Jumaat, 23 April 2021

LALUAN MAT KILAU : TEMBELING - PASIR RAJA


Kebangkitan yang dicetuskan oleh pahlawan Mat kilau, ayahnya Tok Gajah (Imam Rasu), Datuk Bahaman dan ramai lagi dengan menentang penjajah British sekitar tahun 1890-an menyebabkan Hugh Clifford iaitu Residen British Pahang mengisytiharkan perang dan mengarahkan mereka ditangkap dan dihukum. Ini menyebabkan Mat Kilau dan pahlawan-pahlawan lain terpaksa berundur ke Terengganu dan Kelantan.

Terdapat tiga laluan khusus yang digunakan oleh mereka untuk ke Terengganu dan Kelantan bagi mengelakan ditangkap. Laluan tersebut ialah dari Tembeling di Jerantut atau Kuala Tahan ke Kampung Pasir Raja, laluan dari Jerantut ke Pasir Nering, Hulu Dungun dan laluan dari Jerantut ke Gua Musang, Kelantan. Bagaimanapun laluan yang sering digunakan oleh Mat Kilau ialah menerusi Tembeling ke Kampung Pasir Raja. Ini disebabkan kedudukan Kampung Pasir Raja yang terpencil serta dikelilingi bukit bukau dan hutan belantara merupakan tempat perlindungan yang selamat dari buruan penjajah.

Sebelum ini Kampung Pasir Raja dikelilingi oleh beberapa kampung kecil lain seperti Kampung Padang Jerangau, Kuala Chil, Lurut dan beberapa buah kampung lagi. Disebabkan kampung-kampung ini sering dilanda musibah banjir menyebabkan penduduknya berpindah dan mendiami Kampung Pasir Raja yang dikatakan lebih selamat sekaligus kampung-kampung tersebut lenyap dalam lipatan sejarah.

Kampung Pasir Raja merupakan lokasi utama persinggahan Mat Kilau sebelum menuju ke Kuala Terengganu untuk bertemu Tok Ku Paloh, salah seorang ulama yag disegani untuk mendapat panduan dan nasihat. Walaupun hanya beberapa kali singgah di Kampung Pasir Raja, Mat Kilau mendapat kerjasama dan sokongan padu daripada penduduk. Di sini Mat Kilau turut menyebarkan semangat perjuangan menetang penjajah. Di samping itu Mat Kilau pernah bermalam di rumah penduduk serta mengajar silat dan amalan kebatinan kepada penduduk kampung ini.

Selain menjadi tempat perlindungan, Kampung Pasir Raja juga menjadi lokasi pertemuan utama bagi Mat Kilau dan pahlawan-pahlawan yang lain bagi membincangkan strategi untuk menyerang kembali pihak British. Justeru itu Mat Kilau telah membina dua buah kubu di sekitar kampung ini sebagai tempat perlindungan sementara.
Kubu-kubu ini diperbuat dari timbunan tanah yang digunakan sebagai tempat pengawal bertugas untuk memantau pergerakan musuh. Sebuah kubu telah pun musnah dan terhakis akibat gangguan semulajadi, tidak terjaga dan sebagainya. Namun sebuah kubu lagi yang terletak di Padang Jerangau masih lagi elok sehingga kini walaupun mengalami sedikit hakisan. Kubu ini sering menjadi lokasi kajian bagi pengkaji sejarah, orang ramai dan pelancong.
Semasa bertugas d Pasir Raja tahun tahun 2003-2005, saya pernah mengikuti dan menjejaki laluan ini bersama sekumpulan peminat sejarah dan diketuai oleh dua orang penduduk Pasir Raja sebagai penunjuk arah. Perjalanannya dari Pasir Raja ke Jeram / Lata Keling dan terus ke  Tembeling melalui permatang banjaran mengambil masa  selama 4 hari 3 mlm. Dikatakn agak lewat sampai kerana anggota rombongn ramai yang tidak biasa dengan denai, bukit dan gunung yang mencabar. Jadi perjalanan terpaksa diperlahankan.
Saya cuba untuk ikuti satu perjalanan laluan Pasir Raja ke Kuala Berang yg lebih santai tapi keadaan cuaca tidak mengizinkan waktu itu. Namun saya sempat berkereta ke satu Felda di Kuala Berang, tempat penamat d Kuala Berang. Dari sini, Mat Kilau boleh berperahu ke Pasir Nering  atau ke arah kuala sungai Terengganu untuk bertemu Tokku Paloh di Kpg Paloh.

Laluan Tembeling - Gua Musang dikatakn hampir dengan jalan Kuala Lipis - Merapoh - Gua Musang, jadi ianya kurang popular sekarang disebabkan terlalu hampir dengan jalan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan