Sabtu, 13 Mac 2021

KEGEMILANGAN BOLA SEPAK MENGABANG TELIPOTLanLib (anak Telipot di Perantauan)


Sejarah kegemilangan bola sepak di Mengabang Telipot tentu saja tidak boleh dipisahkan dengan pencapaian terbaik Zuber Ibrahim, ,anak kelahiran Kg Gong Datuk yang mendominasi gawang gol pasukan bola sepak Terengganu sejak sekian lama. Kemuncaknya, sebagai banteng terakhir di gawang gol, Zuber Ibrahim dan teamnya Terengganu telah menghadiahkan Piala Malaysia menjejaki bumi Terengganu  buat julung kalinya pada tahun 2001 apabila Terengganu menjinakkan Perak 2-1 di pentas final Piala Malaysia. Peminat bola sepak Terengganu, sudah pasti tidak lupa dengan jaringan penyamaan hebat oleh  Rosdi Talib dan  gol kemenangan Sapian Wahid yang memadamkan ego Perak pada malam itu. Pencapaian hebat anak kelahiran Mengabang Telipot, Zuber Ibrahim ini barangkali akan diulas dalam penulisan lain, pada masa akan datang oleh mana-mana penulis anak Mengabang Telipot.

 Namun, penulisan ini saya akan menyorot ke belakang sekitar tahun 70-an, apabila pasukan bola sepak Mengabang Telipot merupakan pasukan kampong yang sangat digeruni oleh pasukan lain sama ada MPKT, BBMB, JKR, Bank Pertanian, Kg Tok Jiring, Seberang Takir,dan Duyong (sekadar menyebut beberapa nama pasukan), apabila bertemu dengan Pasukan Bola Sepak Mengabang Telipot di gelanggang. Kemuncaknya, pasukan bola sepak Mengabang Telipot telah muncul sebagai Juara Divisyen 3 Liga Bola Sepak negeri Terengganu, anjuran PBSNT pada tahun 1976. Berduyung-duyung peminat bola sepak Mengabang Telipot hadir memberi sokongan padu kepada pasukan dengan cara jalan darat (bas, berkereta dan bermotosikal) dan juga beberapa buah bot nelayan yang bercuti ke laut pada hari itu semata-mata untuk menyaksikan perlawanan akhir yang bersejarah itu.

 Dalam perlawanan akhir yang diadakan di Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah, pasukan Mengabang Telipot telah berjaya menjinakkan Tok Jiring dengan jaringan 2 – 1. Gol-gol Mengabang Telipot dijaringkan oleh Mohd Shah Abu Bakar dan Wan Sulong @ Mustaffa ( kalau salah fakta ini, harap betulkan). Manakala gol Tok Jiring dijaringkan oleh Kamaruzzaman (pengurus Kilang Butang di Kubang Badak pada ketika itu, tinggal di Kampung Tengah tetapi mewakili Tok Jiring ). Pasukan hebat ini di bawah Pengurusan Tn Hj  Cg Ariffin Embong (mantan Pengarah Pendidikan Terengganu), dan jurulatih Cikgu Him. Antara pemain hebat yang mewakili pasukan Mengabang Telipot ialah Kamarudin (penjaga gol – anaknya Hasmarizan Kamarudin, pernah mewakili pasukan Terengganu), Kamarudin Yusof @  Che Ambak, Cg Johari Ambak (arwah), Jaafar Chut (arwah), Azmi Mohd Dahan (pernah mewakili Terengganu), Fauzi Abdullah (Kapten - arwah), Harun Jusoh, Alias (Pok), Mohd Shah Abu Bakar, Wan Sulong @ Mustaffa (arwah), Rashid Mat Dahan dan lain-lain. Mungkin beberapa pemain lain tidak disenaraikan, boleh anak-anak Mengabang Telipot membuat ulasan nanti.

 Ekoran kejayaan itu, beberapa pemain  Mengabang Telipot telah dipanggil oleh PBSNT untuk menjalani latihan pusat untuk mewakili pasukan negeri. Namun, sebagaimana kita maklum, “politicking bola sepak” peringkat negeri membataskan peluang anak Mengabang Telipot mencetak nama untuk mewakili negeri pada ketika itu. Sekitar tahun 70-an dan 80-an, hanya pemain di sekitar Kuala Terengganu sahaja yang mewakili negeri, nama-nama yang berlegar di beberapa kelab elit seperti MPKT, Bank Pertanian, JKR, JPS dan lain-lain. Sukar anak Mengabang Telipot untuk bertenggek gah sebaris dengan Yahya Jusoh, Harun Jusoh, Marzuki Ismaun, Sulaiman Rejab, Zulkifli Hamzah, Abdah Alif, Najib Alif dan lain-lain.

 Demikian, sekilas pandang sejarah kegemilangan bola sepak Mengabang Telipot yang sempat disoroti penulis – ketika itu baru masih di Tingkatan Satu. Plate kejuaraan Liga Divisyen 3 PBSNT dulu-dulu pernah singgah di rumah penulis kerana abang penulis salah seorang pemain simpanan..Penulis membuka ruang untuk anak-anak Mengabang Telipot membuat komen dan ulasan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan