#SambunganBahagianAkhir
Raja Sang Tawal (Sultan Muhammad) telah menganugerahkan Serendah (Seri Indah) Sekebun Bunga atau Kisaran Payung kepada Adruja sebagai tanda penghargaan.Setelah kemangkatan Raja Sang Tawal pada tahun 1335, Adruja Wijayamala Singa telah ditabalkan sebagai pemerintah pertama di negeri Serendah (Seri Indah) Sekebun Bunga atau Kisaran Payung. Pusat pemerintahan negeri tersebut terletak di Kuala Krai (kini Jajahan Kuala Krai di Kelantan). Pasukan khas Seri Wijayamala turut tinggal bersama Adruja.
Dalam tempoh yang singkat, Serendah (Seri Indah) Sekebun Bunga atau Kisaran Payung telah berubah menjadi sebuah negeri yang sungguh indah di bawah pemerintahan Adruja. Baginda juga diberi gelaran 'Cik Siti Wan Kembang' oleh rakyat tempatan.
Lama-kelamaan, gelaran tersebut telah menjadi satu gelaran rasmi bagi semua raja perempuan yang memerintah negeri tersebut. Menurut sumber pensejarahan di negeri Kelantan, Adruja Wijayamala Singa ialah Cik Siti Wan Kembang yang pertama.
Sungai Kelantan adalah satu-satunya jalan keluar masuk bagi Kuala Krai
- ibu kota Serendah (Seri Indah) Sekebun Bunga atau Kisaran Payung.
MANGKATNYA RAJA PEREMPUAN
KISARAN PAYUNG
Selepas 10 tahun memerintah, Adruja Wijayamala Singa mangkat pada tahun 1345. Meskipun makam raja perempuan tersebut tidak pernah ditemui hingga ke hari ini, namun baginda dipercayai telah dimakamkan di sekitar Jajahan Kuala Krai di Kelantan.
Adruja merupakan seorang ratu dara (the virgin queen) kerana baginda tidak pernah berkahwin seumur hidupnya. Ini sekaligus bermakna baginda tidak mempunyai waris keturunan. Oleh sebab itulah, Raja Bharubhasa iaitu saudara kandung Adruja yang juga merupakan Raja Langkasuka telah bertindak mengambil alih negeri tersebut.
Sebagai pemerintah yang baharu, Raja Bharubhasa mula menggunakan gelaran Sultan Mahmud Syah. Kemudian, baginda telah menyerahkan takhta kerajaan Langkasuka kepada saudara kandungnya yang bernama Raja Singhadiraja atau Raja Sulaiman.
Kesultanan Serendah (Seri Indah) Sekebun Bunga atau Kesultanan Kisaran Payung terus diperintah oleh keturunan Raja Bharubhasa (Sultan Mahmud Syah) selama beberapa generasi.
WARISAN
PASUKAN KHAS SERI WIJAYAMALA
Adruja Wijayamala Singa dipercayai merupakan satu-satunya puteri dan raja perempuan di Kepulauan Melayu atau Nusantara yang memiliki pasukan tentera khas wanita. Pasukan khas tersebut diberi nama Seri Wijayamala dan diketuai oleh Adruja sendiri.
Pasukan khas Seri Wijayamala dianggotai 41 orang wanita yang terdiri daripada golongan hamba abdi, budak suruhan dan janda muda yang kematian suami di medan perang. Mereka mahir dalam ilmu ketenteraan, pandai bermain senjata dan menunggang kuda.
KESULTANAN SERENDAH (SERI INDAH) SEKEBUN BUNGA
ATAU KESULTANAN KISARAN PAYUNG
Kesultanan Kelantan Darul Naim yang didirikan oleh Long Yunus
telah menyatukan wilayah dua buah kesultanan terdahulu.
Adruja Wijayamala Singa (atau Cik Siti Wan Kembang I) merupakan pengasas Kesultanan Serendah (Seri Indah) Sekebun Bunga (atau juga dikenali sebagai Kesultanan Kisaran Payung). Kesultanan ini berpusat di Kuala Krai (kini Jajahan Kuala Krai di Kelantan).
Ketika zaman pemerintahan Wan Kembang (atau Cik Siti Wan Kembang II), nama kesultanan tersebut telah ditukar kepada Serendah (Seri Indah) Sekebun Bunga Cerang Tegayung. Pada tahun 1766, kesultanan tersebut lenyap setelah Long Yunus mendirikan Kesultanan Kelantan Darul Naim.
ASAL-USUL NAMA KELANTAN
Terdapat banyak teori yang telah dikemukakan mengenai sejarah asal-usul nama negeri Kelantan. Salah satu teori terbaru menyebut - negeri Kelantan dipercayai mendapat namanya dari nama kelewang panjang milik Adruja Wijayamala Singa (Cik Siti Wan Kembang I) - Raja Perempuan Serendah (Seri Indah) Sekebun Bunga. Nama kelewang panjang tersebut ialah Kilatan.
GELARAN
‘CIK SITI WAN KEMBANG’
Adruja Wijayamala Singa merupakan tokoh pertama yang menggunakan gelaran ‘Cik Siti Wan Kembang’. Menurut sejarah, penduduk Serendah (Seri Indah) Sekebun Bunga telah memberikan gelaran tersebut kepada Adruja sejurus selepas baginda ditabalkan sebagai Raja Perempuan Serendah (Seri Indah) Sekebun Bunga.
Gelaran tersebut telah digunakan semula oleh Wan Kembang (1610-1667) - salah seorang keturunan Raja Bharubhasa (atau Sultan Mahmud Syah), iaitu saudara kandung Adruja. Tokoh yang bernama Wan Kembang ini telah dikenalpasti sebagai ‘Cik Siti Wan Kembang II' oleh golongan sarjana dan sejarawan.
SUMBER RUJUKAN
101 Puteri Dunia Melayu - Sejarah dan Legenda.Pensejarahan Patani.Ahlul-Bait (Keluarga) Rasulullah S.A.W & Kesultanan Melayu.Hikayat Seri Kelantan.Tun Seri Lanang : Sejarah dan Warisan Tokoh Melayu Tradisional.Perkahwinan dan Kekeluargaan Raja-raja Melayu dalam Sejarah Melayu.Kesultanan Melayu Kedah.Laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu @ DBPInstitusi Bendahara; Permata Melayu Yang Hilang ; Dinasti Bendahara Johor-Pahang.
Syabas diucapkan kepada Nisriwani Yahaya,Syed Zulflida S.M. Noor dan Dato’ Dr. Adi Haji Taha. Ketiga-tiga tokoh dari Malaysia ini telah mengambil inisiatif untuk mengumpul dan menyusun kembali kisah-kisah riwayat dan sejarah hidup puteri Melayu kebanggaan bangsa kita ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan