara perlahan.

Barangkali kerana kami berada di dalam hutan, suasana menjadi sejuk dan bertukar menjadi seram pula. Bunyi cengkerik berbalas-balas nyaring. Kadang ianya terlalu hampir dengan laluan perjalanan itu. Seekor dua belalang beterbangan apabila tempat mereka diganggu.

Kira-kira setengah jam meredah beluar, kami mula mendengar suara aneh berhampiraan kami. Suara orang bercakap, kemudian mengilai, menangis dan menjerit lemah. Semua berbaur dan bercampur. Kami terhenti. Lampu suluh kami halakan ke sekeliling, bersimpang siur, ke tempat datangnya suara. Memang tidak ada kelibat manusia pun di sekitar, tapi suara semakin jelas dan dekat. Dan kemudian suara-suara yang meremangkan bulu roma itu mengelilingi kami. Suara mengilai yang semakin jelas mengepung kami berlima. Hilaian semakin kuat, dan kuat seperti menjerit dan membingit betul-betul di sebelah cuping telinga kami.

‘Allahuakbar!!! Allahuakbar!!!” laung kami beramai-ramai.

Serentak itu juga kedengaran seseorang melaungkan azan dengan kuat. Suasana panik menyelubungi. Angin bertiup kencang tiba-tiba. Pokok kayu bergoyang ke kiri dan kanan, bersahutan dengan suara azan. Suara mengilai semakin menggila. Benar-benar menggila, mengelilingi kami dari semua arah. Dalam kegelapan yang hanya diterangi lampu suluh itu  sebatang dahan yang entah dari mana datangnya melayang dan mengena belakang salah seorang antara kami. Lazim terjatuh. Dahan kayu itu tidak sebesar mana pun, tetapi Lazim meronta-ronta. Dia menjeriit dan berguling-guling. Kami melihat Lazim tidak kesakitan pun tetapi Lazim kini telah dirasuk oleh makhluk lain.

Kami menerpa Lazim yang berguling, menendang, meronta, menjerit dan melolong. Jeritan Lazim bergema dalam hutan. Suara mengilai dari semua arah berterusan tanpa henti. Kami terus melaungkan azan, membaca dan terus membaca ayat-ayat suci yang mudah. Lazim menggelupur seperti disembelih. Lehernya membesar, membengkak dan suaranya Lazim bertukar garau. Mata Lazim liar, menakutkan.

“Pergiiii! Jangan ganggu tempat aku!!!!” Jerit Lazim.

“Pergiiiiiii!!!” Jerit Lazim lagi, berkali-kali. Kakinya menendang angin. Kami tekan kepala, tangan, paha Lazim supaya dia tak bergerak. Lazim masih kuat menendang. Seorang yang duduk di sebelah kaki kena tendang dan terperosok ke belakang.

Pasir berterbangan entah dari mana mengena sebagaian kami. Daun-daun kecil pula seperti terangkat sendiri dari tanah dan berpusar-pusar ke udara. Kami nampak daun-daun berpusar ke atas, seperti angin putting beliung.

“Allahuakbar!! Allahuakbar!!!” Kami menjerit ramai-ramai, bersahut-sahutan, tanpa henti.

Suara kami yang melawan suara mengilai itu mula berkesan. Hilaian mulai mengendur perlahan-lahan. Hilaian semakin perlahan dan menjauh. Angin menjadi semakin lunak dan tidak berpusar lagi. Lazim masih meronta, tetapi sudah semakin lemah. Kami mengendurkan regangan.

“Kita usung Lazim,” kata Dagu, mengarah, selepas Lazim tenang.

Tanpa banyak bicara, Lazim kami angkat dan usung beramai-ramai, perlahan-lahan dan berhari-hati menuruni Bukit Kamal yang kami tak tahu apa yang akan menghalang kami di depan nanti.

Lazim yang masih belum sedarkan diri sepenuhnya kami bawa ke pejabat jurulatih bertugas. GI Kamaruddin mengarahkan supaya Lazim dibaringkan di katil di dalam pejabatnya. Sebaik saja kami ingin beredar ke dorm masing-masing dan hanya meninggalkan Dagu yang membaca ayat-ayat alquran di sebelah Lazim, terdengar pula jeritan nyaring dari tingkat dua. Kami terkejut. Serentak itu juga rakan-rakan kami di tingkat dua berlari ke arah suara yang menjerit. Nik Pahang yang aku lihat berada di tingkat dua menjerit kepada kami yang sedang keluar dari bilik Jurulatih supaya kami datang membantu.

“Safri!! Naik cepat!!”

Kami bergegas melangkah anak tangga ke tingkat dua. Jeritan rakan kami itu menyebabkan Jurulatih segera mengarahkan lampu dinyalakan semula. Keadaan kembali terang. Lampu menerangi semua blok penginapan.

Dari pintu, aku melihat ramai yang sedang mengerumuni seseorang. Aku  menerpa. Nirwan!

Bersambung..

Keterangan gambar:

Masa senggang kami tiap petang. Main gitar dan bernyanyi menghilangkan bosan. Dalam gambar ini dua orang rakan kami telah terlebih dahulu dipanggil meninggalkan kami, iaitu Yoyo di hujung kanan dan sebelahnya Dagu. Semoga roh arwah dalam keredhaanNya. Aamiin.

Intipati Perutusan Khas Bantuan PKP3.0

📌Program Pemerkasa Plus bernilai RM 40 Bilion dgn Suntikan Fiskal Kerajaan bernilai RM 5 Bilion

📌RM 450 Juta diperuntukkan untuk peningkatan katil dan peralatan ICU di Hospital Kerajaan, Hospital IPTA serta Hospital Medan ATM dan Hospital Swasta

📌RM 550 Juta untuk pertambahan kos operasi dan pengurusan kesihatan utk pelbagai agensi antaranya kos pengoperasian pusat kuarantin. Pelantikan kontrak

📌Melanjutkan 14,000 pegawai kesihatan kontrak sehingga 2022. 500 pegawai kesihatan bersara akan diberi jawatan kontrak

📌Menjelang akhir Jun ini. Malaysia akan capai pemberian 150,000 dos vaksin sehari dgn peningkatan bekalan vaksin

Setakat ini 80,000 dos vaksin diberi sehari

📌Aset kerajaan akan digerakkan utk memudahkan warga emas ke PPV

📌Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi akan dijalankan dan boleh melanjutkan moratorium pinjaman sehingga 12 Bulan.

📌Untuk mereka yg bujang akan dapat RM 100

📌Peruntukan 2.1 Bilion untuk penambahan Program Bantuan Peruhatin Rakyat utk isi rumah RM 2,500 dgn RM 500. RM 2,501 ke RM 5,000 utk RM 300

📌Program Subsidi Upah akan dilanjutkan selama sebulan di bawah PERKESO akan diteruskan utk sektor ekonomi terjejas

📌Portal pembelajaran E Latih percuma utk tingkatan pengetahuan dan kemahiran pekerja

📌Kadar Geran Khas Prihatin akan ditambah dari RM 500 ke RM 1,500

📌Peruntukan RM 1.5 Bilion disediakan BSN, Mara, SME CORP, Yapeim dan Tekun

📌Fasiliti Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar disediakan Bank Negara Malaysia ditingkatkan dari RM 5 Bilion ke RM 7 Bilion.

📌Diskaun bill elektrik 10 peratus disediakan utk 6 sektor terjejas selama lagi 3 bulan dari Julai sehingga September 2021

📌Potongan khas sewa sekurang-kurangnya 30 peratus utk pemilik bangunan dan ruang perniagaan dilanjutkan lagi 6 Bulan

📌Lanjutan pengecualian cukai jualan SST Kenderaan penumpang CBU dan CBT import sehingga 31 Disember 2021

📌Pelajar IPT dapat kredit E Tunai RM 150

📌Semua Menteri dan Timbalan Menteri tidak akan mengambil gaji selama 3 bulan dan semuanya akan dimasukkan ke dalam dana bantuan Covid 19

PM Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin
31 Mei 2021

Ahad, 30 Mei 2021

Bangunan Kamdar ini dulu tahun 1980

Bangunan Kamdar ini dulu tahun 1980 aku dan kawan-kawan selalu panjat window shopping. Maklumlah, baru lepas kandang. Outing. 

Beli alatan menulis, mechanical pencil, Bofa Set, dll. Tapi sejak kes dibakar oleh pihak yang tak puashati kerana security di sini belasah maut pelajar sekolah....aku tak pergi dah.. Kemudian ditutup pasaraya ini.

Juga masuk keluar pasaraya Beauty. Banyak pakaian.  Kat sini beli maggi "lontong" jer. Tak jauh dari situ ada deretan kedai-kedai jual pelbagai jenis jean ORI(Jalan Sultan Iskandar, setentang Balai Polis Pekan Baru, dekat simpang Jalan Raja Ekram). Di sini... huuhh... gelap mata tengok. Levi's, Lee, Wrangler, Edwin, dll jadi kegilaan. 
Aku paling suka Edwin. Sebab beli baju ke, seluar, T-shirt , kemeja western ke... dll memang cari brand Edwin ini...Memang kainnya tak rasa miang, tak gatal dan paling cun, tetap  selesa jika berpeluh. Sebab itu...hari ini cubalah pergi kedai bundle...mana-mana pun, sesungguhnya jean Edwin PALING mahal. 

Kalau cabuk buruk lusuh pun , rega Edwin RM 40--RM50. Dah la payah dapat. Mahal walaupun lusuh . Walhal kalau jean Levi's atau lain2 , akan dapat macam jean baru jika harga RM 30++..

Masa era tahun 1980-an, sesiapa dapat pakai jean original baru...memang orang salute habiss!... Masa tu jalan2 makan angin kat pekan dengan poket kosong pun, muka ceria megah macam YB. Pastu balik rumah mentekedarah maggi 2 bungkus!.. buh telog lagi. Lapag bag anggg...sebab tahan lapag kat pekan tadi...😀🤣

Tapi tak aper la, nombor talipon awek dapat berderet  tadi. Power aura branded  jean wehhhh..  Balik modal. Itu depa la, kawan2 aku 😷😷 Aku kan pemerhati dan pengkaji sosial yang serius. Semua jelas dalam memori aku. 

Masih ingat nama satu persatu kawan2 aku tu...Hebat casanova. Tapi tak perlu aku sebut demi etika. Lagipun ada yang dah jadi guru PAKAR Tajwid, pakar rujuk, yang jadi Uzruk Tabligh organized jamaah  keluar 40 hari -- tiap2 minggu!... MasyaaAllah... SubhanalLah... Alhamdulillah...

Tak lupa, memang wajib lepak taman Dr, bazar bulat  atau merayap ke Loken. Cari barang "pelik" di Loken untuk tampal pada jean. Baru la brutal bag angg. Padahal beli cendol 1 mangkuk pun kongsi 3 orang. Apa barangg... Mujurlah tonton movie James Bond , Chuck Norris atau Zombies tak kongsi kerusi. 

Tiket wayang masing-masing. RM 0.80, RM 1.20 kut.. Aku lupa dah. Tapi Lido dan Odeon memang pilihan. Tapi ada juga sesat ke panggung Grand kalau filem  best Melayu  atau Hindustan.

Foto pokok tumbuh pada bangunan atas tu.👆👆.. tempat yang aku lalu lalang jalan kaki , dan... bangunan lama tu pula  adalah setentang sekolah SM St. Micheal. 

Walaupun  "merayau2 merapu" sebegitu... masih bersyukur kerana tidak terlibat dengan rokok, tak buat jahat anak dara orang, tak mencuri di kedai/supermarket, tidak minum dan kekal menjaga solat... Alhamdulillah. 

Kes-kes negatif pelajar dulu-dulu yang terjadi adalah terpencil dan tak perlu didedah siapa dan sekolah mana ..😷😷

Yang lawak sungguh,  jika berkawan ramai2....   kemain lagi, amboi berlagak riuh rendah di pekan Ipoh masa tu. Macam Sarip hero kampung dusun. Tapi bila keseorangan dan duit tambang tak cukup lagi tiga kupang (RM 0.30 sen).... menangis sambil  keluag habih hingus tak dapat balik ke hostel... Siapa?... Biarlah rahsia...
Segala2nya mematangkan diri dan  jadi ilmu yang TIADA NILAI dalam menyampaikan motivasi, leadership dan mendidik anak2 aku... Hangpa macamana pulak?? Habag maii sat....🤩🌹

#aikayjay 

Sumber:
Facebook Page Rasmi
Sejahtera Malaysiaku , Suatu Masa Dahulu

.

Tok Bomoh Arwah Pak Cik Man Sudin


Orang kita dulu dulu banyak menggunakan khidmat bomoh bomoh. Tulisan saya ini berdasarkan sekadar yang saya bersama, lihat dan tahu di sebelah utara, khasnya P.Pinang.

Biasanya kalau barang hilang, mereka akan pergi menengok, jumpa Tok Bomoh, kena bawa bekas sirih, dalam bekas sirih, kena ada sirih pinang, tembakau, kemenyan, sintok, buah limau purut dan beberapa lagi, pengerasnya pula mesti ada duit dan duit tu mesti ada dua kupang lima det atau suku, sekitar pertengahan 1980, pengerasnya lima belas ringgit dua kupang lima det atau lima belas ringgit suku. Biasanya Tok Bomoh akan menengok didalam mangkok air yang dibaca mentera, dan memang ada ketikanya Tok Bomoh yang hebat, sampai boleh bagitahu barang hilang tu ada dimana, cumanya kalau dah terlepas laut, tak dapat lah dikesan.

Begitu juga apabila kerasukan atau masuk hantu,  Tok Bomoh akan dipanggil kerumah, orang yang masuk hantu tu biasanya menjadi ganas, tetapi apabila Tok Bomoh melangkah masuk sambil kumat kamit membaca mentera, orang yang kerasukan itu akan mula menjadi lemah. Ketika itulah Tok Bomoh akan mula memasang asap kemenyan, membuka bekas sirih, menyediakan sirih pinang, dan dikunyahnya,  dan mula meminta hantu yang menumpang itu keluar dari badan orang yang kerasukan itu, dengan menggunakan lada hitam yang ditekan di ibu jari, orang itu akan menjadi ganas dan meronta ronta sehingga terpaksa beberapa orang memegangnya. Ada ketikanya kalau terlalu ganas, memaki hamun dan meronta, Tok Bomoh akan  menyembur muka orang kerasukan itu dengan sirih yang dikunyahnya.

Akan berlaku dialog antara Tok Bomoh dan orang yang kerasukan itu, Tok Bomoh akan dengan lembutnya menyuruh hantu itu keluar, dan pastinya dia melawan, dia mulanya memadang rendah dan mempermainkan Tok Bomoh, namun apabila Tok Bomoh mula bertegas dan memicit ibu jari orang itu dengan lada hitam, orang itu akan mula menjerit, dan bercakap dengan bahasa bahasa yang pelik tak pernah didengari, sehinggalah akhirnya hantu itu keluar dan orang yang kerasukan itu akan terpinga pinga melihat orang ramai disekelilingnya.
Saya pernah beberapa kali mengikuti seorang Tok Bomoh yang hebat dikampung saya, Sungai Rusa, Balik Pulau, mengubati orang kerasukan atau masuk hantu ni, biasanya malam pukul 9-00 keatas dalam kes rawatan ulangan, kalau tiba tiba masuk hantu, tak kira lah pukul 3-00 pagi pun, Pak Cik Man Sudin tak pernah menghampakan harapan orang yang menjemputnya, dan saya biasanya menawarkan diri untuk mengikuti Pak Cik Man Sudin berubat orang masuk hantu.

Memang betul, berlaku didepan mata apa yang saya ceritakan ini.

Namun begitu ada juga kisah seorang orang kampung saya yang pergi berubat disatu negeri lain, katanya Tok Pawang tu sangat hebat, sebelum pergi ke Tok Pawang berkenaan,dia dah jumpa Pak Cik Man, dah Pak Cik Man dah menengok dan dia didapati sihat, tapi dia macam tak yakin, lalu pergilah berjumpa Tok Pawang yang dikatakan hebat sangat tu. 

Biasa lah sampai saja, Tok Pawang pun menurun berdentum dentam, menepuk lantai, terus kata ada hantu, Tok Pawang pun mula tekan ibu jari orang tu, baru sentuh dah sakit, Tok Pawang kata hantu ni kuat sungguh, dia pun tekan lagi kuat, dok suruh hantu tu keluar, yang orang tu dok kata sakit, sakit, Tok Pawang kata, kalau sakit baik hang keluar cepat, Tok Pawang pun tekan lagi kuat ibu jari orang tu sambil kata cepat keluar, orang tu pun tiba tiba terketar ketar dia tendang Tok Pawang sambil kata, keluar kepala bapak apanya, kaki aku ni makan cekam.

Apa pun, Pak Cik Man Sudin, sangat banyak.jasanya terhadap orang kampung saya sehingga ke seluruh Balik Pulau mengenalinya, beliau mampu mengubati penyakit kayap, menurunkan panas badan dengan menjampi air penawar dan berbagai lagi. Pak Ci Man Sudin bukan bomoh yang menurun, bercakap siam dan sebagainya.

Saya rasa jarang sangat dah dijumpai Tok Bomoh dan cara perubatan seperti ini, tambahan pula penyediaan bekas sirih dan segalanya, silap silap sintok pun ada yang tak tahu, ada ke tak lagi sintok pun tak tahu lah.

Pak Cik Man Sudin telah lama  meninggal dunia, semoga ALLAH merahmatinya.

Sumber:
Facebook Page Malaysiaku Dulu-Dulu Official

BUKIT KAMAL MENJERIT VII


(Semua cerita aku ini berdasarkan kisah benar yang berlaku pada diri aku sendiri, atau kawan-kawan rapat terdekat. Ia berlaku sekitar 1980 hingga 1993. Latar kejadian berbeza, di darat dan di laut, semasa bertugas sebagai anggota LLP di TLDM. Olahan, plot, penceritaan aku susun sebaiknya supaya menimbulkan suasana. Mohon sokongan)

Malam itu, selepas Isyak, selepas kami baca Yassin beramai-ramai, aku disoal bertalu-talu oleh rakan-rakan di dormetri. Mat Yus interrogate aku macam pegawai penyiasat. Aku dipersalahkan kerana meninggalkan mereka berlima di blok bujang itu dan menghilang tanpa khabar berita. Hairan juga, kerana seingat aku, mereka berlima tahu dengan siapa aku keluar untuk bermalam pada malam kejadian.

“Mana ada, aku nampak kau sorang diri jer tinggalkan kami, tak nampak Shaari pun’” getus Zaman (arwah).
“Dia kan datang ajak aku. Kau semua ada kat sini masa dia datang,” aku pertahankan tindakan.
“Kau pikul beg pakaian, tinggalkan kami masa maghrib. Kau tak inform kami pun,” kata Yoyo.

Aku ceritakan semua yang berlaku, dari mula tinggalkan rakan-rakan yang pada sangkaanku mereka tahu ke mana aku hendak pergi, kemudian tidur di rumah Shaari, seorang pakcik yang tiba-tiba muncul bersila di sebelah aku meminta aku menyimpan tulangnya yang ketika itu masih dalam beg pakaian dan akhirnya balik semula ke dormetri.
“Mana Shaari?” Tanya Dagu.
“Dia balik blok dia.”
“Kau tidur bersama kami di sini malam tadi. Tapi kau kata kau tidur rumah Shaari. Blok kita dah jadi sarang hantu dah,” Kata Yoyo.

Sekitar pukul 10, sebelum lampu blok dipadamkan, kami berjalan ke dormetri Shaari di sebelah. Shaari ada, bersiap sedia untuk tidur. Ternyata dia memang duty sentry pada malam kejadian. “Aku duty pintu 3 katanya,”, menunjukkan buku log awasan yang ditandatangani semasa memulakan dan menamatkan tugas pagi tadi. Sah sekarang, Shaari bertugas dan tidak ke mana-mana malam semalam. Soalnya aku pergi ke rumah yang dikatakan rumah Shaari tu dengan siapa, tidur pula di rumah siapa. Tulang yang masih tersimpan dalam beg pakaian di blok aku sekarang itu siapa pula yang memberinya. Siapakah empunya tulang itu. Siapa pula orang tua yang berbual dengan aku seketika di ‘rumah’ Shaari itu. Siapa yang menggantikan aku semasa ketiadaan aku ke rumah Shaari malam tadi dan berbual dengan rakan-rakanku di blok penginapan. ‘Shaari’ mana pula yang menemani aku ke ‘rumah’nya malam semalam dan Shaari mana lagi yang menemani aku pulang ke blok penginapan.

Aduhhh, semua persoalan itu mengganggu. Seorang pun kawan-kawan tidak dapat memberikan jawapan. Dua tiga kali Mat Yus dan kawan-kawan mempersendakan aku sambil berkata mereka sedang berjalan dan bercakap dengan hantu, dan bukan aku sendiri. Gurauan itu memang jenaka, tetapi ia serius dan ia tidak membuatkan kami ketawa pun.

Malamnya, aku yang paling sukar hendak melelapkan mata. Mat Yus, Raja, Haizi, Yoyo, Dagu, Zaman hanyut sebaik tengah malam. Dua tida orang lain masih ada yang meniarap menulis surat bertemankan lilin terpasang di sebelah. Kami tidak bercakap pun.

Terdengar tapak kaki menghampiri. Hah, Nirwan!
Aku bingkas duduk. Nirwan duduk di sebelah.
“Kau ke rumah Shaari semalam?” tanyanya.
Aku angguk. “Siapa bagitahu?”
“Shaari, tadi. Dia kata kau pergi dengan hantu..” katanya senyum meleret, dalam kegelapan lampu yang sudah dipadamkan.
“Kata kau bawak balik tulang orang?” tanya Nirwan, pandang tepat ke muka aku.
Aku tahu Shaari yang beritahu dia tentang perkara ini. Selain rakan-rakan rapatku, Shaari saja yang tahu perkara tulang ni.
“Tu ada dalam beg.” Kata aku tunjuk ke arah beg dalam locker.
“Simpan elok-elok bang. Banyak benda misteri terjadi sekarang. Kau pun akan berdepan dengan macam-macam perkara nanti,” kata Nirwan bingkas bangun dan mula berjalan ke arah pintu.

Sebaik Nirwan melepasi seorang dua rakan-rakan yang sedang tidur, tiba-tiba rakan yang sedang tidur di katil bersebelahan melompat dan menjerit kuat. Kami semua terkejut.  Rakan itu menjerit, membuka langkah silat  dan mula menendang. Nirwan terhenti dan kami semua menerpa ke arah rakan yang menendang keras.

“Allahuakbar….allahuakbar!!!” jeritnya kuat sambil menendang angin. Satu dua tendangannya mengena besi katil.
Kawan-kawan sudah mula menerpa untuk menindih. Baharti lagi. Baharti masih dalam langkah bersilat, menyepak sesiapa saja yang mendekati.
“Hantu! Hantu…Allahuakbar…allahuakbar!!!” Jerit Baharti.
Aku juga bersama Mat Yus dan Zaman bergelut cuba merebahkan Baharti. Beberapa orang datang membantu.

Ayat-ayat suci dibacakan dan dihembus ke muka Baharti. Dagu melaungkan azan. Jurulatih menjengukkan muka bersama sentry yang bertugas dan bergegas membantu kami. Aku pandang belakang. Nirwan sudah hilang dan tidak ada kelibat dia di situ. Mungkin sudah balik ke dormetrinya di sebelah.

Baharti kembali pulih sejam kemudian. Kami berterusan membaca alquran untuk malam itu, sekurang-kurangnya sehingga pukul 3 atau 4 pagi. Sebelum subuh, seorang rakan datang memberitahu Nirwan tidak ada di tempat tidurnya.

Sehingga pagi, Nirwan tidak dijumpai. Rakan-rakan di dormetri lain juga cuba mencari tapi tidak bertemu. Pukul 8.30, selepas breakfast, aku, Mat Yus, Yoyo dan Shaari mula melangkah keluar dari pangkalan menuju Batu 9, Lekir untuk menyelesaikan kemelut yang semakin kusut.

Sebaik kami melepasi pintu 3 ke pekan Lumut, aku berhenti kira-kira 100 meter dari situ. Hutan kecil di kanan jalan, di kaki bukit di sebelahnya. Seperti ada jalan kecil di seberang parit kecil. Di situ ‘Shaari’ mengambil bungkusan yang mengandungi tulang sebelum diserahkan pada aku pada malam kejadian.

Shaari melompat parit kecil dan meninjau sekeliling. Tidak ada sesuatu pun yang kami jumpai di situ. Dia melompat parit semula dan menuju ke arah kami sebelum kami meneruskan perjalanan ke pekan Lumut.
“Mana tulang tu?” Tanya Shaari padaku.
Baru aku sedar, aku seharusnya membawa bungkusan yang mengandungi tulang itu bersama-sama ke rumah Shaari hari ini. Kami rancang untuk ‘kebumikan’ tulang itu di kubur nanti.
“Jom jalan. Kita bawak tulang tu semula. Sekarang kita gi kubur ayah kau Shaari.” Arah Mat Yus.

Matahari masih belum tingi ketika bas yang kami naiki sampai di Batu 9 Lekir. Shaari picit loceng bas dan kami berhenti betul-betul di tepi bangsal di depan rumah ‘Shaari’.

Tidak ada sebarang rumah di situ.  Di kiri kami ialah kawasan perkuburan . Pokok kelapa melambai di kanan jalan. Tidak ada kereta yang lalu lalang di situ semasa kami melangkah ke arah kubur yang terhampar di hadapan. Shaari mendahului.

Pagar dawai yang mengelilingi kubur sudah banyak yang berkarat dan usang. Kubur lama, kata aku dalam hati. Mat Yus memberi salam, agak kuat. Kami juga turut mengucapkan salam walaupun tidak sekuat Mat Yus.

Shaari menuju ke kubur ayahnya yang terletak di hujung sebelah kiri. Kami menuruti dari belakang. Aku berjalan paling belakang. Di kejauhan, kelihatan seseorang sedang membersihkan kubur, membongkok mencabut rumput-rumput. Apabila melewatinya, seorang tua dalam lingkungan lewat 70an menegur aku. Aku memperlahankan langkah.
“Hendak ke kubur siapa nak?” tanyanya.
“Kubur hujung, ayah kawan saya yang di depan tu,” tunjuk aku ke arah Shaari yang sedang berjalan. Mat Yus, Yoyo mengikutinya.
“Hati-hati ye nak. Tulang tu jaga elok-elok. Ada orang yang akan jumpa anak nanti minta tulang dia semula.” Katanya perlahan.

Kali ini langkah aku benar-benar terhenti. Bulu roma meremang serta merta. Allahuakbar, kata aku dalam hati. Aku pandang mukanya dengan  kehairanan. Di tangannya orang tua itu ada tanah-tanah yang melekat.

Aku mendengar namaku dipanggil. Yoyo datang tarik tangan. Aku belum sempat bertanya apa-apa kerana orang tua itu sudah tiada di situ. Memang kami berempat sahaja, dan tidak ada orang lain di perkuburan itu tengah hari itu.

Aku banyak berdiam ketika kami membaca surah Yassin di depan kubur ayah Shaari. Shaari mencabut rumput-rumput, membersihkan sekeliling batu nisan ayahnya. Selepas memberi salam, setengah jam kemudian kami meninggalkan kawasan perkuburan.

Tidak ada siapa pun yang sedar aku telah bertemu dengan orang tua di perkuburan tadi. Aku mengunci mulut dari rakan-rakanku.
Di blok penginapan lewat petang itu, kami cari Nirwan di dormetrinya. Nirwan masih belum ada dan masih belum dijumpai sejak peristiwa malam tadi.

Bersambung…

 Keterangan gambar:

Perbarisan Hari Tamat Latihan Intake 141 pada bulan Februari 1981 di padang kawad KD Pelandok, Lumut. Gambar dua, aku, Mat Yus dan Zul Lipis. Tempat tak ingat dah kat mana, tapi sekitar

Sumber:
Facebook Page Rasmi
Malaysiaku Dulu-Dulu Official

Sabtu, 29 Mei 2021

Lori hantu...


Lori yang tidak ada pintu, tidak ada plate number dan pergerakkannya terhad di tapak pembinaan sahaja. 

Kenangan suami saya sewaktu beliau bersekolah dalam Tingkatan 1 - 2.
Tanah kebun getah bersebelahan dengan kuarters Hospital  Daerah Jelebu dimajukan untuk pembinaan sekolah menengah sekitar tahun lewat 70 an...

Lori- lori hantu digunakan untuk kerja-kerja mengangkut tanah dari bukit yg ditarah (cut n filling). 
Di situ juga lah merupakan “taman permainan” untuk suami saya dan kawan-kawan sepermainannya (tanpa pengetahuan parents masing-masing). 

Pengalaman yang sangat2 menyeronokkan yang mana apek2 yg memandu lori itu melayan saja permintaan mereka untuk ikut serta menaiki lori-lori hantu semasa mereka menjalankan kerja mengangkut tanah. 

“Apo tak ea, lori hantu tu ado banyak, mako ea masing-masing dapek naik sorang satu lori! Siap buleh pilih laie!
Wiiiiiyaaaaiiiii... hosah riang ea hati masing2 memang tak dapek nak citor... teraso laaaa macam tokey lori tu jam tekaaawww...” kata suami saya.

Tu lah lebihkurang kegembiraan yang digambarkan oleh suami saya sewaktu dorang naik lori hantu tu 😬

Tapi kegembiraan tu hanyalah sementara bagi sorang berdua dari kawan-kawannya apabila disedari oleh  mak ayah mereka... habuannya memang kono sosah amo rotan pakej sekali dongan kono leter “Tompek tu bahayo, lori hantu mano ado pintuuu... kok torguling, torlungkop... sapo yg susahhh?” Sesekali terdonga bunyi “Piiiaaappp...piiaaappp...piiiaappp!!!”. Borbirat lah betis masing2. 

Pembinaan sekolah itu telah berjaya disiapkan dan sekolah itu masih beroperasi lagi hingga sekarang...
Sekolah Menengah Undang Jelebu...

Mungkin ada di antara warga MDDO ini yg pernah naik lori hantu tersebut semasa pembinaan sekolah ini😬

Setiap kali balik kampung bila lalu di tepi sekolah tersebut, suami saya akan berkata kepada anak2nya, “Ni projek ayah dulu nihhhh” disambut dengan seribu kerutan di dahi anak2, “Bilo plak nih?”

Ok tu yo citor pasal lori hantu ni.
Gambar yg ado tu dari google sekadar  hiasan kisah  ni haaa... tak yah lah korang cari plak lori2 tu yoooo.. memang tak jumpo...

BUKIT KAMAL MENJERIT VI


(Cerita ini berdasarkan kisah yang benar-benar berlaku pada diri aku sendiri atau kawan-kawan terdekat. Bagaimanapun olahan dilakukan pada dialog supaya ia menimbulkan suasana, tanpa merosakkan objek besar iaitu kisah benar).

Satu pagi Jumaat yang indah dan nyaman, setelah genap 3 bulan kami dilanyak pagi petang siang malam tanpa rehat yang sempurna, semasa kami sedang beratur hendak memasuki kelas di Sekolah Teknikal, pegawai kami memberitahu bahawa bermula petang nanti, semua rekrut dibenarkan untuk bercuti ‘long weekend’ selama 2 hari setengah, dan semua pelatih dibenarkan untuk keluar dari kawasan latihan dan bermalam di luar, atau mengunjungi saudara mara berdekatan, atau berehat sahaja di dormetri jika tidak berhasrat untuk keluar mengurat atau cari awek di pekan Sitiawan. Kami semua sambut berita itu dengan gembira dan berbunga. Semua melompat gembira. Di muka masing-masing terpancar kegembiraan yang bukan kepalang, setelah 3 bulan penuh dikunci di sekolah latihan tanpa sejengkal pun diberi kebenaran keluar dari pangkalan untuk melihat dunia luar.

Berita baik itu sebenarnya tidak menggembirakan aku pun. Aku bukannya ada saudara mara di Lumut, atau Sitiawan, atau sekitarnya,. Paling dekat saudara terdekatku ialah di Kelantan, yang jaraknya lebih 400 kilometer dari situ. Jadinya berita gembira itu jadi hambar dan bukan berita menyeronokkan lagi bagi setengah dari kami. Maka aku dan beberapa orang lagi rakan mengambil keputusan untuk sembam muka di bantal atau menulis surat kepada kekasih di kampung.

Sekitar lepas maghrib, Shaari, seorang rakan dari dormetri sebelah datang ke katil. Aku bingkas bangun. Mukanya terlindung di balik lampu kalimantang.

“Jom ikut aku balik kampung,” ajaknya. Aku terdiam sejenak. Rasa seronok tiba-tiba melonjak dalam hati.
“Lekir?” tanya aku.
“Ye, Batu 9. Aku rindu arwah ayah aku. Esok kita gi kubur dia”.
“Besok bertolak?” tanya aku lagi.
“Kita bertolak sekarang!”

Aku melompat bangun, masukkan baju dalam beg kecil dan dalam masa hanya beberapa minit selepas itu kami sudah bersedia berjalan kaki ke Lumut, sebelum menaiki bas ke Sitiawan.

Kami berborak sahaja sepanjang perjalanan dari pangkalan ke pekan Lumut. Shaari ini agak pendiam orangnya, tak banyak cakap. Dia hanya bersuara apabila perlu. Jadinya hanya aku yang banyak bercerita, terutama mengenai kisah hantu yang sering mengganggu kami pada malam-malam sebelum itu.

Sampai di satu simpang selepas pintu utama pangkalan di Lumut, Shaari minta aku tunggu tepi jalan kerana hendak mengambil sesuatu di situ. Hairan juga kerana di kanan jalan itu ialah hutan dan tidak nampak sebarang rumah orang di sekitar. Tanpa sempat aku bertanya, Shaari berkata, “aku tinggal barang kat sini tadi. Sekarang nak ambik.”

Aku terdiam. Tangkas Shaari menyelinap ke dalam belukar meninggalkan aku keseorangan di tepi jalan. Yang masih aku ingat, tidak ada seorang pun yang lalu di situ ketika aku berdiri di situ.

Shaari muncul semula beberapa minit kemudian, menggenggam sesuatu yang berbungkus dengan kertas suratkhabar di tangan.

“Tolong pegang,” katanya tanpa sempat aku bertanya apa kandungan di tangannya itu.
“Itu tulang ayah aku,” katanya lagi perlahan. Muka Shaari berbalam.
Aku terkejut bukan kepalang. Memang terasa benda keras kira-kira sekaki atau lebih panjangnya.
“Tulang ayah kau?” Aku bertanya kehairanan. Memang patut aku hairan kerana bari tadi Shaari beritahu bahawa ayahnya sudah meninggal dunia dan mengajak aku untuk menziarahi kubur keesokan harinya.
“Aku cerita esok. Malam ni kalau aku cerita kau takut”.

Aku mengangguk saja sementara kami melangkah menuju stesen bas Lumut.

Banyak persoalan bermain dalam kepala aku. Aku sekarang sedang memegang bungkusan tulang ayah Shaari, yang berbalut dengan kertas suratkhabar lama. Kami tak banyak bercakap. Shaari melangkah dengan cepat dan beberapa ketika kemudian kami sudah berada di dalam bas menuju Sitiawan.

Dari pekan Sitiawan, kami naik bas pula ke Batu 9, Lekir dan bas berhenti di tepi sebuah bangsal usang tepi jalan. Masa itu sudah hampir tengah malam. Shaari mendahului aku ke sebuah rumah yang nampak berbalam di hadapan.

Benar, rumah itu sudah agak usang dan mungkin sudah berusia puluhan tahun.  Tangga simennya seperti bentuk tangga rumah Minangkabau atau rumah lama di Melaka, atau Negeri Sembilan. Ada daun pintu bercermin berwarna gelap di tingkap yang terbuka. Kenapa tingkap terbuka di waktu tengah malam begini? Soalan itu menerjah kepala. Shaari menoleh, “Rumah aku pintu terbuka siang malam’..

Kami naik. Dia menyelinap ke ruang tengah dan muncul semula seketika kemudian.

“Mak aku dah tidur. Kita tidur sini. Esok kita sambung.” Katanya perlahan sambil merebahkan badan. Entah kenapa, malam itu terasa benar sejuknya. Mungkin juga kerana rumah itu adalah rumah kampung yang tidak terdedah kepada pembangunan. Selepas meletakkan bantal di ruang tamu berhampiran tingkap kayu, dalam kegelapan itu aku melihat Shaari sudah hanyut tertidur.

Dalam cahaya pelita minyak tanah yang meliuk ditiup angin, aku melihat rumah usang yang agak besar itu kosong dan tidak banyak perabot. Ada sebuah kerusi di sudut dinding, sebuah meja yang juga usang di tepinya. Tikar mengkuang terhampar. Ada sebuah bilik yang pintunya tidak terbuka sejak tadi. Mungkin bilik mak Shaari, kata hati aku. Sekilas aku teringatkan bungkusan suratkhabar yang Shaari kata mengandungi tulang bapanya. Bungkusan itu aku letak dalam beg pakaian.

Rasa ngeri muncul tiba-tiba. Aku dicengkam rasa takut. Takut sehingga rasa hendak membalikkan badan pun terasa seperti diperhati seseorang. Terasa seperti ada orang lain di sebelah. Bulu roma meremang. Aku tidak berani menoleh dan membuka mata.

“Anak…” tiba-tiba terdengar suara seperti berbisik. Suara itu persis angin lalu di tepi telinga.
“Anak…bangun..” bunyi suara itu lagi, lebih jelas tapi masih berbisik.

Aku masih berdiam. Bulu roma berdiri. Terasa seram sejuk seluruh badan. Tiba-tiba terasa sesuatu memegang bahu. Dalam ketakutan yang amat sangat, tanpa sedar aku telah membalikkan badan.

Dalam kegelapan, aku melihat di depanku seorang lelaki tua berambut hitam, tidak berbaju, bersila mengadap aku yang sedang menggigil ketakutan.

“Pakcik nak pesan, tolong jaga tulang pakcik yang dalam beg tu…” katanya perlahan.

Aku masih tergamam dan tidak ada ayat yang mampu keluar dari mulut aku ketika itu. Aku pun tidak tahu bagaimana selepas itu aku bangun dan turut bersila di depannya.

Malam hanya diterangi oleh pelita yang cahayanya meliuk lintuk. Sejuk membungkam. Angin lembut meniup muka dan telinga. Samar-samar muka orang tua ini di depan. Kami hampir berlaga lutut apabila Shaari tiba-tiba menoleh. Aku pandang Shaari yang memandang aku dengan pandangan aneh.

“Kenapa kau bangun?” Dia bertanya kehairanan.
“Pakcik ni kejut,” kata aku sambil pandang semula ke arah orang tua di depan. Tidak ada sesiapa di depan aku. Kosong. Tidak nampak sebarang kelibat manusia.
“Tidurlah, kau mimpi..” kata Shaari ketawa kecil, membalikkan semula badannya mengadap dinding.

Shaari kemudian tidur semula.

Aku terkebil-kebil di sebelahnya. Kehadiran orang tua tadi dan kata-katanya masih terngiang. Aku tak tahu berapa lama aku termanggu sendirian dalam kebingungan sehingga tertidur.

Esoknya, setelah mandi, aku ajak Shaari balik semula ke pangkalan di Lumut. Shaari tahu apa alasan aku untuk tidak berlama-lama di rumahnya. Pagi itu baru aku berjumpa emak Shaari, yang kelihatan sudah tua dan bertongkat bila berjalan sebelum bergobek di dapur.

“Tulang ayah kau ni bagaimana?” aku tanya Shaari ketika dalam bas.
Shaari pandang aku, pegang tangan aku. “Apa ayah aku cakap?”
Aku terkedu. Shaari tahu apa yan berlaku malam tadi.
“Dia suruh jaga”.
Aku lihat muka Shaari tersenyum dan dia menarik nafas dalam-dalam.
Setelah memasuki pangkalan dan naik semula ke dormetri di tingkat 3, Yoyo yang kebetulan hendak ke bilik air menyapa. “Ehh, kau pergi mana dengan beg ni..?” Yoyo pandang aku dengan kehairanan.
“Tidur rumah Shaari kat Lekir,” jawab aku jujur.
Kali ini Yoyo terhenti dan tenung bulat ke muka aku.
“Apa kau cakap? Tidur rumah Shaari?” tanya Yoyo lagi.
Aku angguk.
“Habis yang bercakap dengan aku malam tadi tu siapa?”
Aku gumam, tak terkata apa-apa.
Yoyo jerit panggil Mat Yus. Mat Yus menoleh.
“Yus, ni Safri, dia kata malam tadi dia tidur rumah Shaari di Lekir. Yang dok bercakap dengan kita malam tadi tu siapa?”

Mat Yus kehairanan. Haizi, Raja, Dagu, Haizi juga kehairanan. Aku terduduk di birai katil.

Malam itu kami semua sembahyang maghrib bersama. Dagu azan kuat-kuat. Mat Yus jadi imam. Kami semua baca Yassin selepas itu.

Hairannya, Shaari tak pernah mengakui bahawa dia pernah membawa aku tidur di rumahnya pada malam kejadian. Malah, katanya, pada malam itu dia ditugaskan sebagai duty sentry di pejabat KD Malaya.

Tulang itu aku simpan berpuluh tahun, sehinga aku melepaskannya kepada seorang guru agama di Lekir 4 tahun lepas. Aku minta tulang itu dikebumikan di situ.

Keterangan gambar:

Ini Shaari, ketika kami bersama-sama ditugaskan di atas kapal KD Ganyang. Kami tidak pernah bersua sejak 1984. Gambar kedua, itulah tulang yang orang tua tu suruh aku simpan.

Sumber:
Facebook Page Rasmi
Malaysiaku Dulu-Dulu Official

Bas Mini Pink

"CM, CM. Rapat! Masuk lagi." laung kolek bas. Arahan dan marah intonasinya sama sj. CRM tk popular zaman ni. Penumpang akur, bertolak ansur memberi ruang. 1997-1999 saya meneruskan kembara ilmu di Matrikulasi UIA, Lembah Pantai dan bas mini pink ni la yg menjadi kenderaan rasmi. Tkda ehailing zaman tu. Taxi rasa mahal. Tambang 5 kupang, tp bas mini ni sgt "berbisa".

Boleh sumbat selagi muat tanpa had, lab tang kona langsung tak gayat, aircond mudah laras, tutup tingkap tolak atas, angin menderu membawa segala jenis bau yang ada.

 Rempitan padu, kakak-kakak siap siaga. Perlu break sendiri guna kekuatan tangan serta kaki elak jadi "rezeki" abg-abg kanan kiri. Pakai perfume tkda makna. Turun nnt bau semua dah sama.  Pink Lady in memory sebelum tibanya era Intrakota dan LRT😍.

CRM: Customer relationship management
CM: Central Market
Kolek: Konduktor bas

Sumber:
Facebook Page Rasmi
Malaysiaku Dulu-Dulu Official

Selamat Menyambut Pesta Kaamatan & Hari Gawai 2021.



Esok, masyarakat Kadazandusun di Sabah akan menyambut Pesta Kaamatan sebelum disusuli dengan sambutan Hari Gawai oleh komuniti Dayak di Sarawak, dua hari selepas itu. 

Kedua-dua perayaan ini disambut sebagai 
tanda kesyukuran di atas kurniaan rezeki selepas berakhirnya musim menuai. 

Sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai tahun ini tentunya diraikan dalam suasana berbeza berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan yang sedang berkuatkuasa dalam usaha kita membendung peningkatan kes jangkitan COVID-19.

Saya memahami perasaan sedih anda semua kerana tidak dapat meraikan perayaan ini dengan meriah sebagaimana tahun-tahun terdahulu. Yang pasti, semua tindakan dan larangan ditetapkan Kerajaan seperti tidak membenarkan aktiviti kunjung-mengunjungi semasa sambutan adalah semata-mata untuk menjauhkan rakyat daripada terus dijangkiti wabak ini. 

Nasihat saya, raikanlah perayaan ini dalam norma baharu bersama ahli keluarga di rumah dengan suasana yang ceria. Elakkan daripada meninggalkan rumah kecuali atas urusan-urusan yang penting. 

Semoga perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai pada tahun ini menguatkan lagi iltizam kita semua untuk mengharungi segala cabaran dan dugaan demi kemakmuran bersama dan masa depan negara yang lebih cerah. 

Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan.
Gayu Guru Gerai Nyamai.

#LockdownKendiri
#SelfLockdown

Sumber:
Facebook Page Rasmi
Tan Sri Muhyiddin Yassin
Perdana Menteri Malaysia ke-8

Jumaat, 28 Mei 2021

HARUN NANAI .

..Warga dikampung saya dan kampung kampung yang berdekatan dengan Kampung Lubuk Merbau pastinya mengenali susuk tubuh ini .Namanya Harun Alang Mat Aroff , atau lebih dikenali dengan panggilan sehariannya Harun Nanai . Beliau diketahui mempunyai  sekeping hati yang baik tetapi agak bernasib malang diakhir akhir penghidupannya didunia fana' ini .

Saya mengenali Harun Nanai ini semasa masih dizaman remaja ..mungkin didalam tahun 1970 ketika saya berada didalam darjah enam Sekolah Kebangsaan Lubuk Merbau yang kini telah dikenali dengan nama Sekolah Kebangsaan Sheikh Mohamad Idris AlMarbawi.

Pada ketika itu Harun Nanai bekerja dikilang padi bapa saya di Kg Kubang Panjang , Lubuk Merbau .Rumahnya terletak tidak jauh dari kilang padi tersebut .Saya tidak mengenali kedua dua ibu bapanya , tetapi saya mengenali salah seorang dari adik perempuannya, kalau tidak silap saya bernama Suriani .

Pada ketika itu Harun Nanai bekerja bersama Man Kilang , dan Mail CK dikilang bapa saya tersebut .Kebiasaannya bapa saya akan menyuruh saya pergi kekilang padi itu pada waktu sebelah petang  selepas habis waktu sekolah , jika bapa mempunyai urusan lain untuk diselesaikan .

Al Maklumlah , disamping menjadi Imam Masjid , bapa saya juga bertindak sebagai Naib Kadi bagi Mukim Lubuk Merbau yang sering menghadiri majlis majlis pernikahan anak buah di Mukimnya .

Apabila saya bertindak mewakili bapa saya menguruskan kilang tersebut ( sebenarnya cuma menguruskan wang masuk hasil kutipan upah mengilang dan hasil jualan dedak )sahaja , saya jarang sekali membantu ketiga tiga pekerja kilang tersebut untuk  mengangkat padi  atau memasukkan dedak kedalam guni atau lain lain pekerjaan .

Kelakuan saya yang selalunya berlagak sebagai anak tauke kilang , kerap mendatangkan kemarahan kepada Harun Nanai ini .Pernah disuatu ketika , saya telah dibaling oleh Harun Nanai dengan penyapu dari atas tempat tuangan padi tetapi saya telah berjaya mengelakkan diri dari balingan tersebut .

Apapun sebenarnya saya anggap Harun Nanai hanya  bergurau dengan saya walaupun umur saya pada ketika itu didalam lengkungan dua belas tahun , masih tidak berapa faham akan erti gurauan tersebut .

Apabila saya meninggalkan kampung untuk memulakan alam kerjaya saya pada tahun 1977 , kilang padi tersebut masih lagi beroperasi , dan tugas wakil tauke kilang diserahkan pula kepada adik saya Hafiz Kamil .

Perkembangan selanjutnya mengenai kilang padi tersebut telah diluar dari pengetahuan saya tetapi jika tidak silap saya , oleh kerana faktor kurangnya orang kampung yang terus mengusahakan tanaman padi , kilang padi tersebut akhirnya terpaksa ditutup .

Setelah saya keluar merantau , sesekali saya akan balik bercuti dikampung .Pada ketika itu dipertengahan tahun 1980 an , Harun Nanai telah bekerja sebagai pembantu disebuah kedai makan dikampung saya .Harun Nanai juga dikhabarkan kerap membantu urusan masak memasak di Masjid kampung saya sekiranya sebarang majlis atau keraian diadakan .Dengan sifatnya yang rajin , beliau amat disukai oleh lain lain petugas masjid .

Bagaimanapun pada tahun 1990 , Harun Nanai diketahui telah mendapat demam panas yang agak serious .Setelah sekian lama bertahan , beliau akhirnya telah dikejarkan kehospital Kuala Kangsar untuk menerima rawatan selanjutnya .

Bermula dari serangan demam panas itulah perlakuan Harun Nanai telah mula berubah .Beliau dilihat seringkali termenung dan bercakap seorang diri dan mula tidak mengambil berat lagi makan minum apatah lagi tentang pakaiannya .

Bertahun tahun kemudiannya , sewaktu saya balik bercuti kekampung , saya telah bertemu semula dengan Harun Nanai di Pekan Lubuk Merbau.Tetapi kali ini saya lihat penampilannya telah banyak berubah .Keadaannya telah tidak lagi terurus , dengan pakaian yang lusuh , beserta misai serta jambang yang tidak dijagai rapi .

Saya telah menghampiri Harun Nanai yang sesetengah orang telah menganggapnya kini kurang siuman .

Saya telah bersembang sembang dengannya dan diakhir pertemuan saya telah menghulurkan sedikit wang untuk perbelanjaannya .

Dari perbualan saya dengan Harun Nanai tersebut , saya dapat menilai dan mengetahui bahawa Harun Nanai sebenarnya masih waras , jauh sekali dari menjadi kurang siuman .

Harun Nanai masih mampu mengingati nama saya walaupun sebenarnya telah berpuluh tahun saya tidak menemuinya .

Sejak dari itu setiap kali saya balik kekampung , saya akan mencari Harun Nanai dan mengajaknya bersembang sebelum saya menghulurkan sedikit wang poket untuk belanja sehariannya .Kebiasaannya pada ketika tersebut Harun Nanai akan mudah ditemui di kedai makan Chu Ndan sambil dia membelek belek surat khabar ..mungkin untuk melihat gambar gambar agaknya .

Walaupun dalam keadaan dirinya yang kurang sempurna , Harun Nanai amat mencintai kebersihan dikawasan persekitaran .Setiap hari beliau akan mengutip segala sampah sarap yang bertebaran di Pekan tersebut dan akan mengumpulkannya disatu tempat sebelum dibakar .

Dizaman sihatnya Harun Nanai juga dikenali sebagai seorang pembaling yang tepat .
Balingannya jarang tersasar dan kebiasaannya akan tepat mengenai sasaran .Kemahirannya itu amat ditakuti oleh budak budak nakal dikampung saya .

Kali terakhir saya melihat dan bersembang dengan Harun Nanai adalah pada tahun 2015 rasanya ..pada ketika itu saya melihat Harun Nanai telah kian uzur dan tidak lagi mahu berbicara banyak dengan saya .

Dan akhirnya tidak berapa lama kemudiannya saya mendapat berita bahawa Harun Nanai telah meninggal dunia didalam keadaan yang amat menyedihkan .

Harun Nanai diketahui tidak pernah berkahwin sepanjang hayat hidupnya .

Sama sama kita sedekahkan Al Fatihah kepada Arwah Harun Nanai , salah seorang lagenda di Kampung Lubuk Merbau .

Semoga Ruh Arwah dihimpunkan bersama sama orang orang yang soleh dan beriman 
Aamiin Aamiin Ya Rabbal Aalamiin .

Sumber:
Facebook Page Rasmi
Malaysiaku Dulu-Dulu Official

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yaasin telah melawat sendiri mangsa-mangsa kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL)

Hari ini saya telah melawat sendiri mangsa-mangsa kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Alhamdulillah, mereka yang tercedera sudah dirawat dan mangsa yang kritikal diletak di bawah perhatian rapi doktor. 

Seperti yang telah saya tegaskan sejurus selepas kejadian, prioriti kita adalah untuk memastikan kesihatan dan kebajikan mangsa-mangsa terjamin dan terbela, dan siasatan penuh dijalankan secepat mungkin. Alhamdulillah, kedua dua perkara ini sudah dilakukan dan sedang berjalan. 

Kepada semua mangsa yang sedang dirawat, saya doakan mereka semua diberi kesembuhan dan dapat kembali meneruskan kehidupan seperti biasa. 

Di pihak Kerajaan, saya akan pastikan siasatan sepenuhnya dapat dilaksanakan dan langkah-langkah penambahbaikan dapat dibuat bagi menjamin insiden seperti ini tidak berulang.

Sumber:
Facebook Page Rasmi
Tan Sri Muhyiddin Yaasin
Perdana Menteri Malaysia ke-8

Khamis, 27 Mei 2021

Orang Utara Pulau Pinang Sebut Duit 1sen Seduit


Orang dulu dulu disebelah utara, khasnya Pulau Pinang.

Saya mulakan dengan nilai duit bermula dengan 1 sen yang dipanggil SEDUIT.

Kemudian lima sen yang dipanggil lima duit, kemudian sepuluh sen yang tidak dipanggil sepuluh duit, tetapi dipanggil SEKUPANG. Sekupang tu SEPULUH SEN.

Kemudian sekupang itu ditambah lima det, dipanggil LIMA BELAS DET, tidak dipanggil SEKUPANG LIMA DET. Lima belas det tu ialah Lima belas sen.

Kemudian sekupang itu ditambah lagi sekupang, dipanggil DUA KUPANG.
Dua kupang itu ditambah lima det menjadi DUA KUPANG LIMA DET, atau dipanggil juga SUKU.  Dua kupang tu ialah DUA PULUH SEN.
Dua kupang lima det ialah DUA PULUH LIMA SEN, dua puluh lima det tak ada.

Kemudian SERINGGIT, seringgit lima det, seringgit lima belas det,  seringgit lima kupang atau dipanggil juga TENGAH DUA RINGGIT. Seringgit  dua kupang lima det atau dipanggil SERINGGIT SUKU.  Seringgit lima kupang lima det, dua ringgit dua kupang lima det atau dua ringgit suku.

Hanya SERINGGIT LIMA KUPANG sahaja dipanggil TENGAH DUA RINGGIT. Dua ringgit lima kupang tidak atau jarang dipanggil TENGAH TIGA RINGGIT dan begitu juga seterusnya.

Kemudian yang lain lainnya macam biasa la, dua ringgit sekupang, dua ringgit tiga kupang, dua ringgit sembilan kupang lima det sampai la tiga ringgit dan seterusnya.

Ada juga loghat lain sikit,  lepa tak sebut det tapi lepa sebut ret, lima belas ret.

Sekian sembang pasai duit.

Kalau berubat dengan Tok Bomoh, duit pengeras mesti ada SUKU.
Contohnya lima ringgit suku😊

Ramadhan & Syawal di LBK



Dengan hanya melihat sekeping gambar ini, membawa saya terus ke zaman awal remaja di LBK (Ladang Bukit Katho) dulu. Ia satu2nya gambar rasmi yang keluarga kecil kami ada. 

Maklumlah Abah&Emak hanya penoreh getah biasa. Manalah nak mampu ada kamera masa tu. Cukup makan dan minum pun dah bahagia.

Tidak silap saya, ia diambil pada tahun 1986. Di dalamnya ada Abah, Emak, Saya, Adik, Wie dan Akak. Ia diambil di studio semasa musim Raya pada tahun itu.

Bulan Puasa di LBK sama sahaja dengan suasana di kampung. Bersahur di awal pagi lengkap terhidang set nasi, lauk paling kurang dua jenis, sayur, sambal dan ikan masin kalau tak pun telur masin.

Gigihnya la Emak bangun awal masak semua tu dan kemudian gerak kami adik beradik dari tidur yang lena. Selepas makan, Emak&Abah tak tidur dah kerana perlu bersiap untuk ke kebun getah. 

Balik rumah jam 12.00 tgh memang Emak&Abah melepek kepenatan. Namun Emak tetaplah Emak juga, juadah untuk berbuka tetap dibuat sesempurna mungkin. Lauk pauk serba lengkap.

Ada pemanis mulutnya sekali. Kalau tak pengat ada bubur, kalau tak pun ada bengkang atau kuih2 manis seperti Kuih Cara, Apam Siam atau yang seumpamanya. Zaman tu macam takde lagi orang berjualan kuih muih semasa Ramadhan.

Emak kalau buat kuih tak pernahnya ngam2, mesti buat lebih. Kami adik beradik jadi tukang menghantar juadah ke jiran2. Balik pula  tidak pernahnya dengan tangan kosong. Mesti ada hantaran balasnya. Sudahnya, beratur juadah berbuka puasa kami.

Meriahnya berbuka zaman itu. 

Masuk pertengahan puasa, kedatangan Hari Raya sudah terasa sebab masa ni Emak dah mula menumbuk kacang hijau untuk buat putu. Gigih betul. Menumbuk, mengacu dan menjemur putu bukannya senang. Gigih tak hengat.

Abah rajin tolong Emak buat kuih Raya. Selain putu, bauhulu antara kuih wajib yang  Emak&Abah buat. Walau pun masa tu Emak dah ada oven hitam cap Butterfly, bauhulu Emak tetap juga dibakar dgn kayu api, arang dan sabut kelapa.

Abah yang buat sendiri ‘oven’ pembakar bauhulu daripada tin biskut yang dibelah dua. Diletak pasir sungai di dalamnya dan berpenutup dari bahan zink juga. 

Awal2 pagi Emak dah menghempuk telur dan gula dalam pasu. Terbayang figura Emak di depan pintu dapur menghempuk telur sambil memerhati Abah menyediakan port bakar bauhulu bawah pokok durian di belakang rumah kongsi kami.

Bukannya sekejap untuk mengembangkan telur tu. Berjam2, lagi lama lagi pekat lagi seksa nak menghempuknya. Huhuhu!!! Tak sanggup nak buat.

Dah lama betul tak jumpa bauhulu sedap macam yang Emak&Abah buat. Emak yang mengadun bancuhan telur&gula dgn tepung, Abah pula membakarnya. Abah guna kayu api je untuk mengangkat penutup oven yang berbara di atasnya itu. Berpanas berpeluh Emak&Abah kena diang dek bara.

Comel bauhulu cermai Emak&Abah sebab ianya bertopi. Sengaja Abah buat begitu agaknya supaya ada banyak bahagian yang garing.

Sumpah sedap bauhulu tu sehingga memaksa saya merayu agar dibenarkan berbuka puasa pada hari Emak&Abah membakarnya. Tak pernah cukup sebulan puasa saya semasa sekolah rendah asbab nak makan bauhulu 😅. Bauhulu panas2 lagi sedap wehhh!

Kadang2 Emak&Abah mendodol juga tapi hanya buat dalam kuantiti yg sedikit. Dikacau atas dapur masak Emak je, buat makan kami anak beranak.

Menjelang 27 likur, rumah2 kami di LBK adalah panjutnya masing2. Sama macam rumah2 di Kampong Poh juga. Kami adik beradik selalu menyibuk bila melihat Abah membuat panjut. Sebelum berbuka puasa memang kamilah yg akan menyalakan pelita. Tak sabar nak main bunga api Cap Kucing Hitam yang dicucuh pada panjut Abah pada malamnya.

Zaman tu bulan Puasa dan bulan Raya memang bulan untuk bersuka2 bagi budak2. Setiap kali Ramadhan akan ternganga mendengar cerita orang bertemu Lailatul Qadar 😅.

Berangan nak jumpa tapi takut pula dengan tanda2nya yang pelik. Hihihi!!!

Bila tiba Hari Melemang, celik2 mata Emak&Abah sudah sibuk di dapur. Abah akan sibuk menyediakan buluh lemang, bahan bakar, daun pisang dan yang paling penting kelapa. Semua tu tugas Abah, entahlah masa bila Abah buat, yang saya tau benda2 tu dah ada je.

Abah jugalah satu2nya ‘orang’ dalam rumah kami yang tahu menganyam ketupat. Saya ni... belajar pun tak nak. Teruk betul 🤦‍♀️. Ketupat Pulut Emak&Abah dibuat dari anyaman daun kelapa. Cukup lemak dan cukup masinnya.

Pagi2 Abah sudah menyembelih ayam, tugas kami hanya cabut bulu ayam. Selepas itu, Abah jugalah yang melayur ayam tu. Abah jugalah orangnya yang menolong Emak menyediakan bumbu2 untuk buat Rendang Pedas Ayam.

Harum semerbak serumah dengan bau bawang, halia, lengkuas, serai, pandan dll. Haishhh!!! Memang tak boleh lupa bau tu. Bau di pagi Hari Melemang.

Emak&Abah tidak diam2 kalau Hari Melemang. Dari pagi sehingga ke petang. Kami adik beradik mesti selalu kena dalam ‘mode standby’. Itu biasa, kami memang menanti untuk disuruh2. Yang paling selalunya adalah kena suruh ke kedai 😃.

Biasanya, menjelang petang semuanya akan siap. Selepas berbuka puasa pada hari terakhir, Emak dan kami akan mengemas rumah kongsi kami yang kecil tu. Tiada apa sangat pun, ruang tamu bersekali dgn ruang makan. Bilik tidur ada dua, tingkap pun ada berapa je. Sekejap... settle semua.

Keluarkan kuih2 dan biskut2 yang Emak buat dan letak dalam bekas kuih raya adalah tugas adik dan saya. Kuih Raya Emak tak pernah kurang dari 10 jenis. Hobi saya menjelang Malam Raya adalah kira berapa jenis kuih Emak buat. Hihihi!!! Entah berapa kali ulang kira.

Kena kira betul2 sebab esoknya masa Raya boleh ‘ekkk’ sikit dengan kawan2. Lawan siapa paling banyak kuih Raya.

Yang pasti Biskut Kacang Buncis, Biskut Mazola, Biskut Sarang Semut, Biskut Medan dan tentunya Biskut Peanut Butter mesti ada selain Bauhulu, Putu dan Kuih Bakar.

Arghh!!! Semuanya itu hanya tinggal dalam lipatan kenangan. 

Hari Raya zaman itu memang hari yang ditunggu2 kerana hanya pada Hari Raya kami akan dapat menyarung baju cantik. Kainnya Emak beli awal2 lagi. Kain untuk buat baju raya pun dibeli secara berhutang pada Makcik Kemboja yang berjualan di LBK. 

Sebulan dua sebelum Syawal, Emak akan bawa kami ke tukang jahit untuk menempah baju Raya. Berbunga2 hati nak tunggu baju baru siap. Tak sabar sungguh nak beraya masa zaman budak2 dulu ni.

Sewaktu nak Raya jugalah Emak akan belikan kami gaun. Gaun mesti sama dengan Adik, macam kembar kami berdua masa tu. Baju gaun tu akan dipakai semasa Hari Raya Kedua.

Semasa nak Raya jugalah Abah akan belikan kami adik beradik kasut Raya. Kalau Abah baik, kami akan dibawa sama untuk memilih kasut sendiri. Selalunya, Abah sukat kaki kami dengan tali rafia je, untuk beli kasut. Seronoknya tidak terhingga.... ia antara waktu2 yang sangat kami raikan zaman kecil2 dulu.

Rendang, lemang dan ketupat pun hanya dapat jumpa di Hari Raya. Mana tak tertunggu-tunggunya. Ramadhan dan Syawal zaman itu memang eksklusif sungguh.

Gambar Raya tahun 1986 ini suasananya sudah lain. Masa ini Emak sudah berniaga dan Abah pun sudah ada Nissan Sunny 130Y warna biru lembut.

Kain baju kurung moden Adik dan saya tu, saya yang pilih dan beli di Teluk Intan. Semasa ini saya bersekolah si SEMESTI dan Ruhil Hazana Ismail Nana pula di SMKJ, Tanjung Malim. Tudung yang kami pakai tu kainnya dibeli di Supermarket Sungei Perak. Ia kain georgette yang cantik, Emak jahitkan tudung tu untuk kami.

Masa ini, Ruhil Hafiza Ismail baru berumur 4@5 tahun. Ingat lagi saya baju dia warna merah ni, Emak beli kainnya di Pasar Lambak Khamis pekan Bidor. Murah sahaja kainnya dan Emak jahit sendiri. Lama2 pakai hujung baju dan kain jadi meleding.

Kemain lagi Abah dengan sepersalinan serba putih dan Emak dengan berkebaya sulam. Baju Emak tu beli hutang juga rasanya tapi mahal lah sedikit.

Seronoknya rupa adik saya si Hyat Ruh masa ni. Bukan selalu dapat pakai sepersalinan lengkap dengan kasut dan stokin.

Samar2 diingatan saya apa yang berlaku semasa hari ambil gambar ni. Yang saya ingat kami pergi selepas Maghrib. Itu aje.

35 tahun sudah berlalu, gambar nan sekeping ini sahajalah yang dapat mengingatkan saya tentang dunia kecil kami di rumah kongsi di LBK. Seronoknya dunia kanak2.

Emak dan Wie telah meninggalkan kami. Kini, hanya ada Abah, Adik, Akak dan saya. Itu pun jarak memisahkan kami, malas nak ikutkan hati sangat untuk mengenangkan waktu2 dulu kerana ia selalu mengundang sendu.

Semoga Allah SWT lapangkan tempat persemadian Emak & Wie dan dikurniakan syurga buat mereka.

Sumber:
Facebook Page Rasmi
Malaysiaku Dulu-Dulu Official

Selasa, 25 Mei 2021

Beg Sekolah Legend Zaman Dulu-Duu


Dari tahun 1985 hingga 1990, beg hijau (kain) ni la yang saya galas di bahu setiap hari berjalan kaki hampir 5km ke sekolah. Teringin juga nak galas beg warna warni yang lebih girlish mcm kwn2 kat kelas, tapi mak tak kasi. Mak kata, selagi hang tk dapat no1, beg tk boleh tukar. Sampai darjah 6 la menggalas beg hijau yang kusam dan tk girlish ni sbb tk pernah dapat no1. Lgsg tk memberontak, pegang kata2 mak. Alhamdulillah UPSR dapat straight A dan ditawarkan menyambung pengajian di sebuah SBP di Utara tanah air. Agak2 dapat tak tukar beg sempena melangkah ke sekolah menengah? Tk dapat jg. Mak tukar alasan. Mak kata, "beg cantik2, hang mengaji tk tara mana nak buat apa." Zaman tu kita pasrah. Apa mak cakap, itu la yg kita taati. Anak anak saya sekarang, kalau tak da unicorn, tkda barbie, tkda super hero, tk masuk lunch box lagi, pencil case bertema, selagi tak berhabisan 3-4 ratus, tak mau pny la😅(gambar beg ehsan gugel)

Kerja Sebagai Chef pada 80an di KLIH

Gambar seorang sahabat lama semasa dulu2 pernah bekerja satu tempat kerja sekitar 80an di KLIH..

Profession sebagai seorang Chef amat di hormati apatah lagi jika memegang jawatan yg tinggi dalam Jabatan mereka.

Dari dahulu  apa yang saya tahu dan ingat Pangkat atau Position Chef ini  Bermula dengan Jawatan  yg junior sehingga yg paling tinggi iaitu.. 

=commis (1,2,3) 
=Demi Chef 
=Sous Chef
=Chef de Partie
=Head Chef 
=Executive Chef 
(klu kurang tepat harap maaf ya, xingat sngt) 

Dulu2 kita terpaksa import ketua Chef dari luar negara terutama hotel 5 bintang dan trend tu berubah semenjak 90an dimana kepercayaan di beri pada ketua chef tempatan

Tapi sekarang ada yg sampai ke tahap 'Director Chef' di Bidang yg mereka Pakar dan Berpengalaman luas..

Kenangan kami ketika berkerja  dengan Chef2 di Hotel  memang banyak dan menyeronokan..
Perasaan takut, hormat, kagum serta percaya ada lah satu sifat yang ada apabila berhadapan dengan mereka...
Al maalum lah zaman dulu  kita di ajar dengan disiplin yang tinggi dan ketat..

# sedih juga bila sekarang ini  banyak Hotel, Restoran dan Katering terpaksa menutup bisnis angkara Covid ni..

# semuga profession dan bisnis   perhotelan  yg pernah mengajar erti kehidupan pada saya ini akan bertahan dan pulih seperti biasa ...

BUKIT KAMAL MENJERIT IV


Di peringkat awal bergelar rekrut, kami ‘dipaksa’ menerima banyak perkara baru yang berlaku kepada kehidupan kami. Bangun seawall pukul 5 pagi, bergegas ke bilik air, berebut dan beratur nak menggunakan tandas. Pkl 5.30 pagi sudah terpacak di bawah, lengkap dengan pakaian sukan, dan senior kami bukan sekadar ingin melatih kami bersenam, tetapi turut melanyak kami dengan senaman yang memang menyeksakan dan tak masuk akal. Kami dipaksa berenang, bergolek dan menyelam dalam longkang yang airnya busuk dan berbau dan paras air longkang itu hanya sekadar tahap keting kami sahaja. Itu masih belum kira berguling dan bergolek-golek atas batu kerikil yang tajam dan bergeligi kerana kawasan sekitar masih dalam pembinaan. Sakit dan berdarah badan sesetengah dari kami. Muntah hijau tu perkara biasa.

Selepas breakfast, pukul 7.30 pagi kami sudah siap beratur di bawah, berbaris untuk ke sekolah latihan masing-masing.  Ada yang terus ke padang kawad, ada di ajar teori menembak, ada ke kelas-kelas pengkhususan masing-masing. Aku terpilih memasuki sekolah Teknikal dan kami akan menghabiskan masa belajar di kelas sehingga pukul 1 sebelum pulang ke dormetri untuk makan tengah hari.

Sebelah petang pula diisi dengan latihan di padang, malam akan bergilir-gilir untuk bertugas awasan (rondaan atau sentry) di mana-mana kawasan yang ditugaskan. Selalunya tugas sentry ini akan dibahagikan kepada 4 kumpulan, setiap kumpulan dengan 2 orang rekrut mengadakan rondaan selama 4 jam, sebelum digantikan dengan rekrut lain yang juga mengambil masa selama 4 jam.

Tugas rondaan ini agak menjengkelkan, kerana kami harus berjalan-jalan meronda di seluruh kawasan, termasuk di pinggir bukit, di hutan-hutan yang masih belum diteroka dan ke tempat-tempat yang jika dilihat di waktu siang pun agak menakutkan dan menggerunkan, terutama jika ke Bukit Kamal.

Dan itulah yang berlaku pada aku yang kebetulannya dalam kumpulan yang melibatkan Nirwan yang sejak kejadian tempoh hari kelihatan murung dan agak berdiam diri. Nirwan dilihat sering menyendiri dan ada kalanya berjalan berseorangan dan mengelak untuk bertegur sapa dengan kawan-kawan.

Pukul 10.30 malam kami melaporkan diri kepada jurulatih untuk tugas sentry selama 4 jam sehingga 2.30 pagi. Aku bersama Zul Kelantan (arwah) dalam satu kumpulan. Mat Yus (juga sudah arwah) dalam kumpuan lain bersama Nirwan. Mereka berdua pernah dirasuk beberapa malam sebelum itu. Penumbuk Mat Yus masih bengkak kerana tumbuk dinding simen semasa dirasuk. Kuat pulak tu, sehingga kawan-kawan berdarah ditumbuk di muka semasa mengerumuni untuk menjatuhkan dia ke lantai.

Aku dan Zul ke satu penjuru lain, Mat Yus dan Nirwan ke penjuru yang berbeza. Senjata kami hanyalah sebuah lampu picit dan sebatang cotar tiap seorang. Kami diberi ‘codeword’ yang kami akan gunakan untuk mengetahui siapa yang kami jumpai, jika ada. (Aku tak mahu panjangkan soal ‘codeword’ ni kerana ia melibatkan teknikal dan isu keselamatan anggota tentera).

Agak meremang jugak bulu roma bila kawasan rondaan kami nanti ialah ke kaki Bukit Kamal. Aku tahu Mat Yus dan Nirwan jugak risau.

“Anak jantan, apa takut. Kalau hantu datang aku nak peluk dia.” Kata Mat Yus tersengih.

Kami berpecah ke arah bertentangan. Malam gelap sungguh, ada beberapa butir bintang di langit. Kami tahu padang yang kami sedang berjalan perlahan-lahan ini hanya dipenuhi rumput halus dan pokok renek. Kami berborak secara perlahan dan tidak langsung menggunakan lampu picit kerana dikhuatiri lokasi kami ini diketahui oleh orang lain.

Agak lama juga kami berjalan, meronda dan ketika melintasi kaki Bukit Kamal, terasa angin sejuk mendesus di telinga. Jantung aku tiba-tiba berdebar. Terlintas ayat alquran yang mudah diingati dan aku membaca perlahan. Zul juga berbuat demikian. Kaki kami terus melangkah.

Seperti ada sesuatu sapaan menegur nama aku. Aku berhenti. Zul juga berhenti. Terdengar langkah mendekati kami. Memang kami agak ketakutan, dan lampu segera disuluh.

Fuhhhh!! Mat Yus dan Nirwan. Celaka, aku menyumpah. “Aku ingatkan hantu tadi,” kata Zul. Mat Yus dan Nirwan ketawa mengekek.

“Kalau aku hantu, kau nak buat apa...” tambah Mat Yus ketawa jugak. Nada ketawanya berbunyi lain dari biasa.

“Aku bawak air. Kau nak?” pelawa Mat Yus, Nirwan berdiam dalam kegelapan. Zul sambar botol air dari tangan Mat Yus dan dia meneguk air sambil berdiri.

“Naik bukit nak, kita cari hantu.”

Aku geleng kepala. Zul pun. “Kita tak perlu naik. Tugas kita kat bawah ni jer”

Aku ingin segera berlalu dari kawasan kaki Bukit Kamal tu dan tdak ingin berlama-lama bersembang kosong di kaki bukit berhantu tu. Angin sejuk terus menerpa telinga kami. Entah kenapa terasa seram sejuk sejak tadi. Bulu roma meremang, terutama bila melihat muka Nirwan dalam kegelapan. Nirwan tidak bercakap, dan hanya berdiam dan merenung ke arah kami.

Kami berpisah di situ. Aku dan Zul meneruskan tugas rondaan ke  kanan, sementara Mat Yus dan Nirwan ke kiri padang. Jika dikira jarak rondaan kami itu, kami hanya akan berjumpa dengan mereka semula setelah sejam kemudian, mungkin di tempat yang sama., di kaki Bukit Kamal, bukit yang pertama kali kami mendengar tangisan pada malam hujan lebat tempoh hari.

Sekitar 5 minit kemudian. Terdengar seseorang sedang bercakap di depan kami. Kami agak tentulah rakan kami yang jugak sedang melakukan rondaan ayng sama. Bila kami mendekat, kelihatan sosok tubuh seperti Mat Yus. Nirwan di sebelahnya. Lampu picit kami suluh ke arah mereka.

Ia, Mat Yus dan Nirwan.

“Eh, cepatnya kau ke sini,” aku tegur.

Mat Yus pandang kami dalam kegelapan.

“Memang aku kat sini sejak tadi. Kami ronda sini saja."

“Tadi kau pergi sana buat apa,” aku tunjuk ke arah belakang, ke arah kaki Bukit Kamal.

Mat Yus kehairan. Nirwan berdiam diri.

“Kami memang tak ke mana-mana sejak tadi. Kami ronda sebelah sini dan tak langkah kawasan rondaan hangpa berdua,” katanya turut kehairan.

Jawapan itu sebenarnya sangat mengejutkan kami kerana kami baru saja terserempak dengan mereka berdua di kaki Bukit Kamal tadi.

“Mana air kau?” Zul tanya bila lihat Mat Yus tidak memegang apa-apa melainkan cotar dan lampu picit.

“Air apa?”

“Air sejuk yang kau bagi aku minum tadi”.

“Aku tak bawak apa-apa air Zul.”

Kata-kata Mat Yus tadi menjadikan bulu roma kami meremang semula. Kami melangkah dengan agak tergesa-gesa meninggalkan kawasan itu. Malam itu kami hanya meronda kawasan sekitar itu sahaja dan tidak berhasrat untuk ke kaki Bukit Kamal itu semula.

Peristiwa berjumpa Mat Yus dan Kamal di kaki bukit itu kami ceritakan pada jurulatih semasa menamatkan tugas kami malam itu. Dan kami percaya, sentry yang melakukan rondaan selepas duty kami berakhir pagi itu juga tidak melakukan perkara yang sama.

Esoknya Zul demam. Dia dirujuk ke hospital angkatan tentera dan dimasukkan ke wad. Seminggu dia meracau siang malam.

Sekian dulu. Kita berjumpa di lain posting, InsyaAllah. Stay safe, stay healthy.

Keterangan gambar:

Zul berdiri paling kiri di belakang. Nirwan dan Mat Yus tidak ada dlm gambar ni. Junaidi yg namanya disebut dlm Siri II duduk di depan, no 2 dari kanan.

Sumber:
Facebook Page
Malaysiaku Dulu-Dulu Official

Isnin, 24 Mei 2021

FENOMENA AYAM SERAMA 1990



AYAM SERAMA merupakan sejenis ayam hiasan yang cantik dan menarik yang mempunyai nilai estetika tersendiri untuk dipelihara. Di negara kita ianya turut dikenali dengan nama Ayam Serama Malaysia .Ayam Serama ini diketahui berasal dari sejenis baka Ayam Katik dan telah ujud lebih kurang 50 tahun yang lampau. Bagaimana pun sejarah asal keujudan Ayam Serama ini tidaklah dapat diketahui dengan tepatnya .

Terdapat lagenda yang mengatakan ia merupakan keturunan dari pembiakan silang di antara burung merpati dan ayam. Cerita lainnya pula mengisahkan asalnya bermula dari pemberian hadiah Ayam Katik oleh Raja Siam kepada Sultan Kelantan pada zaman dahulu. Apa pun yang pastinya sejarah Ayam Serama ini di Malaysia adalah bermula dari Negeri Kelantan .

Baka Ayam Katik ini pertama kali dipamerkan pada tahun 1990. Seterusnya pada tahun 2000 , adalah merupakan kemuncak popularitinya Ayam Serama di Malaysia. Bagaimanapun baka Ayam Serama ini terjejas teruk semasa wabak selselema burung pada tahun 2004 apabila lebih dari 50,000 ekor ayam serama tersebut telah dihapuskan .

Baka moden Ayam Serama dipopularkan oleh Encik Wee Yean Een iaitu seorang aktivis ayam serama dari Kelantan. Dipercayai beliau telah memberi nama "Serama" bersempena dengan nama Raja Sri Rama iaitu satu watak utama di dalam Wayang Kulit yang terkenal di Thailand dan Kelantan .

Seperti mana yang telah dinyatakan tadi , Ayam Serama ini adalah berasal dari Negeri Kelantan dan amat terkenal di Negeri tersebut sebelum peminatnya berkembang keseluruh negara. Terdapat beberapa persatuan yang telah ditubuhkan oleh peminat Ayam Serama ini untuk menyelaraskan aktiviti aktiviti mereka disamping mengadakan pertandingan Ayam Serama tercantik dari masa kesemasa .

Walaupun hadiah yang ditawarkan dari pertandingan itu , tidak seberapa lumayan seperti pertandingan pertandingan yang lain , namun sambutan yang diberikan oleh peminat peminat Ayam Serama ini sentiasa amat menggalakkan . Hadiah bukan keutamaan mereka .Apa yang mereka harapkan ialah apabila Ayam Serama mereka telah dinobatkan sebagai juara pertandingan , secara tidak langsung nilai Ayam Serama juara ini akan naik berlipat kali ganda , sehingga harganya mampu mencecah keangka puluhan ribu ringgit sekiranya ada peminat lain yang berminat dan ingin membelinya .

 Ayam Serama adalah unik kerana saiznya yang kecil , pandai menonjolkan diri dan memikat hati orang yang melihatnya. Ayam Serama menjadi haiwan peliharaan kerana jinak, manja dan berkemampuan untuk mengenali tuannya .

Ciri istimewa Ayam Serama adalah berekor lentik, berdada tegak dan kepak lurus ke bawah . Haiwan ini juga mempunyai gelagat yang menarik seperti mampu berjalan mengundur ke belakang serta seringkali mengepakkan kedua dua belah sayapnya . Dada ayam ini membusung ke depan dengan kepala yang tetap tegak ke belakang yang hampir menyentuh bagian ekornya.

Untuk memelihara dengan sempurna Ayam Serama ini bukanlah satu kerja yang mudah .
Ianya sedikit rumit dan agak meremehkan .
Àntara perkara perkara yang perlu diberikan perhatian dan keutamaan adalah .
-pemakanan, kebersihan dan keselesaan , suhu dan cuaca , pencegahan penyakit , dan lain lain aktiviti tambahan seperti kerap memegang serta membelainya , mengurut , memandikan dan menjemurkannya sebentar bertujuan untuk menghapuskan hama hama dibadannya jika ada .

Pendek kata untuk memelihara Ayam Serama memerlukan tahap kesabaran dan kerajinan yang tinggi .

Selain di Malaysia , Ayam Serama ini cukup popular di Negara Indonesia .Ayam Serama diperkenalkan ke Indonesia pada tahun 2000.

Di Indonesia ianya juga dikenali dengan nama ayam sombong kerana dadanya yang membusung . Namun ada juga yang menyebutnya dengan Ayam Perajurit karena tubuhnya yang gagah dan tegap berdiri seakan siap melawan musuhnya. 

Semasa saya bertugas di Kem Bukit Galing , Kuantan , satu pertandingan secara besar besaran Ayam Serama ini telah diadakan pada tahun 1999  bertempat di padang kawad Kem tersebut .Pertandingan ini dipelupori sendiri oleh Komander Briged Tenggara PGA pada masa itu YDH Tuan Fakrullah(kini Arwah).

Tuan Fakrullah yang berasal dari Kelantan adalah peminat tegar kepada Ayam Serama ini .Dirumahnya terdapat berpuluh puluh ekor Ayam Serama yang cantik cantik dan dijagai rapi .

Pertandingan tersebut telah menarik minat beratus ratus penyertaan dari seluruh pelusuk Tanah Air khususnya dari Negeri Pahang , Terengganu dan Kelantan .Pelbagai Hadiah menarik telah disediakan dimana hadiah utamanya adalah sebuah motorsikal Yamaha ,TV dan peti sejuk .

Saya yang pada ketika itu turut tidak mahu ketinggalan , telah mempertaruhkan seekor Ayam Serama yang saya beli di Kelantan .Bagaimana pun Ayam Serama saya ini telah gagal mendapat sebarang hadiah kerana agak pemalu dan sedikit pemalas agaknya .

Sewaktu para juri sedang membuat pemerhatian kepada Ayam Serama saya , ianya berlagak malu malu kucing dan cuba melarikan dirinya dengan cuba masuk semula kedalam sangkarnya.

Diantara kriteria utama yang dilihat bagi penyertaan ayam serama dalam sesuatu pertandingan adalah kriteria gaya, tubuh, ekor, lawi, kepala balung, kaki, warna, bulu, kepak serta gaya ketika memperagakan dirinya untuk dinilai oleh para juri .

Tidak sampai dua minit , para juri telah meninggalkan Ayam Serama saya dan beralih pula kepada Ayam Serama lainnya disebelah saya .

Itulah kali pertama dan terakhirnya saya membela seekor Ayam Serama .

Jika ada diantara para pembaca yang merupakan peminat tegar Ayam Serama ini dulu dulu atau sekarang , sila munculkan diri dan berkongsi pengalaman tuan / puan semua untuk makluman dan ilmu pengetahuan bagi generasi Y dan Z yang mungkin tidak pernah mengetahui peri ujud dan terkenalnya Ayam Serama aka Ayam Sombong pada suatu masa dahulu.