Ketika zaman kegemilangan Melaka, orang Melayu amat dikenali sebagai pakar ilmu pelayarn dan pembuatan kapal. Mereka amat mahir dalam pembuatan kapal - kapal yang dapat memuatkan ribuan orang dalam satu masa.
Menurut Timbalan Pengarah, Felo Penyelidik Kanan, Institut Alam dan Taman Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Zuliskandar Ramli, kehebatan orang Melayu terserlah apabila jong atau perahu yang dihasilkan lebih besar, melebihi saiz kapal yang dimiliki di barat. Malah, orang Melayu juga mempunyai teknologi pembuatan dan ciri-ciri yang tersendiri.
Banyak catatan sejarah yang memberi gambaran bahawa teknologi pembuatan perahu oleh orang Melayu telah mencapai tahap yang tinggi sehingga dikagumi masyarakat luar. Perahu yang dibina orang Melayu dikatakan lebih besar daripada kapal lain dari barat mahupun China.
“Dalam teks klasik China pada abad ketiga dan kelapan, ada menyebut tentang teknologi dan kehebatan perahu Melayu. Catatan pertama menyatakan orang dari alam Melayu mempunyai perahu besar sehingga boleh memuatkan 6,000 hingga 7,000 orang dan membawa muatan 250 hingga 1,000 tan.
“Malah perahu berkenaan dilengkapi empat buah layar, membolehkannya belayar dengan laju.
“Selain itu, catatan Portugis juga menunjukkan mereka turut terpegun melihat perahu di alam Melayu yang sangat besar melebihi perahu mereka. Dikatakan bahawa kapal Melayu mempunyai saiz lebih besar dengan kapal besar Portugis yang dikenali sebagai galleon."
“Bukan itu sahaja, orang Melayu juga menguasai teknik pelayaran dengan belayar ke sesuatu tempat tanpa menggunakan kompas dan peta tetapi berpandukan warna air laut, hidupan dalam laut serta bentuk dan corak ombak di permukaan laut, di samping belayar mengikut angin dan bintang pada waktu malam. Penggunaan layar juga merupakan salah satu teknologi yang dihasilkan Melayu,” katanya.
Terdapat juga catatan China yang menyatakan bahawa kapal-kapal Jong Melayu tidak dibenarkan berlabuh di pelabuhan mereka kerana saiz kapal Jong yang terlalu besar, tidak muat dengan pelabuhan mereka. Bayangkan sekiranya kapal-kapal ini tidak dapat muat berlabuh di pelabuhan kerajaan China ketika itu, berapa besar pula pelabuhan Melaka pada ketika itu?! Inilah kehebatan Melayu yang perlu kita beritahu kepada generasi muda agar mereka dapat berbangga menjadi orang Melayu yang pada suatu ketika dahulu pernah menjadi "Raja Laut"!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan